suria

Fauzi jadi romantik selepas duduk berjam-jam dengan Osman

Fauzi yang biasa berlakon watak antagonis terpaksa menghabiskan masa berjam-jam dengan Osman Ali. -foto Utusan
Fauzi yang biasa berlakon watak antagonis terpaksa menghabiskan masa berjam-jam dengan Osman Ali. -foto Utusan
Fauzi yang biasa berlakon watak antagonis terpaksa menghabiskan masa berjam-jam dengan Osman Ali. -foto Utusan

SELEPAS menandatangani kontrak sebagai pelakon utama filem pendek Buih-Buih Cinta arahan Osman Ali yang diterbitkan oleh Red Communications Sdn. Bhd dan Johnson & Johnson, aktor Fauzi Nawawi melihat mandian susu pasti tersedia di kamar mandi rumahnya sesudah dia terjaga dari tidur.

Suami kepada aktres Lisdawati ini menceritakan tentang detik-detik sejurus selepas dia dan isteri ‘dilamar’ untuk berlakon dalam filem pendek yang berdurasi 1 jam itu.

“Saya fikir, ini memang betul-betul isteri saya nak menjiwai watak kerana bauan itu ibarat permulaan cerita.

“Dalam filem ini, saya berlakon sebagai doktor buat kali pertama dan kali kedua berlakon dengan Osman Ali.

“Semasa berlakon filem pertama dengannya, saya mendapat anugerah pelakon jahat pada 2007 tetapi kali ini saya berlakon watak baik.

“Tetapi saya tetap suka berlakon watak jahat. Jadi, saya terpaksa duduk berjam-jam dengan Osman untuk menjadi romantik kerana dia memang pakar dalam bab romantik.

“Saya juga sudah buat yang terbaik dengan bantuan isteri,” kata Fauzi semasa sidang media dan pra-tonton filem pendek ini di Sheraton Imperial, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya kepada pengarah yang pernah menghasilkan filem Anak Halal dan Bukak Api tentang apa yang dilakukannya kepada Fauzi, Osman berkata dia hanya mengajar dan memberi pemahaman berdasarkan perwatakan seorang suami.

“Saya hanya bagi Fauzi faham watak itu sebab dia selalu berlakon watak ganas. Jadi, saya ‘guide’ dia dari seorang yang agresif kepada tone yang lembut sebagai seorang suami kepada isterinya,” kata Osman.

Osman juga berkata, “Pengalaman sepanjang bekerja dalam filem ini agak menarik kerana ‘chemistry’ antara pasangan pelakon ini (Fauzi dan Lisda) sudah ada seperti penyayang, romantik dan senang menjiwai watak selain komitmen mereka yang sangat baik.

“Cabaran paling besar untuk telefilem ini kerana susah berlakon dengan kanak-kanak (Puteri Qiestina Nisrien Ahmad Nadzri, 20 bulan) di lokasi. Kita kena ikut karenah dia dan pastikan dia cukup tidur terlebih dahulu sebelum memulakan pengambaran.”

Dalam pada itu, Lisdawati pula menyangkal yang suaminya tidak romantik.

“Suami saya sangat romantik cuma dia tidak berani untuk tunjuk di depan orang dan tidak selesa untuk masukkan dalam lakonan.

“Bagi dia, romantik itu adalah suatu privasi,” ujar Lisda yang memegang watak Soraya dalam filem pendek ini.

Sementara itu, penerbit Lina Tan juga menceritakan tentang filem yang mengalami proses pembikinan dalam tempoh lebih dua bulan itu.

“Setelah kami mendapat semua penyertaan, kami terus membuat pemilihan bersama pihak Johnson & Johnson dan melihat dari segi jiwa cerita yang menyayat hati, penjiwaan watak dan kreativiti menggunakan Johnson & Johnson dalam cerita itu sebelum ia dibuat filem.

“Selepas itu, kami terus memilih Osman Ali sebagai pengarah kerana dia merupakan pengarah yang boleh menjiwai watak wanita, jadi pilihan kami amat bertepatan memandangkan filem ini mempunyai dua watak wanita.

“Selain itu, Osman merupakan pengarah hebat yang telah menghasilkan dua buah filem,” tutur Lina.

Filem yang skripnya ditulis oleh Mohd. Nizam Nasir, 40, ini mengisahkan tentang Soraya yang terpaksa makan hati dengan kerenah suami, Sidek (Fauzi Nawawi) dalam beberapa tahun selepas berkahwin.

Sidek yang masih terkenangkan kekasih lamanya, Mila selalu bersikap dingin dengan Soraya meskipun mereka telah mempunyai seorang anak lakonan Puteri Qiestina.

Soraya berasal dari kampung dan selepas berkahwin dengan Sidek, mereka menetap di Kuala Lumpur.

Dalam melayari kesunyian, Soraya telah berkawan dengan jirannya, Diana (Vanidah Imran) yang terlibat dalam bidang fesyen dan produk kesihatan.

Lisda turut memainkan peranan sebagai Lolly yang juga adalah Soraya.

Demi menggembirakan Sidek, Soraya mengikut cakap Diana dengan menggantikan baju kurungnya yang longgar dan menukarnya dengan pakaian trend terkini iaitu rambut palsu dan mekap sehingga dia tampak jauh berbeza.

Filem ini merupakan sebuah filem romantik tentang hubungan suami isteri dalam masyarakat Melayu masa kini yang diinspirasikan daripada cerita yang dihantar oleh wanita Malaysia dalam peraduan Mandi Susu Johnson's Baby Milk Bath 'Suami & Si Manja Semakin Sayang'.

Buih-Buih Cinta memaparkan dua cerita yang diinspirasikan daripada dua pemenang peraduan iaitu Ezna Ahmad Khalili dan Jamakyah Ahmad sekaligus mereka memenangi hadiah percutian ke Bali selain daripada cerita mereka dijadikan filem pendek.

Dalam pada itu, Ezna yang sangat gembira atas kemenangannya berkata:

“Saya tidak pernah menyangka kisah cinta saya dan suami akan dipilih untuk difilemkan.

"Saya juga adalah peminat Lisdawati dan Fauzi, jadi saya rasa bertuah sangat yang mereka akan berlakon dalam cerita yang diinspirasikan daripada cerita saya.”

Sementara Jamakyah juga mempunyai perasaan yang sama dan tidak dapat mengawal kegembiraannya memenangi percutian ke Bali bersama keluarga.

“Saya memang sudah merancang untuk bercuti bersama suami dan anak-anak dan apabila saya menerima berita bahawa saya memenangi peraduan ini, saya tidak sabar untuk ke Kuala Lumpur untuk menerima hadiah dan menoton filem ini. Hadiah ini memang tepat pada masanya,” kata Jamakyah yang berasal dari Kulai. Johor.

Cerita pertama dibintangi oleh Lisdawati dan Fauzi Nawawi yang diilhamkan daripada Ezna yang menceritakan tentang cubaan membuat Pengat Pisang kegemaran suaminya semasa hari jadinya.

Walaupun pengat itu hangus, suaminya memaafkan Ezna dan membuatkan dia sedar bahawa suaminya benar-benar menyayangi dirinya.

Cerita kedua pula ditulis oleh Jamakyah tentang bagaimana dia bertemu dengan suaminya buat pertama kali apabila ‘berlanggar’ secara tidak sengaja di lif.

Impak ‘perlanggaran’ yang kuat itu menyebabkan tangannya lebam dan dia terpaksa mengurut tangannya itu untuk mengurangkan kesakitan.

Apabila ternampak Jamakyah sedang kesakitan, suaminya asyik meminta maaf dan mengambil tangannya untuk cuba mengurangkan kesakitan tersebut. Dalam filem ini, kisah cinta nukilan Jamakyah dilakonkan oleh Vanidah Imran dan suaminya, Rashidi Ishak yang juga bertemu dalam lif.

Dalam pada itu, Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson’s Sdn. Bhd., Stanford Guo menerangkan rasional di sebalik penghasilan filem romantik satu jam ini.

“Ramai wanita Melayu bukan hanya menggunakan produk Johnson’s baby untuk bayi dan anak-anak mereka, malah menggunakannya sendiri dalam rutin seharian dan ini benar sekali terutamanya bagi rangkaian Mandi Susu Johnson’s Baby Milk Bath kerana mengandungi kebaikan protein susu semula jadi serta Vitamin A dan E yang baik untuk kulit, menjadikan kulit halus dan secerah kulit bayi,” kata Guo.

Peminat cerita romantik boleh menonton tayangan Buih-Buih Cinta bersama yang tersayang di tayangan “starlight” di dua lokasi pasar raya besar Giant di Semenanjung Malaysia iaitu di Bayang Baru, Pulau Pinang pada 20 Jun dan di Plentong, Johor pada 27 Jun.

Masuk adalah percuma. Penonton dinasihatkan membawa tikar sekiranya mereka tidak dapat duduk di kerusi.

Selepas tayangan di Giant, filem ini akan dijadikan empat siri telefilem yang akan ditayangkan di TV3 pada Julai ini.

Artikel Lain