suria

Pengetua AF7 ada hak melindungi pelajar dari menjadi 'bahan eksperimen'

Sejauh mana kuasa yang diperuntukkan kepada Pengetua Akademi Fantasia, prinsipal Datin Seri Tiara Jacquelina?
Sejauh mana kuasa yang diperuntukkan kepada Pengetua Akademi Fantasia, prinsipal Datin Seri Tiara Jacquelina?
Sejauh mana kuasa yang diperuntukkan kepada Pengetua Akademi Fantasia, prinsipal Datin Seri Tiara Jacquelina?

SEJAUHMANAKAH kuasa yang diperuntukkan kepada Pengetua AF? Persoalan ini kerap diajukan oleh peminat program realiti TV paling popular Akademi Fantasia musim ke-7 ini apabila saban minggu graf persembahan pelajar tidak menentu.

Benarkah pengetua atau prinsipal Akademi Fantasia tidak mempunyai hak sama sekali untuk menentukan lagu pilihan, wardrobe dan juga membuat keputusan mutlak seandainya ada sesuatu yang tidak kena di saat akhir konsert diadakan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh prinsipal AF7 selepas konsert minggu lepas, Datin Seri Tiara Jacquelina telah memberi alasan yang pihaknya kesuntukan masa dan terpaksa melalui beberapa fasa atau birokrasi sekiranya ingin membuat sesuatu perubahan di saat akhir jika lagu pilihan atau wadrober yang diberi dirasakan tidak sesuai dengan pelajar.

Namun, tinjauan secara rambang yang dijalankan oleh team mStar Online termasuk temubual dengan mereka di belakang tabir dan kru produksi menunjukkan bahawa kuasa yang diberikan kepada pengetua AF cukup besar.

Malah lesen yang diserah kepada Pengetua AF sama besarnya seperti pengetua sesebuah pusat pengajian tinggi.

Malah, menurut beberapa sumber, pengetua boleh memberi teguran seandainya pelajar-pelajar dijadikan eksperimen untuk menyampaikan lagu yang boleh mengaibkan mereka.

"Pengetua ada kuasa melindungi hak pelajar sekiranya mereka diberikan lagu yang tidak sesuai atau sengaja mereka didajalkan dengan diberikan lagu yang salah.

Pengetua juga berhak menegur dan memberi pandangan jika mereka tidak bersetuju dengan tindakan pihak produksi atau wardrobe sekalipun," jelas sumber terdekat dengan program realiti ini.

Sambungnya lagi, "Setahu saya Pengetua diberi garis panduan untuk menentukan arah tuju sesebuah konsert.

"Jadi kenyataan yang menyatakan Pengetua tidak sempat untuk membetulkan sesuatu yang dirasa tidak kena di saat akhir, adalah kurang tepat."

"Hanya bila di atas pentas, itu sudah di luar bidang kuasa Pengetua. Saya cuma terkilan bila melihat pelajar-pelajar terkial-kial mencari identiti mereka.

"Sepatutnya mereka dibantu untuk mencari key yang sesuai dalam menyampai sesebuah lagu tapi penekanan lain pula yang diberikan," katanya.

Menurut satu sumber lain pula, mungkin juga pihak Astro ingin mencipta satu kontroversi untuk musim ke-7 ini, sebab itu sejak dari mula lagi segala tindakan yang diambil berbentuk kontroversi.

"Itu pendapat saya kerana saya pernah bersama AF sejak dari awal lagi. Seperkara yang saya suka musim ini ialah susunan muzik yang dibuat oleh Acis. Ia lebih segar, menepati apa yang saya ingin lihat. Cuma sesekali, ianya agak longgar," kata sumber yang pernah diberi kepercayaan menjadi tenaga pengajar dalam AF itu.

Katanya lagi, "Contohnya pada konsert minggu ketiga yang mengetengahkan lagu-lagu lama tahun 80'an. Lagu-lagu lama memang merdu namun pelajar belum ada 'expertise' untuk membawa lagu-lagu seperti ini.

"Sayang, pelajar-pelajar tidak boleh tackle lagu-lagu ini kerana mereka tidak faham 'trick' muzik itu. Sepatutnya Acis dibimbing oleh seorang eksekutif produser untuk memastikan kelancaran setiap konsert," katanya.

Pandangan dari bekas Pengetua AF musim lalu juga dituntut untuk meninjau prestasi pelajar-pelajar musim ini dari pengamatan mereka.

Bekas pengetua AF4, Ramli Sarip berpendapat, sesiapa yang terlibat dalam menentukan lagu pilihan, wardrobe dan lain-lain perlu bekerja secara berpasukan.

Jelas beliau, ini kerana lagu dan pakaian kena `serasi' dengan persembahan seorang penyanyi.

"Ini adalah kerja berpasukan dengan pereka bentuk, artis dan dan kita kena `bijak'... sebab kita bercakap tentang sesuatu yang bernilai seni dan artistik.

"Sebagai pengetua, kita boleh beri pandangan dalam post-mortem. Misalnya, sebelum dan selepas sesuatu persembahan... ," katanya ketika dihubungi mStar sebentar tadi.

Sementara itu, pengarah muzik tersohor Ramli M.S ketika diminta pendapat beliau berkata, "Sebagai seorang profesional, saya tidak ingin memberi komen terhadap hasil kerja orang lain.

"Sama seperti seorang Perdana Menteri lama memberi pandangan kepada Perdana Menteri baru. Ianya kurang manis. Tunggulah hingga musim AF7 selesai, nanti saya akan komen," kata bekas Pengetua AF musim ke-2 dan ke-6 ini.

Walau bagaimanapun, Ramli sempat memberi komen tentang susunan muzik di bawah pimpinan Acis.

"Saya rasa dia telah melakukan kerja yang bagus. Susunan muziknya baik dan sedap didengar," kata Ramli yang terkenal dengan sikap suka berterus terang itu.

'Arranger' muzik terkenal ini mengaku dek kesibukan kerja, dia tidak kesempatan mengikuti perkembangan pelajar-pelajar AF musim ini secara keseluruhan.

"Saya hanya sempat melihat tiga konsert saja. Bagi saya, pelajar yang paling menyerlah ialah Hafiz. Sekali dengar saja, saya tahu budak ini berbakat besar," jelas Ramli yang secara prinsipal bersetuju dengan kritikan yang dilemparkan oleh para juri tetap AF musim ini seperti Adlin Aman Ramlie, Datuk Khatijah Ibrahim dan Edry Hashim.

Dalam pada itu, bekas guru lakon seni persembahan AF, Fauziah Nawi berkata, setahu beliau, prinsipal berhak menegur pihak terbabit sekiranya tidak berpuas hati dengan lagu dan wardrobe peserta.

"Bekas pengetua AF, Ramli MS misalnya akan campur tangan semasa rehearsal. Beliau akan tegur lagu, koreografi, baju dan sebagainya. Ramli adalah seorang yang sangat vokal dan tegas," katanya.

Tambahnya, prinsipal juga bermesyuarat dengan cikgu dan pihak pengurusan setiap minggu untuk membincangkan masalah-masalah yang berbangkit.

Mengulas lanjut mengenai kuasa prinsipal dalam pemilihan lagu, Fauziah berkata, bekas pengetua AF, Ramli Sarip pernah membuat teguran.

Katanya, Ramli Sarip pernah meminta lagu seorang peserta AF6 yang tidak fasih berbahasa Inggeris ditukarkan.

"Budak itu pada awalnya diminta membawakan lagu Umbrella nyanyian Rihanna. Selepas teguran Ramli Sarip, budak itu mendapat lagu bahasa Melayu," jelasnya yang jarang mengikuti AF7 kini.

Sehubungan itu, Fauziah berasa hairan apabila dimaklumkan aspek pemilihan lagu atau tema dan gaya pakaian peserta tidak ditentukan oleh pengetua dan tenaga pengajar untuk musim ini.

"Melainkan pihak pengurusan mempunyai sebab-sebab tertentu ataupun mereka mempunyai strategi tertentu, saya kurang pasti. Kalau dengan Tiara sebagai pengetua AF sekarang, lagi mudah kerana dia terbuka," jelasnya.

Dalam pada itu bekas guru tarian AF1 hingga AF6, Linda Jasmine Hashim berkata setahunya guru vokal dan pengetua terlibat dalam pemilihan lagu pelajar AF pada musim yang lalu.

Sementara pemilihan pakaian pula hanya ditentukan oleh pihak wardrobe, pereka fesyen dan Astro sendiri.

Ditanya komennya tentang AF7, Linda memuji kehebatan semua pelajar dan menganggap mereka semua boleh menyanyi.

“Semua pelajar bagus-bagus belaka dan boleh menyanyi. Antara mereka, saya lihat ada tiga orang pelajar yang lebih menyerlah daripada yang lain iaitu Hafiz, Akim dan Aril.

“Saya rasa mereka bertiga boleh pergi jauh,” kata Linda.

Namun begitu, Linda juga mengkritik konsep baru yang diaplikasikan oleh AF7 sehingga membuatkan program itu tampak sama seperti program realiti nyanyian yang lain.

“Kalau boleh AF janganlah terlalu mengubah format asal program. Kalau sudah banyak perubahan, kekuatan program akan hilang.

“Format asal itu cuitan. Nanti, apa yang tinggal akan menjadi sama seperti program realiti nyanyian yang lain dan tiada kelebihannya lagi.

“Misalnya, semasa AF1 dan AF2 dulu pelajar-pelajar sangat terkongkong dan tidak dibenarkan keluar. Jadi, sebab itu mereka lebih berdisiplin.

“Sekarang, kualiti yang sama tidak akan dapat lagi apabila format asalnya telah dilanggar.

“Diharap, mereka kekalkan elemen asal AF dan jangan buang. Saya juga merasakan bekas guru vokal Adnan Abu Hassan sepatutnya ada di situ kerana dia ‘pioneer’.

“Ibarat kalau benda tu dah rosak, jangan cuba nak betulkan. Kalau nak berubah, berubah untuk kebaikan,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain