suria

Prof Razak: Konsep filem ‘Skrip 7707’ yang pertama di dunia

Barisan pihak yang menjayakan filem 'Skrip 7707. -foto The Star oleh RICKY LAI
Barisan pihak yang menjayakan filem 'Skrip 7707. -foto The Star oleh RICKY LAI
Barisan pihak yang menjayakan filem 'Skrip 7707. -foto The Star oleh RICKY LAI

SEBELUM ini kita pernah menonton beberapa buah filem seram Hong Kong, Korea dan Thailand seperti filem seram Thai berjudul '4bia' (2008) yang menampilkan beberapa bahagian dalam sebuah filem.

Kali ini, pengarah Prof Madya A. Razak Mohaideen mempertaruhkan filem seram ‘Skrip 7707’ berkisarkan 10 cerita seram yang berlaku di Malaysia.

Razak pernah mengarah empat buah filem seram iaitu ‘Mistik’, ‘Potret Mistik’, ‘7 Perhentian’ dan ‘Rasukan Ablasa’.

Menurut Razak, konsep filem ke-28 yang dihasilkan olehnya ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pembikin filem di dunia.

“Saya yakin yang konsep filem ini belum ada di luar sana kerana saya telah membuat rujukan melalui internet dan bacaan.

“Yang saya tahu, kebanyakan filem hanya mengetengahkan tiga hingga empat cerita dalam sebuah filem seram atau genre drama,” ulas Razak ketika sidang media dan pra-tonton filem ‘Skrip 7707’ di Cathay Cineleisure Damansara baru-baru ini.

Jelas Razak, dia mengadun konsep cerita sebegini setelah membuat kajian khalayak terlebih dahulu.

“Berdasarkan kajian khalayak yang dibuat, sebanyak 55 peratus responden yang ditemubual mengatakan filem seram Malaysia lambat memberikan kejutan manakala 22 peratus pula mempunyai klimaks yang lambat.

“Jadi, dalam filem ini saya memberikan kejutan pada setiap 10 minit dan ini bermakna ia juga memberikan 10 kali klimaks,” katanya.

Menurut Razak, filem yang diterbitkan oleh Primeworks Studios Sdn Bhd dengan usahasama Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd ini dibentuk pada tahun 2007 dengan mengambil kira latar cerita yang berlainan.

Misalnya, cerita-cerita dalam ‘Skrip 7707’ menggunakan universiti, kampung, tanah kubur dan kawasan rumah tinggal sebagai latar tempat dan masa.

Selain itu, Razak memberitahu filem yang bakal ditayangkan di 50 buah pawagam seluruh negara mulai 16 Julai ini mempunyai kekuatannya tersendiri.

“Setiap cerita yang dihidangkan mempunyai kaitan dengan plot utama cerita.

“Filem ini juga menggabungkan pelakon baru, pelakon veteran dan pelakon yang dikenali ramai.

“Selain itu, ia menggunakan sistem Digital Dolby Surround untuk memberi kesan muzik kerana filem seram memerlukan bunyi yang sedap dan kesan Imejan Komputer (CGI) yang dirasakan sesuai dengan jalan cerita,” ujar Razak.

Antara pelakon veteran dan muka baru digandingkan di dalam filem ini termasuklah Que Haidar, Abby Abadi, M.Rajoli, Ruminah Sidek, Almy Nadia, Norman Abd. Halim, Jehan Miskin, Fasha Sandha dan ramai lagi nama besar industri filem tanah air.

LPF potong tiga bahagian

Bagaimanapun, filem yang menelan belanja sebanyak RM1.3 juta termasuk kos promosi ini tidak lepas dari mendapat perhatian Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia.

“Filem ini telah dipotong sebanyak tiga bahagian yang dirasakan agak ekstrim oleh pihak LPF iaitu bahagian yang mengaitkan Fasha Sandha dan Jehan Miskin.

“Babak pertama semasa Fasha menggugurkan anak menggunakan kaedah tradisional. Jadi, ia telah mengurangkan impak untuk menonjolkan babak tersebut.

“Sementara yang kedua adalah Jehan memukul mangsa seperti gangster yang sepatutnya tidak boleh lebih dari dua kali,” ujarnya.

‘Skrip 7707’ ke Perth

Pengarah filem dan drama tersohor ini turut meuar-uarkan berita tentang filem ini akan ditayangkan di Perth, Australia tidak lama lagi.

“Kita sedang mengusahakan untuk menayangkan filem ‘Skrip 7707’ kepada pelajar dan penduduk di Perth sebelum bulan puasa nanti untuk memperkenalkan filem kita di sana.

“Sebelum ini, kita pernah menayangkan filem ‘Duyung’ di Melbourne, Australia,” tutur Razak mengenai filem yang mengambil masa selama dua setengah tahun untuk disiapkan ini.

Tambahnya, filem ini mengambil masa yang lama kerana ia membabitkan teknik CGI dan ditambah pula dengan tumpuan filem ‘Duyung’ dan ‘Rasukan Ablasa’,” jelasnya.

Bimbang bersaing dengan filem ‘Harry Potter’

Memandangkan filem ‘Harry Potter and the Half-Blood Prince’ akan ditayangkan serentak dengan filem ‘Skrip 7707’ pada 16 Julai ini, Razak enggan meletakkan sasaran khalayak yang akan menonton filem arahannya itu nanti.

“Saya rasa masih baru untuk meletakkan sasaran kerana filem ini akan berentap dengan filem ‘Harry Potter and the Half-Blood Prince’.

“Ia agak membimbangkan saya, jadi saya tidak mahu meletakkan sasaran dan jika dapat sebegitu pun alhamdulillah.

“Kita memikirkan dengan konsep artis yang ramai, ia mampu mengumpul dalam 5 hingga 10 ribu peminat bagi 10 orang artis.

“Jadi, jika lebih 35 orang artis mungkin mampu mengumpul dalam 350 ribu penonton yang memberikan rangkaan kasar kutipan sebanyak RM4 juta.

“Kita hanya mengharapkan sokongan penonton tetapi agak mustahil juga untuk mencapai sasaran itu kerana cabaran dengan filem barat,” kata Razak.

Sinopsis

Filem ‘Skrip 7707’ ini bermula dengan pencarian sebuah skrip kisah seram yang sempurna daripada seorang lelaki bernama Burn.

Dalam usahanya untuk mencari skrip itu, beliau telah meminta perjumpaan ditetapkan untuk sesiapa yang rela berkongsi kisah-kisah seram yang pernah mereka lalui.

Perjumpaan itu dihadiri oleh sembilan orang dengan kisah-kisah mereka yang tersendiri.

Antara kisah yang diceritakan adalah lagenda jelmaan hantu di asrama, hantu yang ‘menumpang’ di hospital lama, hantu raya dan banyak lagi.

Selepas puas dengan cerita-cerita yang didengarinya, Burn pulang dengan gembira.

Tetapi keadaan bertukar resah dan seram apabila setiausaha di pejabatnya mengatakan bahawa perjumpaan itu akan diadakan pada malam itu.

Burn berasa hairan kerana dia amat pasti dia sudah mengadakan perjumpaan tersebut.

Apa kata para pelakon

Shahrul: “Saya melakon watak seorang 'seekers' bernama Zaki. Watak saya dalam cerita ini mengingatkan saya kepada pengalaman saya dahulu yang pernah masuk ke dalam rumah lama.”

Maimunah Ahmad (Mak Jah): “Dalam filem ini, saya melakonkan watak seorang bidan yang juga bernama Mak Jah. Saya berasa sangat takut semasa melakonkan babak memakan anak sehingga rasa nak muntah tapi saya terpaksa juga melakukannya.”

Jehan Miskin: “Saya mendapat pengalaman baru apabila berlakon dalam filem ini kerana selepas menonton tadi, saya rasa seperti orang lain yang berlakon dalam filem itu.”

Saksikan filem 'Skrip 7707' mulai 16 Julai ini di 50 pawagam di seluruh Malaysia!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain