SEORANG wanita maut selepas dipercayai ditikam di leher oleh teman lelakinya sendiri.Tragedi ngeri itu dipercayai berlaku selepas mangsa bertengkar dengan kekasihnya ketika makan malam bagi membincangkan hal perkahwinan mereka di Bengaluru, India. Berdasarkan laporan, mangsa dikenali sebagai Anjali, 23, diserang kira-kira pukul 9.30 malam Ahad selepas dikatakan bertemu suspek, Rajeev, yang merupakan teman lelakinya sejak tiga hingga empat tahun lalu.Menurut polis, pasangan itu berkenalan ketika bekerja di tempat yang sama, namun hasrat mereka untuk berkahwin ditentang keluarga mangsa kerana tidak bersetuju dengan latar belakang suspek.Difahamkan, Rajeev berulang kali cuba memujuk Anjali dan keluarganya supaya merestui hubungan mereka. Namun sejak kebelakangan ini, mangsa dikatakan mula menjauhkan diri selepas akur dengan desakan ibu bapanya.Pada malam kejadian, suspek didakwa mengajak Anjali keluar makan sebelum sekali lagi membangkitkan isu perkahwinan sehingga tercetusnya pertengkaran.Mangsa kemudian dilaporkan meninggalkan lokasi, namun suspek mengekorinya sebelum bertindak menikam leher wanita itu menggunakan pisau yang dibawanya.Orang awam yang menyaksikan kejadian segera membawa mangsa ke hospital berhampiran, namun wanita itu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.Polis berjaya menahan suspek beberapa minit selepas kejadian. -Agensi