suria

Emosi terpendam Jamal selama 30 tahun terungkai

Jamal bersama artis-artis Istana Budaya 'melakonkan' semula watak zaman remajanya sebelum menyertai Bintang RTM - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN
Jamal bersama artis-artis Istana Budaya 'melakonkan' semula watak zaman remajanya sebelum menyertai Bintang RTM - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN
Jamal bersama artis-artis Istana Budaya 'melakonkan' semula watak zaman remajanya sebelum menyertai Bintang RTM - foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN

PREBIU konsertnya yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), malam tadi memang diakui oleh tuan empunya diri bahawa masih banyak kekurangan yang terselit.

Meskipun disaksikan oleh kira-kira 1,300 penonton yang terdiri daripada pihak media, ahli keluarga dan tetamu jemputan, sesi prebiu yang sebenarnya hanya merupakan 'full-dress rehearsal' Jamal...Kembara Seniman ini tidak dipandang enteng oleh Raja Pop tersohor ini walaupun konsert sebenar hanya bermula pada malam ini sehingga 9 Ogos.

Sedikit kekurangan di sana sini seperti masalah sistem bunyi di awal persembahan, pasti diambilkira oleh Jamal Abdillah untuk menampilkan yang terbaik pada persembahannya selama lima malam itu. Namun, apapun tiada siapa yang dapat menyangkal aura penyanyi berusia 50 tahun ini yang ternyata masih utuh.

Hampir tiga jam menyanyikan 38 buah lagu, konsert yang turut mengetengahkan elemen teater muzikal dengan memaparkan perjalanan seni Jamal selama 30 tahun sememangnya tidak menghampakan.

Dua segmen ditampilkan, yang mana untuk segmen pertama iaitu teater muzikal, Jamal mengimbas kisah hidupnya sejak lahir, zaman remaja sehinggalah dia menyertai program Bintang Remaja dan mengecapi zaman kegemilangannya dengan lakonan yang cukup baik.

Lagu-lagu seperti Senandung Semalam, Pesona Dusta dan Seniman Menangis menjadi penghias segmen ini sambil turut memaparkan klip-klip Jamal sebagai anak seni.

Agak mencuit hati juga melihat aksi Jamal melakonkan semula wataknya sewaktu remaja dengan berpenampilan seperti anak muda. Namun lakonan Jamal itu tetap 'menjadi' di samping turut mewarnai segmen itu dengan menyanyikan lagu-lagu yang memang 'kena' dengan babak-babak tersebut.

Itu tidak termasuk lagi babak-babak lain seperti rintihan emosinya yang sepi di sebalik kemasyhuran yang dikecapinya. Penghayatan emosi Jamal cukup mendalam, apatah lagi kerana dialah sendiri yang telah melalui onak ranjau itu.

Meskipun tidak semua kisah hidupnya dipentaskan, namun, luahan emosi Jamal menerusi babak tersebut sedikit-sebanyak mampu membuatkan penonton merasai 'keperitan' yang penyanyi itu sendiri tidak termampu untuk gambarkan.

Tidak kurang juga ketika babak 'konflik' yang dialami dengan komposer terkemuka, Datuk Ahmad Nawab satu masa dulu. Aksi 'pertengkaran' antaranya dan komposer itu turut dilakonkan semula olehnya dan Fadhil Hidayat Ghazali.

"Suka atau tidak, mahu atau tidak, saya tidak dapat nafikan jasa Ahmad Nawab pada saya selama ini," luah Jamal, sebelum menyanyikan lagu medley yang diciptakan oleh komposer itu iaitu Perpisahan Tanpa Relamu, Nasib Diriku, Kembalilah dan Sepi Seorang Perindu.

Namun, tatkala bertemu dengan Jamal sebaik berakhirnya konsert itu, sambil tersenyum, penyanyi ini menjelaskan:

"Sebenarnya konflik antara saya dan dia tidaklah seteruk yang ditunjukkan itu, tapi saya buat jalan ceritanya berlandaskan pada lagu yang akan saya nyanyikan untuk babak tersebut.

"Antara saya dan dia sebenarnya tercetus konflik biasa-biasa saja."

Segmen kedua pula iaitu 'konsert', Jamal hanya mendendangkan lagu-lagu popular yang kebanyakannya di dalam bentuk medley dan turut diselitkan tribut kepada Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

Antara lagu-lagu yang dipersembahkannya ialah Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Gadis Melayu, Aku Penghibur, Ghazal Untuk Rabiah, Getaran Jiwa, Tunggu Sekejap, Lancang Kuning, Samrah Mentari, Antara Yakin dan Curiga, , Apa Lagi, Hatiku Luka, Kembali, Kehebatan Cinta (duet bersama juara Bintang RTM 2009 Nur Ernie Shahirah), dan Sandarkan Pada Kenangan (duet bersama pemenang tempat ketiga Bintang RTM 2009 Nur Fatin Nabila).

Jamal melabuhkan tirai konsert itu dengan menyanyikan lagu Barang Yang Lepas Jangan Dikenang yang ditujukan khas buat arwah bapanya.

Kehebatan vokal Jamal nyata masih terserlah menerusi lagu-lagu tersebut. Cuma, adakalanya konsentrasi penonton terhadap kelantangan vokalnya sedikit 'terganggu' kerana kemunculan begitu ramai penari di pentas untuk hampir setiap lagu.

Namun, secara keseluruhannya, Jamal tetap berjaya menampilkan persembahan yang cukup menghiburkan. Meskipun segmen pertama sewaktu penceritaan kisah hidupnya dilihat agak 'meleret', namun, Jamal berjaya membangkitkan semula 'mood' penonton di segmen kedua.

Melihat kepada pemilihan lagu pada malam itu yang ada setengahnya jarang didengar oleh penonton, Jamal mempunyai alasan tersendiri mengapa dia berbuat demikian dan sanggup 'meminggirkan' lagu berhantunya, Azura.

"Sudah terlalu kerap saya nyanyikan Azura di mana-mana 'show'. Lagu-lagu lain juga bagus, tapi cuma saya jarang nyanyikannya sebelum ini. Tapi, saya gembira melihat respon penonton yang masih terhibur dengan lagu-lagu tersebut," katanya.

Ditanya tentang tahap persembahannya pada malam prebiu itu, kata Jamal, dia akui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, terutamanya pada segmen muzikal. Namun, semua itu akan cuba diteliti olehnya dan produksi sebelum tampil dengan malam pembukaan yang lebih menarik.

Jamal...Kembara Seniman ini menampilkan penyanyi itu sendiri sebagai 'mastermind' konsert tersebut dengan turut dibantu oleh tenaga kreatif lain iaitu Mohd Fairuz Ariffin sebagai pengarah artistik, Zainal Abiddin Bujang sebagai pengarah persemahan dan pengarah tari serta S.Atan selaku pengarah muzik.

Dalam pada itu, Jamal turut melahirkan rasa terharu apabila sambutan jualan tiket untuk lima hari konsert tersebut amat memberangsangkan. Ketika ini, sebanyak 70 peratus tiket sudah habis dijual.

Tanpa tajaan besar oleh mana-mana pihak, ternyata Jamal berjaya membuktikan namanya masih kuat untuk menarik peminat-peminatnya hadir menyaksikan konsert istimewanya itu. Malah, Jamal sendiri tidak menganggap ini akan menjadi konsert terakhirnya.

"Ini bukan kejayaan saya seorang, tapi atas bantuan pihak media dan IB juga. Bagi saya, amat mustahil untuk menggerakkan konsert ini jika tiada jalinan kerjasama yang baik.

"Kalau ikutkan, memang letih buat konsert sebab memerlukan komitmen yang tinggi. Serik juga nak buat, tapi bila difikirkan semula, ini adalah satu kepuasan buat saya," tuturnya yang kelihatan cukup gembira apabila menyaksikan kehadiran dua orang anaknya, Osama Yamani, 8, dan Ahmad Zaki Yamani, 2, di sidang media selepas berakhirnya konsert tersebut.

Bekas isterinya, Fatimatuzahra Samat juga dilihat hadir menyaksikan konsert itu bersama ahli keluarganya.

Tiket untuk menyaksikan Jamal...Kembara Seniman yang berharga RM75, RM100, RM150, RM250 dan RM300 masih boleh didapati dengan melayari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600.

Artikel Lain