suria

Siti pamer 8 baju kenangan di Konsert Eksklusif ‘SATU’

KONSERT Eksklusif ‘SATU’ Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun ini.
KONSERT Eksklusif ‘SATU’ Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun ini.
KONSERT Eksklusif ‘SATU’ Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun ini.

KONSERT Eksklusif ‘SATU’ Datuk Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun ini dijangka menjadi lebih menarik apabila penyanyi tersohor itu akan mempamerkan baju kenangannya sepanjang berkecimpung dalam industri ini.

Menurut kakak ipar Siti selaku pengurusnya, Rozi Abdul Razak, sebanyak lapan pasang baju Siti akan dipamerkan di lobi Istana Budaya.

“Kita mungkin akan pamerkan baju-baju kenangan Siti dalam kariernya di lobi dalam seminggu sebelum konsert itu berlangsung.

“Sekurang-kurangnya, penonton yang hadir mempunyai aktiviti sampingan sementara menunggu konsert itu bermula selain membaca info tentang Siti,” kata Rozi.

Memandangkan konsert akan berlangsung dalam masa seminggu lagi, Rozi turut mengulas tentang persiapan Siti dan sambutan konsert sekarang.

“Selepas majlis sidang media pada 19 Mei lepas, Siti mula membuat latihan pergerakan dan muzik.

“Siti juga telah pergi ke butik Jakel untuk memilih kain dan sekarang pereka fesyen sedang menyiapkan baju Siti.

“Sambutan konsert juga agak menggalakkan kerana dalam masa dua minggu sahaja sebanyak 90 peratus tiket sudah dijual,” ujarnya.

Bercerita tentang tiket, Rozi berkata sebanyak 95 peratus tiket berharga dari RM80 hingga RM300 untuk 27 dan 28 Jun ini sudah terjual.

Sementara tiket persembahan pada 26 Jun pula sudah terjual 50 peratus dari harga RM180 dan RM250 selepas ia dibuka kepada pengguna Maxis sahaja mulai 13 Jun lalu.

“Disebabkan Maxis selaku penaja utama, jadi untuk konsert pada 26 Jun ini kami memberikan diskaun sebanyak 20 peratus kepada pengguna Maxis. Mereka hanya perlu menunjukkan telefon bimbit masing-masing di kaunter [email protected] pada malam pertama itu.

“Bagi penonton biasa, mereka boleh membeli tiket dengan menghubungi 03-41498600 dari pukul 9 pagi hingga 6 petang dari Isnin hingga Jumaat.

Info mengenai Konsert Eksklusif “SATU”

Konsert sempena Hari Bapa ini juga merupakan konsert amal anjuran badan kebajikan Yayasan Nurjiwa yang ditubuhkan olehnya dan suami pada tahun 2006 serta diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd.

Idea untuk mengadakan Konsert Eksklusif ‘SATU’ ini telah lama dibualkan sejak beberapa tahun lalu namun baru sekarang ia terlaksana.

Kata Siti, konsert ini merupakan persembahan eksklusif solo pertamanya di Istana Budaya (IB) dengan menyampaikan lagu-lagu secara penuh dan medley dari albumnya sendiri bermula daripada album Transkripsi sehingga album Lentera Timur.

Konsert yang ditaja oleh Maxis, Tan Sri Abdullah Ali dan Jakel (kain dan persalinan) ini akan dipersembahkan selama dua jam.

Konsert ‘SATU’ terilham daripada saranan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak yang memberi inspirasi ‘SATU MALAYSIA’.

Konsert ‘SATU’ juga menyatukan semua elemen yang dipersembahkan di pentas menjadi satu iaitu muzik, efek, tarian, visual, grafik, koreografi dan teknikal.

Menurut Siti, konsert beranggaran lebih setengah juta itu akan menghidangkan lebih kurang 30 buah lagu yang akan disusun semula muziknya oleh Aubrey Suwito selaku pengarah muzik manakala koreografer Pat Ibrahim bertindak sebagai pengarah konsert.

Siti berkata konsert ini menggunakan muzik iringan orkestra tapi bukan semua lagu dipersembahkan dalam bentuk ini kerana ia perlu mengikut kesesuaian lagu juga.

Pat berkata konsert bercorak ‘theatrical’ itu akan direalisasikan dengan bantuan 25 orang penari.

Artikel Lain