suria

Aizat teruja nak buat persembahan ekstrim untuk APM2009

Aizat teruja nak buat persembahan ekstrim di APM2009 pada 18 Julai ini di Jakarta. -foto The Star oleh SAM THAM
Aizat teruja nak buat persembahan ekstrim di APM2009 pada 18 Julai ini di Jakarta. -foto The Star oleh SAM THAM
Aizat teruja nak buat persembahan ekstrim di APM2009 pada 18 Julai ini di Jakarta. -foto The Star oleh SAM THAM

SETIAP kali Anugerah Planet Muzik (APM) diadakan, penyanyi dan pemuzik tempatan pastinya mahukan suatu magis berlaku melibatkan muzik tempatan, Indonesia dan Singapura.

Seperti penyanyi tempatan, Aizat mengharapkan APM2009 mampu memberikan uniti antara semua negara.

“Ini kerana kita mahu pulihkan isu ‘pecah-belah’ dan gabungkan dunia melalui muzik.

“Jadi, kita perlu lebih terbuka dan besarkan hati kita dengan mengamalkan konsep ‘satu serantau’,” ujar Aizat yang menganggap APM sebagai medan untuk meluaskan pergaulan antara tiga buah negara.

Selain itu, Aizat juga teruja untuk membuat persembahan yang ekstrim di majlis anugerah itu serta menghargai peluang yang diberikan.

Ini kerana Aizat akan berkongsi pentas dengan artis-artis dari tiga negara di Pusat Konvensyen Jakarta pada 18 Julai ini di malam anugerah itu.

Aizat tercalon bagi kategori persembahan vokal terbaik dalam lagu (artis baru lelaki), artis lelaki terbaik, album terbaik dan artis Malaysia paling popular berdasarkan SMS.

Bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) musim kelima ini bersandar kepada dua lagunya, ‘Hanya Kau Yang Mampu’ dan ‘Percubaan Pertama’.

Sementara itu, Stacy yang pertama kali dicalonkan untuk anugerah itu berasa bertuah memandangkan dia masih baru dalam industri seni ini.

“Saya rasa bertuah kerana baru lebih setahun berada dalam industri ini, saya sudah tercalon dalam anugerah yang besar ini.

“Saya tak harapkan kemenangan tetapi jika menang ia merupakan suatu bonus, rezeki serta platform untuk saya terus berada dalam industri ini.

“Saya nampak agak susah juga untuk menang lebih-lebih lagi pertandingan ini melibatkan tiga buah negara iaitu Indonesia, Singapura dan Malaysia,” tutur Stacy.

Penyanyi yang popular dengan lagu ‘Gagap’ ini tercalon bagi kategori Persembahan vokal terbaik dalam lagu (artis baru wanita) menerusi lagu ‘Aku Stacy’ dan Artis Malaysia paling popular berdasarkan SMS.

Jelas anak kelahiran Sabah ini, dia berasa belum layak untuk memenangi anugerah yang dicalonkan atas alasan masih ‘mentah’.

“Saya rasa saya belum layak untuk menang sebab masih baru jika dibandingkan dengan artis lain seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir,” luahnya dalam nada merendah diri.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan gelaran ‘Superman’ iaitu Faizal Tahir turut tidak menaruh harapan tinggi untuk memenangi sebarang anugerah mahupun tercalon dalam APM2009.

“Secara realistik, kini sudah tiga tahun saya dalam industri tetapi saya masih rasakan yang saya mungkin tidak dikenali di Indonesia berbanding dengan band indie lain seperti Hujan dan Bunkface yang pernah ke sana.

“Saya belum diberi peluang dan album saya pun belum sampai ke sana. Jadi, saya tidak hairan dan tidak terkejut kalau nama Faizal Tahir terasing dalam kategori Artis Serantau Paling popular,” jawab Faizal yang terkejut juga apabila namanya tersenarai dalam calon top 4 yang mendapat undian tertinggi setakat ini bagi kategori tersebut.

Keputusan undian tidak rasmi baru-baru ini menunjukkan Faizal menduduki tempat ketiga selepas ST12 dan Siti Nurhaliza.

Kata Faizal, “Saya terkejut juga apabila mendapat top 4 tetapi saya tahu yang saya akan duduk di situ. Kalau dapat kekal nombor dua pun, saya tetap mengucapkan syukur, Alhamdulillah.

“Saya tengok peminat Siti pun sangat besar. Dia sangat lama dalam industri ini dan berhak untuk mendapat anugerah itu.”

Selain itu, bapa kepada tiga orang anak ini turut dicalonkan dalam kategori Artis Malaysia Paling Popular menerusi SMS.

Tambah Faizal, memang niat utamanya dalam perancangannya untuk membawa muziknya menembusi pasaran luar.

“Tetapi selagi belum ada kepuasan muzik saya bertapak di Malaysia ni, mungkin belum ada lagi.

“Setakat ini, album saya pun baru sampai di Singapura sahaja,” katanya yang turut terkejut dengan sambutan luar biasa tentang lagu single terbarunya, ‘Bencinta’.

Menurut Faizal, lagu itu dirakamkan dalam masa dua minggu sahaja sebelum dia membuat persembahan di Anugerah Bintang Popular 2008 sebelum ini.

“Saya buat lagu Bencinta dengan Audi Mok dalam masa sekejap sahaja kerana kami perlu kejar masa disebabkan saya hendak membuat persembahan dengan lagu baru.

“Saya rasa orang lain baru lagi menonton persembahan saya menerusi lagu ‘Coba’ dan ‘Sampai Syurga’ di Anugerah Juara Lagu ke-23 sebelum ini.

“Jadi, saya memang tidak sangka yang lagu ‘tangkap muat’ itu sudah mampu menduduki carta teratas di stesen-stesen radio tempatan,” luah Faizal yang dijangka akan mengeluarkan album terbarunya dalam bulan September nanti.

Akhiri Faizal, “Album ini agak ‘slow and steady’ kerana saya jadi cerewet apabila orang lain menaruh harapan yang tinggi.

“Jadi, saya akan pastikan jika album ini tidak terbaik, ia mungkin lebih baik dari album sebelum ini.”

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain