suria

Nabil-Irma sah bercinta!

Nabil bersama motosikal berkuasa tinggi model Kawasaki Z750 kesayangannya. -foto The Star oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Nabil bersama motosikal berkuasa tinggi model Kawasaki Z750 kesayangannya. -foto The Star oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
Nabil bersama motosikal berkuasa tinggi model Kawasaki Z750 kesayangannya. -foto The Star oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

BELUM apa-apa lagi pelakon, pelawak dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil, 26, diberi amaran agar tidak menjaja cerita tentang kisah peribadinya bersama pelakon cantik Irma Hasmie, 27.

Mana tidaknya, sekarang Nabil perlu melunaskan banyak komitmen di bawah Primeworks Studios Sdn. Bhd. iaitu mengacarakan program Studio Nabil, Ewah-Ewah (bersama Raja Azura), Pondok-Pondok dan tidak lama lagi program berbentuk ‘gameshow’ Harta Mania (bersama Nik Adruce). Hanya kadangkala sahaja Nabil akan turut serta mengacara program Melodi.

Nabil juga pernah mengatakan yang dia sebolehnya tidak mahu kisah cintanya digembar-gemburkan sehingga menenggelamkan karier seninya.

Patutlah Nabil kurang memberikan komen tentang Irma apabila disoal tentang cinta barunya itu.

Sebelum ini, Nabil pernah digosipkan bercinta dengan seorang pelajar kolej, Myra namun tidak sampai setahun, timbul pula gosip juara Raja Lawak Astro musim kedua ini dikatakan bercinta dengan Irma pula.

Namun, sama ada Nabil mahupun Irma menjawab mereka sedang mengenali antara satu sama lain.

Kelmarin, semasa ditemui di majlis pengumuman Anugerah Bintang Popular Bintang Harian (ABPBH) 2008 di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Nabil hanya tersenyum dan kurang memberikan komen tentang Irma.

Dalam masa yang sama, sumber terdekat Nabil mengesahkan finalis kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Komedi Lelaki Popular ABPBH2008 ini memang bercinta dengan bekas kekasih aktor Farid Kamil itu.

Menurut sumber itu lagi, Nabil terpikat dengan hati Irma yang baik dan lebih memahami karier seninya memandangkan wanita itu juga berkecimpung di dalam industri hiburan yang sama.

“Mereka telah menjalinkan hubungan kira-kira empat bulan lalu,” tambah sumber itu lagi.

Nabil tak sabar tunggu filem lain ditayangkan

Dalam pada itu, Nabil yang baru selesai pengambaran filem Momok The Movie arahan M. Jamil ini berkata dia tidak sabar untuk menantikan filem-filem yang pernah dilakonkan olehnya sebelum ini berada di pawagam.

“Pada tahun ini, selepas filem Sifu & Tongga ditayangkan di pawagam, saya juga menantikan filem lakonan saya seperti Lu Fikirlah Sendiri The Movie, Kecoh Betul, Notti, Pisau Cukur dan Ee..Hantu.

“Insya-Allah, pada bulan April depan, sekali lagi saya akan berlakon dengan Apek di dalam filem terbitan Line Clear Production, Madu Empat.

“Pada hujung tahun ini, saya akan berlakon teater Muzikal Cicakman. Saya menerima tawaran tersebut disebabkan ini merupakan pertama kali saya menceburi bidang teater pula.

“Di dalam teater itu, saya digandingkan bersama Saiful Apek, Aznil dan ramai lagi. Jadi, saya akan terikat dengan komitmen teater itu mulai bulan November hingga ia dipersembahkan,” ujar Nabil mengenai teater terbitan KRU Studios Sdn. Bhd yang bakal menemui peminat teater di Istana Budaya pada 8 hingga 20 Disember depan.

Nabil juga akan membintangi filem Man Tera yang menggunakan konsep tiga dimensi atau 3D arahan Bade.

Bertanya tentang reaksinya mengenai filem Sifu & Tongga yang banyak mendapat kritikan negatif selepas dipertontonkan kepada umum, Nabil berkata penonton tidak seharusnya menyalahkan pelakon semata-mata.

“Memang saya ada mendengar pelbagai komen tentang filem itu selepas ia ditayangkan namun saya menumpang gembira apabila filem tersebut berjaya mengutip lebih RM1.9 juta dalam masa seminggu sahaja.

“Apa yang penting, saya dah bina karektor sehabis baik semasa di set pengambaran. Yang lain, saya serahkan kepada pihak produksi dari segi suntingan, audio, kesan khas dan sebagainya untuk mencorakkan filem tersebut.

“Lagi pun, filem Sifu & Tongga merupakan filem pertama saya di mana saya tidak mempunyai apa-apa latar belakang dalam bidang lakonan.

“Selepas berlakon filem itu, semakin banyak perkara yang saya pelajari tentang selok-belok lakonan dari situasi yang berlaku di set pengambaran.

“Saya anggap set pengambaran adalah kelas saya. Saya perlu mengambil masa beberapa tahun untuk bagus.

“Saya akui, bukan mudah untuk ceburi dunia lakonan ini,” ulas bekas ‘mat despatch’ ini.

Cerita Nabil mengenai pengalaman ‘mencemaskan’ ketika berlakon, sehingga kini dia tidak dapat melupakan babak dia digantung agak lama dengan tali yang disangkut di kren sehingga perasaan takut menyelubungi dirinya.

“Waktu itu ditengah jalan raya dan banyak benda yang ada di depan saya. Bukan takut apa, saya bayangkan bagaimana jika saya akan terpelanting jatuh daripada atas ke bawah.

“Tambahan lagi, saya mempunyai banyak komitmen kerja lain yang sudah ditandatangani.

“Selain itu, saya juga berasa takut semasa perlu melakukan aksi terjun ke dalam Sungai Pahang di dalam filem Momok The Movie.

“Saya turut berasa gembira apabila dapat berjumpa dengan bekas Miss Malaysia 1982, Siti Rohani yang juga isteri kepada M. Jamil yang turut berlakon di dalam filem itu,” kata Nabil.

Tambah Nabil, dia juga banyak menonton hasil lakonan pelakon lain seperti Rosyam Nor di dalam filem Suami, Isteri dan ...? dan Bruce Willis (Die Hard) sebagai rujukannya untuk mempermudahkan lakonannya.

Dalam perkembangan lain, Nabil juga bakal menyambung program Fikirlah Sendiri Nabil untuk musim kedua terbitan Astro tidak lama lagi.

Sebelum ini, Nabil juga pernah berlakon di dalam telefilem Sonata Labu Labi arahan Adlin Aman Ramli yang telah disiarkan di Astro Prima.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain