suria

Tuah Sehati Berdansa, Lisda ditawar watak penari

Lisdawati bakal menyerlahkan bakatnya dalam bidang tarian melalui drama Matahari.
Lisdawati bakal menyerlahkan bakatnya dalam bidang tarian melalui drama Matahari.
Lisdawati bakal menyerlahkan bakatnya dalam bidang tarian melalui drama Matahari.

PELAKON Lisdawati Nazaruddin, 30, atau Lisda tidak menolak bahawa rezeki lakonan sebagai penari di dalam drama Matahari, berkat daripada penyertaannya di dalam program realiti Sehati Berdansa musim kedua terbitan Astro yang baru berakhir pada minggu lalu.

Lisda dan suaminya, pelakon Fauzi Nawawi, 35, berjaya mengondol gelaran juara program yang turut melibatkan pasangan Amyza Aznan dan Khairil Izhar itu.

“Alhamdulillah, nampaknya macam tu lah. Tetapi, sekurang-kurang tawaran lakonan ini mampu mempelbagaikan karektor saya kerana sebelum ini orang selalu menganggap saya hanya sesuai membawakan watak seorang wanita lemah-lembut dan orang kampung.

“Tetapi apabila mereka nampak saya agresif, jadi melalui penampilan saya saya Sehati Berdansa telah membuka ruang untuk orang nampak saya mampu mempelbagaikan watak saya,” ujar Pelakon Harapan Wanita di Anugerah Skrin TV3 menerusi filem KL Menjerit pada tahun 2003 ini.

Beritahu Lisda, ini bukan merupakan pertama kali dia berlakon sebagai penari.

Namun, pelakon cantik yang juga peragawati terkenal ini juga akui yang watak sebelum ini tidak menyerlahkan bakatnya dalam bidang tarian kerana dia hanya membawakan watak penari dangdut.

Menurut Lisda, dia belum mendapat skrip drama Matahari itu dan tidak boleh mengulas lanjut.

Katanya, drama terbitan Pena Kreatif Pictures Sdn Bhd ini bakal disiarkan oleh TV3.

“Bagaimanapun, saya sudah dapat tawaran untuk berlakon drama ini. Jika diberi gambaran secara kasar, tajuk drama ini adalah Matahari.

“Saya berlakon sebagai wanita kampung yang akan menjadi seorang moden dan membina kehidupan di bandar.

“Walaupun saya datang dari kampung , saya meminati tarian dan meneruskan kerjaya itu sehingga berhijrah ke bandar,” ceritanya.

Tambah Lisda, suaminya, Fauzi Nawawi juga akan turut serta berlakon dalam drama ini tetapi karektornya belum dapat dipastikan lagi untuk memegang watak yang bagaimana.

“Saya akan memegang watak heroin dari awal sehingga cerita ini tamat dan watak lelaki dalam drama ini boleh dikatakan ramai. Jadi, suami saya merupakan salah seorang hero dalam cerita ini.

“Saya akan berlakon disamping sembilan orang lelaki dan suami saya merupakan salah seorang daripadanya,” ulas Lisda yang turut menerima tawaran berlakon sebuah telefilem yang masih belum boleh diberitahu.

Tahun untuk aktif berlakon

Jika melihat kepada program realiti Sehati Berdansa 2 baru-baru ini, terdapat tiga pasangan yang disahkan hamil ketika menjalani program tersebut.

Hal ini berikutan keintiman yang diwujudkan antara pasangan-pasangan tersebut maka tidak hairanlah jika pasangan Lisda dan Fauzi ini juga merancang untuk mengikut jejak langkah tiga pasangan tersebut.

Ketika sidang media selepas program Sehati Berdansa berakhir, Fauzi dan Lisda sendiri mengakui program tersebut telah berjaya mengeratkan hubungan mereka yang sebelum ini selalu sibuk dengan karier seni masing-masing.

Apabila ditanya tentang cahaya mata, Lisda berkata dia dan Fauzi belum merancang apa-apa.

“Saya rasa belum tiba masanya lagi tetapi kami terima kalau ada rezeki. Untuk tahun ini, saya ingin fokuskan tentang karier. Namun, dalam masa yang sama saya perlu juga memberikan tumpuan kepada keluarga terutama suami dan anak-anak saya,” ujar ibu kepada Nur Aini Farhana, 5 bulan.

Lisda bernikah dengan Fauzi pada 9 September 2007. Sebelum ini, Fauzi pernah memegang status duda kepada empat orang anak.

Perkahwinan mereka juga pernah dikatakan mewah apabila mendapat limpahan tajaan daripada AZM Canopy & Bridal House, Rafflesia serta pereka terkenal seperti Lord’s Tailor, Calvin Thoo dan Michael Shu.

Lisda aktif berlakon banyak drama seperti Kau Yang Ku Sayang, Kau Bukan Mama, Intan Asmara, Pasrah termasuk beberapa buah filem seperti KL Menjerit dan Syaitan.

Lisda juga pernah mencetuskan kontroversi apabila bergaduh sehingga jatuh ke dalam kolam renang dengan pelakon Rita Rudaini sewaktu penggambaran drama bersiri Kau Yang Ku Sayang arahan Rashid Sibir di Pulau Pinang pada 15 Ogos 2006.

Artikel Berikut

Artikel Lain