suria

Hartamas buah tangan terbaru Kabir Bhatia

Barisan pelakon drama berisi komedi, Hartamas, Ida Nerina,Rashidi Ishak, Faezah Elai,Diana Rusdi,pengarahnya, Kabir Bahtia, penulis skrip Alfrie Palermo.Foto The Star Oleh: NORAFIFI EHSAN.
Barisan pelakon drama berisi komedi, Hartamas, Ida Nerina,Rashidi Ishak, Faezah Elai,Diana Rusdi,pengarahnya, Kabir Bahtia, penulis skrip Alfrie Palermo.Foto The Star Oleh: NORAFIFI EHSAN.
Barisan pelakon drama berisi komedi, Hartamas, Ida Nerina,Rashidi Ishak, Faezah Elai,Diana Rusdi,pengarahnya, Kabir Bahtia, penulis skrip Alfrie Palermo.Foto The Star Oleh: NORAFIFI EHSAN.

PASTI ramai yang tertunggu-tunggu buah tangan terbaru karya pengarah prolifik terkenal, Kabir Bhatia.

Selepas menghasilkan drama seram Kekasihku Seru, Kabir terus mengorak langkah kehadapan dengan menghasilkan drama komedi bertajuk ’Hartamas’.

Hartamas merupakan sebuah drama komedi yang mengisahkan cerita seorang akauntan yang lurus bendul bertemu dengan seorang pereka fesyen yang tegas.

Ramai yang menganggap kisah cinta klasik antara dua hati yang berbeza umpama langit dengan bumi ini sukar terlaksana, namun semuanya berakhir ke jinjang pelamin.

Cuma satu perkara yang tidak diketahui oleh Johari dan Amelia adalah kisah dua anak mereka Juita, seorang gadis feminin dan Edrina seorang gadis gothik merupakan musuh ketat di kolej mereka.

Hartamas menampilkan barisan pelakon hebat seperti, Ida Nerina, Rashidi Ishak serta dibantu oleh dua pendatang baru Faezah Elai dan Diana Rusdi.

Ida memegang watak Amelia, pereka fesyen yang bersemangat tinggi dan berwibawa dari butik Lucci dan ibu tunggal kepada Edrina (Faezah Elai).

Rashidi ialah Johari, seorang akautan lurus bendul dan bapa tunggal kepada Juita (Diana Rusdi) Dari kisah cinta siber ke pertemuan pertama yang janggal perhubungan Amelia dan Johari berakhir ke jinjang pelamin.

Johari dan Juita kemudiannya berpindah ke rumah Amelia dan Edrina di sebuah kawasan elit di Hartamas.

Di sini bermulanya kisah pahit manis serta perjalanan hidup sebuah keluarga baru yang mencuit hati sementara mereka berusaha kera untuk menyesuaikan diri dan menyanyangi antara satu sama lain.

Menurut Kabir, tajuk Hartamas dipilih kerana ingin mengetengahkan konsep serta gaya hidup masyarakat bandar di kawasan berkenaan.

Bagi pengarah yang pernah menghasilkan filem hebat seperti Cinta dan Sepi ini, Hartamas merupakan sebuah drama komedi yang sarat dengan kisah hidup masyarakat bandar dan ia dapat dilihat dengan jelas daripada tajuknya.

“Pemilihan Hartamas sebagai tajuk kerana ia mempunyai identiti tersendiri yang sering dibayangkan oleh masyarakat tentang kawasan Hartamas.

“Kelainan dalam drama komedi ini pula adalah dari segi watak yang dibawa oleh para pelakon, terutamanya watak Shidi dan Ida mereka ini agak pelik. Di mana karekter yang di bawa oleh Shidi lebih kepada watak yang pemalu tapi Ida pula lebih ke arah maskulin.

“Namun pada masa yang sama agak payah untuk mereka memahami kehendak masing-masing. Dan disini akan menyebabkan timbulnya konflik dalam cerita Hartamas,” kata pengarah yang pernah mengungguli Anugerah Skrin 07 melalui filem Cinta.

Jelas Khabir lagi, pada ketika drama bersiri Hartamas sedang menjalani penggambaran bagi musim kedua.

“Biarpun belum ditayangkan lagi, kami berpendapat untuk membuat musim kedua kerana saya berpendapat drama komedi sebegini akan mempunyai penontonnya tersendiri dan akan kekal.

“Ia juga mengenengahkan cerita yang dekat dengan aktiviti seharian dalam hidup kita. Dalam musim kedua ini akan ada lebih banyak konflik dan jalan ceritanya akan lebih mencabar. Lokasi-lokasi menarik juga turut dipaparkan dalam drama ini.

“Kami sangat berharap penonton akan menyukai drama Hartamas ini,” kata pengarah yang berasal dari Mumbai, India.

Ketika ditanya mengapa beliau berminat untuk mengarah drama bercorak komedi yang sememangnya berlainan dengan genre drama dan filem yang pernah dihasilkannya sebelum ini, Kabir berkata:

"Saya rasa sudah tiba masanya, saya mempelbagaikan genre drama atau filem arahan saya.Bukan mudah untuk membuat drama komedi, kita perlu buat banyak kajian sebelum menghasilkan skrip.

"Saya juga tak nak bawa lawak yang slapstik semata-mata dalam drama komedi ini. Saya mahu lawak yang dilakonkan bersifat natural dan ada ciri-ciri intelek."

Bagi penulis skrip Alfie Palermo, Kabir sendiri banyak memberi idea kepadanya untuk menulis skrip drama bersiri tersebut dan pengalaman daripada rakan-rakan dan diri sendiri membantunya menyiapkan skrip drama Hartamas tersebut.

“Kelainan yang saya cuba bawa adalah dari segi karakter serta perwatakan pelakon dalam drama ini. Bekerja dengan Khabir memang best dan dia juga banyak beri idea,” kata Alfie.

Komen pelakon

Rashidi Ishak

“Karekter Johari saya sangat gembira membawakan watak ini kerana ia sangat berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan dalam filem. Contohnya dalam filem Mami Jarum, lawak yang saya lakonkan merupakan lawak slapstik.

“Tapi dalam drama Hartamas ia agak berbeza, kerana bagi saya agak payah untuk skrip yang intelek dan lawak yang dihasilkan juga bersifat sinis yang tidak disampaikan secara terus. Arahan Khabir sangat bagus dan perspektif yang berbeza dan dapat berlakon bersama pelakon-pelakon yang bagus macam Ida Nerina dan dibantu oleh Faezah dan Diana.

“Pada mulanya saya agak skeptikal ketika jumpa dengan Faezah dan Diana kerana masa script reading saya tengok mereka macam blur, masa tu saya terfikir boleh ke mereka ini berlakon. Alhamdulillah bila dah mula shooting, chemistry pun datang dan kami dapat bekerjasama dengan baik. Lakonan Faezah dan Diana juga bagus,” kata suami kepada pelakon Vanida Imran ini.

Ida Nerina

“Bawa watak ibu kepada gadis remaja seperti Juita dan Edrina buat saya teruja. Kita di Malaysia punya tatasusila dan adat timur, tapi dalam drama ini kami cuba melangkaui sedikit adat tersebut, bukan melanggar terus cuma mungkin perhubungan kami lebih rapat antara ibu dan anak.

“Ibu bapa boleh bersikap terbuka dengan anak-anak dan saya rasa ia merupakan salah satu cara terbaik untuk membesarkan anak-anak terutamanya golongan remaja.

“Jika orang kata Hartamas tidak bercirikan orang Melayu dan Malaysia, saya rasa persepsi itu salah kerana tak ada yang betul dan salah kerana kita semua manusia punya citarasa dan minat yang berbeza dalam sesuatu perkara,” kata Ida.

Faezah Elai

“Realitinya saya bukan seorang yang kasar dan rock. Saya lebih feminin dan suka pakai baju warna pink. Walaupun agak kontras tapi saya ambilnya sebagai cabaran dalam karier saya sebagai seorang pelakon,” kata Faezah.

Diana Rusdi

“Karekter saya sebenarnya agak kasar dan suka muzik rock tapi bila kena bawa watak lebih feminin agak kekok juga pada mulanya. Tapi Khabir banyak membantu dari segi lakonan dan dia banyak beri tips untuk berlakon dengan baik. Bekerja dengan Khabir memang menyenangkan,” kata Diana.

Selain daripada babak menarik, kemas dan canggih hasil rakaman video definisi tinggi Hartamas turut mempersembahkan format split screen, teknik yang jarang sekali digunakan dalam drama siri tempatan.

Kaedah visual sebegini dilihat berjaya menampilkan unsur komik yang lebih mantap bagi satu-satu program.

Kemunculan Hartamas pasti akan menceriakan penonton dihujung minggu. Siri komedi ini akan bersiaran selama 13 episod bagi musim pertama. Untuk maklumat lanjut atau menonton siaran ulangan anda boleh melayari www.ntv7.com.my.

Nantikan kemunculan drama bersiri Hartamas setiap hari Ahad bermula 8 Februari ini jam 8:30 malam di NTV7, Saluran Ceria Anda.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain