suria

Zizan jaja bakat bukan kisah peribadi!

Zizan tak mahu kisah peribadinya dijaja.
Zizan tak mahu kisah peribadinya dijaja.
Zizan tak mahu kisah peribadinya dijaja.

WAJAHNYA sering menghiasi pelbagai iklan komersial. Siapa sangka jejaka kacak ini sudah pun menjangkau 35 tahun, tetapi masih kelihatan muda.

Jolokan 'Abang Ponds' dalam iklan produk kecantikan Pond's yang pernah ke udara di kaca televisyen satu ketika dahulu telah melonjakkan populariti Zizan Nin.

Namun bagi jejaka kelahiran Ipoh, Perak ini dia lebih suka dikenali dengan kariernya berbanding kisah peribadi atau gosip mengenai dirinya.

Dilabel sebagai pelakon yang kurang dihimpit kontroversi ramai yang menganggap dia kurang popular di media massa, Zizan sendiri mengakuinya.

“Memang ramai yang cakap macam itu. Saya tak ada kontroversi, sebab tu jarang ada di majalah atau akhbar.

“Macam mana hendak buat, dah memang saya sendiri kurang kontroversi," kata pelakon drama bersiri Ku Milikmu ini.

Namun bagi pemilik nama Azizan Nin ini dia menjaja bakat sendiri, bakat semula jadi bukan menjaja kisah peribadi.

Dia cuba lari sejauh mungkin dari terjebak dengan kisah cinta dengan mana-mana artis, yang mungkin pada pandangan pelakon lain barangkali banyak membantu.

Selain wajah yang terpampang dalam media pengiklanan, lepasan lulusan Ijazah Pengurusan Perniagaan di Universiti De Monfort, Leicester, England ini juga menonjol dalam drama televisyen dan dunia pengacaraan ketika ini.

Belum ada kekasih

Disaat usia semakin meningkat, soal cinta dan alam perkahwinan sentiasa diajukan kepada jejaka yang pernah mencipta nama melalui drama Table For Two, namun dengan tenang si kacak ini menjawab.

“Saya sudah sedia berumahtangga.Bila-bila pun boleh, satu sahaja masalahnya saya tak ada calon yang sesuai,” kata bekas duta produk Pensonic ini.

“Mungkin saya belum calon yang serasi, lagipun payah nak mencari orang yang faham kerja macam saya ini, sibuk berlakon dan bekerja saja.

Ditanya adakah dia punya perancangan untuk menamatkan zaman bujangnya itu, Zizan berkata dia menyerahkan segalanya kepad takdir.

“Jika Allah takdirkan saya jumpa calon yang sesuai esok, maka saya akan berkahwin esok. Jika ditetapkan jodoh saya lambat pun saya terima.

“Memang kita perlu merancang tapi keserasian dalam satu-satu hubungan tu penting untuk meneruskan kesinambungan hubungan yang dibina,”ujarnya penuh makna.

Mengenai kisahnya dengan aktres cantik Rozita Che Wan yang heboh diperkatakan sedikit masa dulu, jelas Zizan, dia tidak mempunyai sebarang masalah apatah lagi bermusuh dan berdendam dengannya.

Bagi Zizan masing-masing punya hak untuk punya berkahwin dan tidak perlu lagilah ditanya mengenai cerita lama yang sudah berlalu sepi.

Tidak langsung terdetik di hatinya untuk meraih publisiti dengan kisah cinta yang kononnya pernah terjalin antara kami dulu.

Dan Zizan tidak wajar timbul isu menumpang populariti dibangkitkan sedangkan dia lebih dulu menerjah industri seni sebelum aktres cantik itu bergelar pelakon.

“Semuanya berlaku secara kebetulan, kami berlakon bersama dan kemudiannya berkawan sehingga mengundang gosip yang menjadi resam dalam dunia hiburan. Saya tiada sebarang masalah dengannya dan hubungan kami sebagai rakan artis berjalan seperti biasa saja,” ulasnya dengan harapan tiada lagi persoalan yang timbul mengenai hubungannya dengan aktres itu pada masa hadapan.

Tak mahu terikat watak lakonan statik

Sebagai pelakon, Zizan tidak mahu terikat dengan watak statik malah sedapat mungkin dia mencari kepuasan kerana baginya, kejayaan seseorang aktor hanya akan dirasai apabila persembahan mereka diakui serta dipuji peminat.

Jujurnya bukan pujian melekakan yang dicari, sebaliknya bagi pelakon berusia 35 tahun itu, ingin sekali keringat dan masa yang dicurah sepanjang penggambaran sesebuah produksi itu membuahkan hasil berbaloi.

Paling penting katanya, lakonan itu perlu datang dari hati dan dia sendiri cuba mencari keikhlasan dalam setiap hasil kerjanya.

"Disebabkan itu jika saya kurang selesa dengan sesuatu seperti dialog umpamanya, saya akan berbincang dan mencari penyelesaiannya. Saya bukan mahu tunjuk pandai, jauh sekali menafikan kemampuan orang lain cuma apabila di lokasi sesuatu yang dibuat perlu datang dari hati.

"Sebagai pelakon, saya tidak boleh hanya mementingkan diri sendiri atau sekadar memikirkan pulangan lumayan tanpa menghiraukan apa yang disajikan kepada penonton. Itu kerja yang tidak jujur.

"Pelakon juga punya tanggungjawab untuk mendidik, malah saya melihat kerjaya ini sebagai profesion yang harus ditangani secara profesional. Saya cuba bersikap realistik kerana itu yang dituntut apabila memilih lakonan sebagai karier utama," katanya yang aktif berlakon sejak empat tahun lalu.

Filem terperap tiga tahun

Pernah merangkul Anugerah Pelakon Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-20, melalui filem Cinta Terakhir membuatkan peminat tertantya-tanya bila filem tersebut ditayangkan.

Hakikatnya entah di mana silapnya filem arahan Along Kamaruddin itu sudah tiga tahun terperap dan sehingga kini masih belum ditayangkan.

Becerita mengenai filem pertama lakonannya itu, Zizan mengakui kecewa kerana menganggap segala penat lelah apatah lagi penggambaran yang dilakukan ketika hanyalah sia-sia.

"Kalau tanya bila filem Cinta Terakhir akan ditayangkan, saya sendiri tidak ada jawapan untuk soalan itu. Sebagai pelakon tentulah saya mengharapkan filem saya akan ditayangkan. Sudah tentu saya kecewa kerana itu adalah projek sulung saya.

“Apatah lagi apabila dapat anugerah, ramai yang mula menanyakan serta tidak sabar-sabar untuk menontonnya. Mestilah mereka nak tahu bagus ke jalan ceritanya sehingga berjaya menjulang trofi," katanya yang bakal mengusahakan perniagaan berasaskan kesihatan pada tahun hadapan.

Laila Majnun

Terbaru wajah aktor kacak ini dapat ditonton dalam slot drama Lagenda, Laila Majnun yang disiarkan setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4:30 petang di TV3.

Menurut Zizan, drama Laila Majnun yang diarahkan oleh Emi Suffian mengisahkan tetnatang seorang gadis yang lahir dalam keluarga miskin dan mempunyai kehidupan perit sejak kecil sehingga dia menjadi trauma.

Bercinta dengan Laila, Zizan yang membawakan watak sebagai Majnun berkata, pelbagai rintangan terpaksa dihadapi oleh mereka untuk mengecapi kebahagiaan bersama.

Kepada satu soalan mengenai babak Laila dirogol ketika masih kanan-kanak, Zizan menjelaskan bahawa ia bukanlah bertujuan untuk mensensasikan Laila Majnun tetapi terselit mesej berguna kepada masyarakat khususnya untuk ibu bapa.

"Apa yang cuba disampaikan di sini adalah isu yang kerap berlaku ketika ini iaitu penculikan kanak-kanak. Melalui Laila Majnun, ia membuka mata ibu bapa supaya sentiasa menitikberatkan soal keselamatan mereka," tegasnya.

Selain Zizan, drama bersiri ini dibintangi oleh Nabila Huda, Fauzi Nawawi, Lisa Othman, Hush, Zoee Tan, Kanchana Dewi, Wan Hanafi Su, Wan Maimunah dan Aida Radzwill.

Artikel Berikut

Artikel Lain