suria

Rasukan Ablasa kurang menjadi!

Satu demi satu kejadian berlaku sejak enam rakan ini melawat Kampung Bukit Gemuruh
Satu demi satu kejadian berlaku sejak enam rakan ini melawat Kampung Bukit Gemuruh
Satu demi satu kejadian berlaku sejak enam rakan ini melawat Kampung Bukit Gemuruh

PENULIS pernah menyaksikan tiga buah filem bergenre seram arahan Prof Madya A.Razak Mohaideen dulu seperti Mistik, Potret Mistik dan Tujuh Perhentian. Dan apa yang boleh penulis katakan, filem seram terbaru pengarah tersohor itu, Rasukan Ablasa juga tidak jauh bezanya dengan tiga buah filem terdahulunya itu.

Filem terbitan bersama Line Clear Motion Pictures dan Primeworks Studio yang terperap hampir tiga tahun ini kurang berjaya meninggalkan impak di hati penulis. Sejujurnya, sukar untuk mencari di mana kekuatan sebenar filem yang menelan belanja RM1.8 juta ini.

Secara ringkasnya, filem yang bakal ditayangkan pada 26 Februari ini bermula dengan sebuah tragedi 50 tahun lalu di Kampung Bukit Gemuruh, di mana Omar yang mendambakan ketaatan isterinya, Laila, memuja iblis bagi mengabulkan keinginannya.

Pemujaan itu sebaliknya membuatkan isterinya bertambah curang, malah berasmara di depan mata sendiri.

Dikuasai marah, Omar membunuh isteri dan pasangannya. Sebagai balasan, rumahnya dibakar penduduk kampung bersama kesesatan amalannya.

Beberapa tahun kemudian, kawasan tragedi itu dikunjungi semula oleh Ashraf iaitu cucu kepada Omar dan lima orang rakan-rakannya. Mereka menemui sebuah peti milik datuk Ashraf, mengandungi alat muzik yang mengeluarkan bunyi aneh.

Peti itu dibuka dan dibawa pulang, dan sejak itulah mereka menghadapi gangguan. Ashraf akhirnya terpaksa bertindak untuk menyelamatkan rakan-rakannya yang dimasukkan ke wad mental akibat diganggu rasukan gara-gara bunyi tersebut.

Tidak dinafikan, idea yang ingin ditonjolkan oleh Razak adalah sesuatu yang berbeza - tentang rasukan yang berpunca daripada bunyian pelik. Razak membuat tafsiran sendiri tentang ablasa yang diambil daripada perkataan Arab bermaksud “roh yang terganggu” ke dalam bentuk filem.

Namun, sayang sekali idea tersebut nampaknya tidak digarap dengan begitu teliti.

Dialog di dalam filem ini juga agak 'kucar-kacir' dan adakalanya cukup rimas mendengar 'rengekan' suara pelakon-pelakon wanita di dalam filem tersebut yang sebenarnya tidak 'kena' dengan babak-babak yang ditonjolkan.

Mempertaruhkan pelakon-pelakon baru seperti Gambit Saifullah, Almy Nadia, Fouziah Gous, Hafiz Hanafiah dan Nurnadia sememangnya tidak banyak membantu untuk 'menghidupkan' cerita ini.

Mungkin kerana mereka ketika itu masih mentah di dalam bidang lakonan, berbanding sekarang yang mana ada diantara mereka yang semakin melonjak namanya.

Tidak ada pelakon yang mempamerkan lakonan yang 'hebat' di dalam filem ini. Semuanya hanya menunjukkan lakonan yang biasa-biasa saja. Gambit yang bertindak selaku 'hero' dalam drama ini juga tidak begitu menonjol.

Mungkin nasib Almy agak baik kerana trasformasi wataknya daripada gadis yang baik kepada seorang penggoda gara-gara dirasuk membuatkan pelakon muda itu agak menyerlah berbanding yang lain, terutama ketika adegan menggoda Yusry KRU di dalam lif.

Apapun, penggunaan imej janaan komputer (CGI) di dalam filem ini tidak begitu menghampakan.

Meskipun hanya membabitkan 15 peratus adegan yang memerlukan teknik tersebut, tetapi sentuhan Yusry KRU itu bagaimanapun tidak mengecewakan.

Penulis sebenarnya mengharapkan sesuatu yang 'baru' daripada Razak menerusi genre seram yang dihasilkannya kali ini, tetapi nampaknya tidak ada pendekatan baru yang diperkenalkan.

Atau mungkin Razak hanya patut menumpukan hasil karyanya pada genre komedi saja, seperti mana yang sering dilakukannya dan berjaya mencecah kutipan 'box-office'!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain