Pemandu Mercedes-Benz tersebut berdepan tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kecederaan serta kerosakan harta benda. -Foto Khaosod
GARA-GARA tidak dapat menerima perpisahan dengan kekasihnya, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila merempuh lapan kenderaan menggunakan sebuah Mercedes-Benz yang baru didaftarkan.Kejadian yang berlaku di Jalan Sriwara, daerah Wang Thonglang, Bangkok itu tular di media sosial selepas rakaman video memaparkan kereta mewah dengan nombor pendaftaran sementara berwarna merah itu melanggar beberapa kenderaan sehingga kebanyakannya rosak teruk. Menurut saksi, pemandu lelaki berusia lingkungan 30-an itu dipercayai hilang kawalan emosi selepas menerima panggilan telefon daripada pasangannya yang memutuskan hubungan mereka.Katanya, dia terdengar beberapa dentuman kuat sebelum melihat sebuah Mercedes-Benz berwarna kelabu dipandu laju dan merempuh beberapa kenderaan lain.Akibat kejadian itu, lapan kenderaan rosak manakala dua individu yang berada di dalam salah sebuah kereta mengalami kecederaan ringan.Sebaik tiba di lokasi, polis pada mulanya mengesyaki pemandu terbabit memandu di bawah pengaruh alkohol, namun pemeriksaan mendapati sebaliknya.Seorang penunggang motosikal yang membantu menenangkan pemandu tersebut berkata, lelaki itu dilihat menggeletar dan menangis.Ujarnya, pemandu berkenaan mengakui tertekan kerana putus cinta.Pemandu tersebut turut menyatakan kesediaan untuk membayar ganti rugi kepada semua mangsa yang terlibat.Dia kemudian ditahan dan berdepan tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kecederaan serta kerosakan harta benda, manakala siasatan lanjut masih diteruskan. -Agensi