suria

Nanu bergelar pengarah, nafi 'digam' Media Prima

Nanu kini mencuba kerusi pengarah pula. -foto oleh ASTRO
Nanu kini mencuba kerusi pengarah pula. -foto oleh ASTRO
Nanu kini mencuba kerusi pengarah pula. -foto oleh ASTRO

SEMAKIN hari, semakin ramai pelakon yang berminat untuk menceburi bidang pengarahan dan penerbitan atau lebih tepat lagi kerja di belakang tabir. Seperti aktres Nanu Baharudin, dia kini turut berkecimpung dalam bidang tersebut.

Diam tak diam, Nanu, 39, berkata dia telah mengarah tiga buah drama namun ketiga-tiga drama tersebut belum disiarkan di TV.

"Sekarang, saya cuba masuk ke alam pengarahan dan penerbitan di mana ia merupakan satu pengalaman yang baru, seronok dan mencabar.

"Setakat ini, saya sudah mengarah tiga drama tapi semuanya belum disiarkan lagi," ujar ibu tunggal kepada Mohd Ikhwan Saffiq, 21, dan Nur Iman, 8.

Walaupun sudah berjinak-jinak dalam kerja belakang tabir itu, tidak bermakna pelakon filem Congkak ini akan melupakan dunia lakonannya.

Hakikatnya, Nanu masih meminati dunia lakonan dan jika tiada aral dia akan berlakon dalam sebuah filem baru sekitar Januari depan.

"Insya-Allah jika tiada halangan, pada bulan Januari ini saya akan berlakon filem baru. Mengenai filem apa, ia akan diberitahu tak lama lagi sebelum penggambaran bermula," kata Nanu yang juga pernah membintangi filem Pontianak Harum Sundal Malam dan 1957: Hati Malaya.

Nafi ‘digam’ Media Prima

Selain mendapat tawaran berlakon filem, Nanu yang kini sedang menjalani pengambaran drama bersiri Kasut Tumit Tinggi untuk siaran Astro sudah lama tidak muncul dengan drama terbaru melalui saluran TV di bawah konglomerat gergasi Media Prima Sdn. Bhd.

Ada desas-desus mengatakan Nanu sudah tidak boleh menjejakkan kaki ke Media Prima lagi. Apabila ditanyakan soalan tersebut, Nanu bagaimanapun menganggap ia sebagai soalan yang berbaur gosip dan kontroversi.

"Saya tidak gemar menjawab soalan atau cerita yang agak tidak benar. Selepas saya habis penggambaran Kasut Tumit Tinggi, saya membuat sebuah drama untuk RTM, dan selepas itu saya berlakon drama bersiri untuk TV3 yang majlis pelancarannya akan diumumkan tidak lama lagi," jelas bekas pengacara program Bersamamu di TV3 suatu ketika dahulu.

Nanu juga dikhabarkan bakal menaiki jinjang pelamin pada tahun depan. Sama seperti soalan sebelum ini, dia sekali lagi menepis telahan tersebut.

Sebaliknya dia menjawab: "Tak pernah pula saya mendengar cerita begini sebelum ni. Saya lebih selesa berbincang tentang kerja dari hal peribadi terutama sekali cerita-cerita yang tidak benar kerana saya rasa tidak penting untuk dibincangkan."

Tambah Nanu, dia hanya ingin menumpukan kepada karier yang sedang dilakukan sekarang dan tidak mustahil jika dia menyimpan cita-cita untuk bergelar seorang pelakon, pengarah dan produser yang berjaya pada masa akan datang.

Mengenai perancangan untuk masa depan, Nanu berharap dia dapat mempelajari dan mendalami lagi bidang pengarahan dan penerbitan drama mahupun filem.

Kasut Tumit Tinggi (13 episod)

Astro Prima (saluran 105)

Setiap Khamis, 10 malam (mulai 22 Januari 2009)

Nanu Baharudin, Norish Karman, Amy Mastura dan Juliana Evans.

Drama romantik komedi ini mengisahkan kehidupan wanita empat sekawan dalam mengharungi kehidupan di kota. Mereka banyak persamaan dari sudut personaliti namun amat berbeza dari sudut kerjaya dan keluarga. Namun masing-masing mempunyai satu misi yang sama iaitu mencari cinta.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain