Menurut Undang-undang Jenayah China, individu yang menyebabkan kematian melalui tindakan yang kejam berdepan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun, penjara seumur hidup, atau hukuman mati. -Gambar hiasan
SEORANG bapa mengundang kecaman ramai selepas bertindak menandatangani surat persefahaman bagi memaafkan teman wanitanya yang didakwa menyebabkan kematian anak lelakinya yang berusia 18 bulan.Kes yang berlaku di wilayah Guangdong, China itu menjadi perhatian meluas selepas bekas isteri lelaki berkenaan, dikenali sebagai Xie, menuntut siasatan menyeluruh terhadap kematian anak mereka. Menurut Xie, dia dan bekas suaminya, Li, bercerai pada April tahun lalu.Hak penjagaan anak sulung diberikan kepadanya, manakala Li menjaga anak bongsu mereka yang berusia 18 bulan.Pada November lalu, Xie menerima panggilan daripada bekas bapa mentuanya memaklumkan anak bongsunya meninggal dunia.Dia kemudian bergegas ke hospital dan mendapati Li sedang menguruskan proses pembakaran mayat bayi mereka.Doktor memaklumkan bayi tersebut mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala selain perut yang mengembung, sebelum mencadangkan bedah siasat dijalankan.Xie kemudian tampil membuat laporan polis dan hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai ditendang di bahagian perut dalam tiga kejadian berasingan.Polis mengenal pasti teman wanita Li yang dikenali sebagai Guo sebagai suspek utama.Bagaimanapun, Li mempertahankan Guo dengan alasan teman wanitanya itu menjaga anaknya dengan baik dan tidak berniat mencederakannya.Seorang peguam, Liu Kai, berkata surat persefahaman yang ditandatangani Li masih mempunyai 'nilai' di sisi undang-undang kerana diberikan oleh salah seorang ibu bapa mangsa.Mengikut undang-undang jenayah China, individu yang menyebabkan kematian melalui perbuatan kejam boleh dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati.Kes itu turut mencetuskan kemarahan netizen yang menganggap tindakan Li sukar diterima."Dia mengeluarkan surat persefahaman kerana dia juga bertanggungjawab terhadap kematian anaknya," tulis seorang pengguna media sosial."Ketidakpedulian seorang bapa lebih mengerikan daripada keganasan si pendera," kata netizen yang lain. -Agensi