suria

Lisa bertarung demi Remp-It V3

Lisa bersama pengarah dan pelakon Remp-It V3, Farid Kami
Lisa bersama pengarah dan pelakon Remp-It V3, Farid Kami
Lisa bersama pengarah dan pelakon Remp-It V3, Farid Kami

KEHADIRAN bintang muda ini di persada seni sememangnya berjaya 'mencuri' perhatian banyak pihak. Tidak hanya bersandarkan kepada paras rupa, Lisa Surihani atau mesra dengan panggilan Lisa ini mempunyai pakej lengkap - berilmu, cantik dan berbakat besar; yang membuatkan dirinya dilihat cukup menyerlah di dalam bidang ini.

Tidak pernah mendabik dada dengan pencapaian yang diraihnya setakat ini, sikap rendah diri yang dimiliki Lisa juga membuatkan banyak pihak mengaku cukup senang bekerja dengan pelakon, model dan pengacara berusia 22 tahun ini.

Mungkin itulah bonus yang membuatkan Pelakon Wanita Harapan, Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) ini sentiasa laku dan menjadi 'rebutan' produser-produser drama mahupun filem.

Malah, Lisa juga bertuah kerana watak-watak yang ditawarkan kepadanya sudah menunjukkan variasi, sekaligus membuktikan dirinya bukan pelakon yang layak digelar 'stereotype'.

Jika di awal pembabitannya di dalam bidang lakonan ini, Lisa banyak ditawarkan watak-watak yang 'baik', bersesuaian dengan wajah lembutnya itu, tetapi kini dia sudah diberi kepercayaan untuk membawakan watak antagonis.

Bermula dengan filem terbaru arahan Ahmad Idham, Jangan Pandang Belakang Congkak yang mana Lisa memegang watak sebagai pembantu pengamal ilmu hitam, dia kemudiannya sekali lagi ditawarkan watak antagonis menerusi filem Remp-It V3, arahan pelakon dan pengarah muda Farid Kamil.

Apa yang lebih mencabar kali ini ialah watak Kamsah yang dipegangnya di dalam filem tersebut memerlukan dirinya mempamerkan aksi pertarungan dan pergaduhan yang tidak pernah dilakukan Lisa sebelum ini.

"Karektor Kamsah dalam filem ini memang menggambarkan seorang gadis jahat dan tidak mempunyai perasaan belas kasihan yang merupakan teman kepada pelumba haram bernama Garing lakonan Aqasha.

"Watak itu memerlukan saya buat aksi pertarungan dan saya akui, ia memang satu perkara yang sukar sebenarnya supaya aksi tersebut tidak dilihat kekok.

"Tetapi atas bantuan Farid serta latihan yang saya ikuti dengan pakar lagak ngeri, saya harap hasilnya bagus. Ada juga saya buat rujukan sendiri dengan menonton lakonan Angelina Jolie di dalam filem Tomb Raider.

"Apapun, itu semua satu ilmu dan pengalaman baru yang cukup bermakna buat saya," kata Lisa yang akan tamat menjalani penggambaran filem tersebut dalam masa terdekat ini.

Remp-It V3 memaparkan kisah Rudy (Farid Kamil) dan sahabatnya Brett (Bront Palarae) yang terjerumus dalam satu masalah besar apabila dia dan kawan-kawannya berlumba sehingga mengakibatkan kematian pasangan kekasih Shah dan Liza yang terlibat dalam kemalangan.

Lebih memburukkan keadaan, di tangan Shah terdapat dadah yang baru diambil. Rudy, Brett dan kawan-kawannya menjadi buruan polis, sehingga terpaksa mengambil keputusan melarikan diri ke Kuala Lumpur.

Di Kuala Lumpur, Rudy berazam mengubah kehidupannya. Brett yang ingin membantu telah menemukan Rudy dengan Lan Ribut (Radhi OAG) lalu dibawa ke kedai Sam Seng Motor yang sebenarnya dikawal oleh Ah Long yang merupakan 'tycoon' pertaruhan lumba haram.

Konflik semakin berlarutan apabila Rudy terlibat pula dengan perlumbaan haram bersama Garing (Aqasha) yang kemudiannya menjadi besar apabila Rudy gagal membayar hutang Garing setelah tewas perlumbaan itu.

Turut membintangi filem ini ialah Intan Ladyana, Wan Nor Azlin dan Corrie Lee.

Menurut pemegang ijazah undang-undang dari Universiti Aberystwyth, Wales, United Kingdom ini, walaupun ramai produser sudah mula mempercayai kemampuan dirinya untuk membawakan pelbagai jenis watak, Lisa dalam nada rendah diri tetap merasakan dirinya masih lagi mempunyai banyak kelemahan dalam lakonan.

"Sebagai muka baru dalam industri ini, saya tidak mahu cepat berpuas hati. Tetapi, sejujurnya, saya tetap rasa gembira kerana dapat peluang membawakan pelbagai watak sekarang.

"Bukan saja untuk kepuasan diri, tetapi pengalaman membawakan watak yang variasi dapat menambahkan lagi ilmu lakonan saya," kata pelakon yang pernah membintangi filem Goodbye Boys dan I'm Not Single ini.

Mengulas tentang pengalaman bekerja di bawah arahan pengarah muda itu, kata Lisa, dia tidak mempunyai sebarang masalah apatah lagi dia juga sebelum ini pernah bekerja bersama seorang lagi pengarah muda tanahair, Pierre Andre.

Malah, Lisa juga menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang merasakan dirinya mendapat laluan mudah untuk membintangi filem ini kerana kononnya dia dan Farid dikatakan mempunyai hubungan istimewa.

"Itu semua persepsi orang. Antara saya dan Farid bersahabat baik. Mungkin dia juga ingin beri peluang kepada saya untuk bawa pelbagai watak dan sebab itu saya ditawarkan.

"Tetapi apapun, bagi saya, Farid adalah seorang yang cukup peka dan dia sentiasa ada 'back-up plan'. Walaupun ini adalah kali pertama dia mengarah filem, tetapi saya lihat dia tidak kekok langsung dalam bidang pengarahan," kata Lisa yang bernaung di bawah label MIG Talents.

Ditanya tentang projek terbarunya selepas ini, kata Lisa, dia akan memulakan penggambaran telemovie berjudul Mataku Nampak Hantu arahan Feroz Khan yang akan disiarkan di saluran Astro tidak lama lagi.

Dalam nada perlahan, Lisa turut melahirkan rasa syukur kerana tawaran berlakon untuknya tidak putus-putus. Namun begitu, semua tawaran tersebut tetap diteliti sebaik mungkin oleh Lisa dan syarikat pengurusannya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain