SEORANG pelajar wanita ditemukan meninggal dunia sendirian di bilik sewanya selepas dipercayai berjaga hingga lewat malam bagi menyiapkan tesis.Kematian mangsa berusia 25 tahun itu hanya disedari selepas rakannya hadir untuk menyambung tesis di lokasi kejadian. Insiden dilaporkan berlaku di Daerah Kedungwaru, Kabupaten Tulungagung, Jawa Timur di Indonesia.Menurut Ketua Polis Kedungwaru, AKP Karnoto, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.30 tengah hari pada Sabtu."Sebaik menerima maklumat, anggota polis bersama pasukan forensik (Inafis), unit tugas khas dan anggota Samapta Polis Tulungagung bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan di tempat kejadian."Siasatan mendapati pada malam Jumaat, mangsa bersama dua rakannya berjaga sehingga lewat malam untuk menyiapkan tesis," ujarnya.Tambah beliau, seorang rakan yang bermalam di bilik mangsa memaklumkan dia masih melihat wanita itu tidur ketika bangun menunaikan solat Subuh sebelum pulang ke rumah.Bagaimanapun, kira-kira pukul 10 pagi keesokan harinya, rakan tersebut kembali ke bilik tersebut untuk menyambung kerja tesis sebelum mendapati mangsa terbaring dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri."Pemeriksaan rakannya ketika itu mendapati badan mangsa sudah sejuk dan tidak lagi bernafas," tambahnya.Susulan itu, rakan mangsa memaklumkan kejadian kepada pemilik rumah penginapan dan menghubungi ibu mangsa sebelum mayat dibawa ke Hospital Daerah Dr Iskak Tulungagung untuk pemeriksaan lanjut.Menurut Karnoto, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang kesan keganasan atau penderaan pada tubuh mangsa.Malah katanya, keluarga mangsa turut memaklumkan wanita itu mempunyai sejarah penyakit jantung dan menerima kejadian tersebut sebagai kematian mengejut tanpa mahu meneruskan sebarang tindakan undang-undang. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian. -Agensi