suria

Pembawa budak...Linda semakin rajin beramal

Linda Jasmine dan suaminya, Que Haidar.
Linda Jasmine dan suaminya, Que Haidar.
Linda Jasmine dan suaminya, Que Haidar.

UMUM mengenalinya sebagai koreografer, namun mungkin ramai yang tidak mengetahui Linda Jasmine juga bergiat dalam kerja-kerja amal.

Pemilik nama Linda Jasmine Hashim ini menyertai pertubuhan khidmat masyarakat seluruh dunia, Soroptimist Antarabangsa (SI) di Ampang.

Walaupun sedang sarat mengandung empat bulan, isteri kepada aktor Que Haidar ini masih melakukan aktiviti yang dilakukan sejak dua tahun lalu.

“Apa salahnya saya membuat kerja ini kerana saya memang sudah lama teringin untuk membuat kerja amal sebelum ini lagi.

“Cuma dalam tiga bulan pertama semasa mula mengandung dulu, saya tidak dapat buat apa-apa sebab mabuk.

“Saya rasa bersalah pula sebab banyak kerja yang saya tak buat. Nak jawab telefon pun saya tak larat.

“Sekarang, saya aktif menghadiri program seperti ini sahaja tetapi tidak aktif secara fizikal.

“Kerja-kerja seperti ini saya boleh lakukan tetapi jika hendak melompat dan menari memang tidak boleh,” ujar Linda dalam nada berseloroh ketika menghadiri majlis penyerahan cek oleh pihak SI Ampang kepada PRIDE Malaysia di Alexis, Great Eastern (GE) Mall semalam.

Sebanyak RM18,000 yang diserahkan kepada Pengerusi PRIDE, Datin Azrene Abdullah bagi menunjukkan usaha mereka dalam meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara.

Wang tersebut dikutip menerusi inisiatif Bazar Amal SI Ampang yang dianjurkan di GE Mall sekitar Februari lalu.

Jelas Linda, niatnya hanyalah untuk membantu sesiapa yang memerlukan lantas langsung tidak terdetik untuk menghebahkan tentang kerja yang dilakukan selama ini kepada umum.

“Banyak orang yang tidak tahu saya buat kerja ini sebab saya tak senang-senang saja hendak panggil media.

“Misalnya, apabila saya pergi melawat kanak-kanak yang menghidap kanser dan memerlukan bantuan, saya tidak pernah meuar-uarkan kepada media kerana saya bukan nak promosi diri-sendiri tetapi lebih untuk menolong orang.

“Tetapi berlainan pula dengan hari ini sebab saya dan anggota SI yang lain mahu menyedarkan orang lain tentang kanser,” kata ibu kepada Qalif Khan ini.

Bercerita tentang tugasnya dalam SI Ampang, Linda berkata dia membantu mengikut kemampuan masa dan tenaganya kerana semua aktiviti yang dilakukan tidak semestinya dia ‘wajib’ lakukan.

“SI Ampang dianggotai oleh 18 wanita. Hanya mereka yang mempunyai masa lapang akan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan kerana antara kami ada yang bekerja dan ada juga yang surirumah.

“Masa saya mula-mula masuk dulu, saya takut jika tiada masa terluang untuk sertai aktiviti yang dilakukan tetapi lama-lama saya komited juga.

“Semua wanita dalam pertubuhan ini mempunyai kekuatan tersendiri mengikut latar belakang dan kerja yang berlainan.

“Contohnya, saya berada dalam bidang seni dan boleh berhubung dengan orang seni. Selain itu, ada yang bekerja di syarikat Maxis, berkelulusan ijazah dan berpengalaman dalam kerja amal. Jadi, masing-masing mempunyai pelbagai pengaruh.

“Minggu depan, saya akan berjumpa dengan kanak-kanak yang menghidap kanser di Hospital Besar Kuala Lumpur. Jadi, tugas saya biasanya untuk menghubungi selebriti yang mahu menyertai kami.

“Antara selebriti yang saya lihat betul-betul berminat menyertai kami seperti Vanida Imran, Rashidi Ishak, Dafi dan Amylea,” cerita Linda yang semakin berseri-seri mengandung bayi perempuan.

Selain itu, SI Ampang turut melawat kanak-kanak dan wanita yang tidak bernasib baik di penjara seperti Penjara Kajang, mangsa banjir, dan anak-anak yatim

“Misalnya, kami akan melawat kanak-kanak di hospital dan penjara untuk melihat bagaimana keadaan orang yang susah dan bagaimana kita boleh membantu mereka.

“Macam-macam bantuan yang kami berikan seperti kewangan dan ubat.

“Walaupun kami berpusat di Ampang tetapi kami turut ‘cover’ banyak kawasan dan boleh dikatakan kami cuba buat banyak perkara dan tempat,” tambah Linda.

Cerita Linda lagi, dia mula menyertai pertubuhan ini menerusi seorang rakan iaitu Presiden SI Ampang, Tengku Loreta Tengku Datuk Setia Ramli yang dikenalinya semasa dia bergelar koreografer Akademi Fantasia musim keempat.

“Sebelum turut serta, saya sudah berhajat untuk membuat kerja amal tetapi saya tidak tahu bagaimana caranya sehinggalah saya berjumpa dengan kawan, Tengku Loreta.

“Saya sangat gembira kerana dapat menyertai kumpulan ini dan dapat melakukan serta mengetahui banyak perkara.

“Misalnya, saya dapat belajar bagaimana hendak buat kanak-kanak yang mengalami kanser gembira sementara mereka masih hidup.

“Apa yang saya rasa selepas itu, bukan senang nak tolong orang sebab hidup kita bermasyarakat.

“Kadangkala saya terfikir bagaimana kita nak tolong orang selama-lamanya. Yang pasti, kita tak boleh buat kerja seorang diri dan mesti bantu-membantu antara satu sama lain,” akhirinya.

Linda berhasrat untuk meneruskan kerja amal ini sampai bila-bila dan cuba untuk mempelajari serta mengenali cara yang lebih mudah untuk membantu mereka yang memerlukan.

Artikel Lain