suria

Lisdawati sering 'moody' kerana 'baby' baru

SUDAH cukup perit bebanan yang ditanggung oleh aktres ini gara-gara khabar angin yang pernah melanda rumahtangganya tidak lama dulu.

Hati wanita mana yang tidak sedih apabila mahligai perkahwinan yang dibina dengan suami tercinta dikatakan sedang berantakan, sedangkan kedua-duanya tengah asyik diulit kebahagiaan.

Hampir dua tahun Lisdawati dan pelakon Fauzi Nawawi mendirikan rumahtangga. Dan dalam tempoh itu, bukan sekali kisah membabitkan rumahtangganya diperkatakan.

Ternyata, kehadiran cahaya mata sulung, Nur Aini Farhana, setahun setengah, diharap oleh pasangan ini mampu melenyapkan cerita-cerita negatif itu.

Namun, masih lagi pelbagai gosip terus hadir dalam rumahtangga mereka. Mungkin kerana sudah lali dengan pelbagai cerita kurang enak itu, Lisda dan Fauzi mengambil langkah untuk mendiamkan diri dan cuba berfikiran positif tentang apa yang melanda mereka.

Lebih menggembirakan pasangan ini adalah apabila Lisda disahkan hamil anak kedua yang kini kandungannya telah pun mencecah usia tujuh setengah bulan. Mungkin inilah rahmat atas kesabaran yang dilalui mereka.

Lisda yang dihubungi baru-baru ini kedengaran cukup ceria tatkala menceritakan tentang kandungannya itu.

"Sebenarnya, saya sendiri tidak sedar saya mengandung anak kedua. Hanya setelah usia kandungan mencecah lima bulan, barulah saya tahu. Yang peliknya, saya langsung tidak sedar tanda-tandanya

"Badan pula makin susut waktu itu...mungkin kerana saya mengandung ketika masih menyusukan Aini. Saya memang cukup risau ketika dapat tahu saya mengandung, sebab saya amat aktif dalam tempoh lima bulan itu.

"Risau sangat jika ada masalah pada kandungan. Tapi nasib baik setelah menjalani pemeriksaan doktor, kandungan saya tiada masalah," ujar Lis.

Menurut pelakon berusia 30 tahun ini, dia sendiri tidak menyangka akan kembali mengandung 'secepat' ini, apatah lagi anak sulungnya juga masih kecil.

"Saya ingatkan, mungkin dalam tahun depan ke...tapi alhamdulillah, inilah dinamakan rezeki. Saya pun dah pegi buat imbasan, tetapi doktor masih belum dapat tahu jantinanya lelaki atau perempuan.

"Bagi saya dan Fauzi sendiri, tak kisahlah bayi ini lelaki atau perempuan. Kami hanya berharap dia sihat. Itu yang paling penting," katanya yang mungkin akan melahirkan anak keduanya itu sekitar akhir Oktober depan.

Ujar Lis, ketika ini, dia terpaksa menolak banyak tawaran berlakon kerana ingin memberikan tumpuan terhadap kandungannya. Malah, simptom yang agak teruk dialaminya kali ini juga membataskan Lis untuk bergiat aktif.

"Kali ini memang simptom pembawaan budak yang saya alami agak teruk. Saya asyik batuk saja. Selain itu, saya juga selalu 'moody'. Nasib baik juga suami memahami.

"Jadi, buat masa sekarang, saya jadi suri rumah sepenuh masa saja. Dapatlah saya masak juadah berbuka puasa untuk suami sepanjang Ramadan ini," ujar Lis.

Namun begitu, tutur Lis, dia sempat menjayakan beberapa buah telefilem untuk siaran sempena Ramadan dan Hari Raya nanti, seperti Raya Bersama Mawi untuk siaran Astro dan Ramadan (RTM1).

Artikel Lain