suria

Perbicaraan kes saman Nur Fazura 9 November

Nur Fazura
Nur Fazura
Nur Fazura

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 9 November ini sebagai tarikh bagi perbicaraan saman RM500,000 yang difailkan oleh pelakon Nur Fazura terhadap sebuah akhbar tabloid dan pemberitanya.

Tarikh itu ditetapkan di dalam kamar oleh Penolong Kanan Pendaftar Nazri Ismail semasa pengurusan kes.

"Kami sudah sediakan semua dokumen yang diperlukan dan sudah bersedia untuk perbicaraan, yang akan didengar oleh Hakim Datuk Balia Yusof Wahi," kata peguam defendan, Shaari Nor, ketika ditemui di luar mahkamah.

Dalam saman yang dikemukakan pada 30 Ogos 2005 itu, Fazura, 26, menamakan Perdana Production House Sdn Bhd, yang merupakan penerbit Mingguan Warta Perdana, sebagai defendan pertama, dan pemberita Haslinda Hashim sebagai defendan kedua.

Dalam kenyataan tuntutannya Fazura, yang membintangi beberapa filem, termasuk "Qaisy & Laila" serta "Gol & Gincu" mendakwa artikel yang bertajuk "Fazura Rela Dipenjara", yang disiarkan di muka hadapan tabloid itu pada 29 Mei 2005, menjejaskan imejnya.

Beliau mendakwa artikel itu menampakkan seolah-olah beliau mengaku menyerang suri rumah Gerardine Mariana Wong, dan sanggup ke penjara kerananya, sedangkan menurutnya beliau tidak pernah membuat kenyataan itu.

Fazura dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah majistret di sini daripada tuduhan mencederakan seorang suri rumah pada 22 September lalu.

Perdana Productions dan Haslinda dalam pembelaan mereka mendakwa artikel itu betul dan penerbitan artikel itu bukan bertujuan menjejaskan imej pelakon berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain