suria

Ako: ‘Isteri sentiasa menyokong saya’

Ako dan isteri, Kartina.
Ako dan isteri, Kartina.
Ako dan isteri, Kartina.

“SAYA bersyukur dengan keputusan hari ini tetapi belum lega lagi kerana kes ini belum selesai,” kata pelakon Ako Mustapha ketika dihubungi tadi.

Ako yang mengaku bersalah berhubung kes khalwat dengan Anang Sagunting dijatuhkan hukuman denda RM3,000 dan penjara 3 bulan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Kuala Lumpur, hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad atas kes khalwat Ako dan dia dianggap telah menghina mahkamah setelah empat kali gagal menghadirkan diri semasa sebutan kes yang lalu.

Pada pukul 4.20 petang tadi, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur memutuskan untuk menangguhkan sementara hukuman penjara terhadap Ako.

Ako diberi tempoh 14 hari mulai hari ini untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam untuk tidak dipenjarakan berhubung kes khalwat.

Sementara itu, peguam syarie Zuri Zabuddin Budiman mengesahkan Ako telah membuat bayaran sebanyak RM5,000 selepas dikehendaki menjelaskan hukuman denda sebanyak RM3,000 dan bon jaminan RM2,000 dengan penjamin kakitangan awam.

Zuri juga berkata dia akan memfailkan rayuan itu dalam masa dua hari ini.

Ditanya tentang penerimaan isterinya, Kartina Shuaib Abdullah tentang hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah itu, Ako berkata isterinya sentiasa memberikan sokongan sejak di awal kes lagi.

“Saya bersyukur kerana isteri saya sentiasa memberikan sokongan. Dia amat memahami saya,” kata Ako.

Mengimbas detik ketika mahkamah pada awalnya menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya, Ako akui dia berasa tidak ‘tenteram’ tentang keputusan tersebut.

“The feeling was not good...,” katanya ringkas.

Bagaimanapun Ako enggan memberikan komen lanjut tentang keputusan mahkamah selepas ini.

Ako didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Ako, 37, yang berkahwin dengan Kartina, 29, pada 17 Januari lalu dituduh berkhalwat dengan Anang Sagunting, 25, di Oakleaf Park Kondominium, Persiaran Bukit Antarabangsa di sini, sekitar jam 1.20 pagi, pada 27 Jun 2007.

Januari lalu, Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad telah membenarkan permohonan pihak pendakwa untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Ako setelah empat kali dia gagal hadir ke mahkamah, dan menetapkan tarikh hari ini untuk sebutan semula kes.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain