suria

“KATANYA…” gamit memori indah bintang-bintang AF

Sarimah bakal mengacarakan program "KATANYA.."
Sarimah bakal mengacarakan program
Sarimah bakal mengacarakan program "KATANYA.."

SEBAGAI membuka tirai tahun 2009, Astro dengan bangganya membawakan “KATANYA…”, sebuah program yang bakal menggamit semula segala memori indah yang pernah dilalui oleh bekas para pelajar Akademi Fantasia (AF) yang kini sudahpun bergelar bintang.

Program istimewa ini juga akan mengupas dengan lebih lanjut tentang perkembangan bintang AF dalam meniti perjalanan untuk bergelar anak seni yang berwibawa.

Program yang mempunyai 8 episod ini akan dihoskan oleh pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim bakal bersiaran pada setiap hari Ahad, jam 9.30 malam bermula 4 Januari 2009 ini boleh ditonton menerusi saluran rasmi, Astro Ria (Saluran 104).

Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan, “Kami di Astro amat terharu dan berbesar hati dengan segala sokongan padu yang tidak pernah padam oleh para pelanggan sejak mula program Akademi Fantasia diperkenalkan sehinggalah kini.

"Program KATANYA... dihasilkan khusus untuk mengimbas kembali saat suka dan duka para bintang AF sepanjang berlangsungnya enam musim setakat ini ditujukan khas buat para penonton sebagai tanda penghargaan dan ucapan jutaan terima kasih kepada sokongan mereka yang sememangnya amat bermakna buat kami.”

“Saksikan juga pendedahan istimewa tentang tip-tip persediaan yang berguna untuk mereka yang ingin menyertai sebarang program yang berkonsepkan rancangan realiti kelak. Kami berharap agar pendedahan yang akan dipaparkan menerusi program KATANYA... ini nanti dapat menarik minat seterusnya menggalakkan lagi penyertaan daripada orang ramai dalam program-program seumpama ini.

"Kami amat memerlukan bakat-bakat yang telah berjaya dicungkil menerusi program-program AF sebelum ini seperti Mawi, Mila, Stacy, Zahid, Vince, Faizal, Felix, Akma, Bob, Aizat, Kaer, Rosma, Khai, Amelia, Marsha, Linda dan banyak lagi untuk memeriahkan lagi industri seni tanah air,” ujar beliau lagi.

KATANYA… yang akan bersiaran selama 30 minit setiap episod ini akan membawa para penonton untuk mengikuti dengan lebih dekat tentang pencapaian dan projek terbaru bintang-bintang AF kesayangan ramai.

Program yang padat dengan informasi yang menarik ini terbahagi kepada tiga segmen, yang setiap satunya akan membincangkan mengenai pelbagai topik, isu dan gosip yang berlainan. Setiap topik telah disuntik dengan elemen-elemen unik dan istimewa yang pastinya menghiburkan.

Para penonton akan dihidangkan dengan tiga topik segar dan hebat yang berlainan setiap episod sepanjang 8 minggu bersiarannya program ini.

Selain daripada itu, nantikan juga penampilan istimewa bekas pengetua dan para bintang AF pada setiap episod seperti Ramli MS, pasangan Mawi dan Ekin, Stacy, Mila, pasangan Rosma dan Khai, Reza, Nana, Adi, Burn dan ramai lagi.

Antara paparan menarik yang bakal dihidangkan termasuklah gelagat para bintang AF sewaktu sesi rakaman album di studio dan persediaan ketika di set pengambaraan drama atau filem serta banyak lagi.

Para penonton juga berpeluang untuk mengetahui tip-tip hebat tentang dandanan, solekan serta penggayaan rambut yang sesuai untuk ke sesi ujibakat mana-mana program realiti terutamanya Akademi Fantasi.

Penonton juga boleh mempelajari dengan lebih lanjut tentang cara pemilihan pakaian dan warna yang tepat untuk memastikan imej dan keterampilan diri adalah sesuai untuk digayakan ke sesi ujibakat AF.

Program hebat ini pastinya akan mengubat kerinduan para penonton kepada bintang-bintang AF pada musim-musim yang lepas. Adakah tradisi AF akan disambung semula untuk musim yang seterusnya?

Jangan lupa untuk saksikan sama ada persoalan ini akan terjawab menerusi program ini nanti di Astro Ria menerusi Saluran 104 pada hari Ahad ini, jam 9.30 malam!

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain