suria

Astro Megadrama 2009 kekalkan elemen ulang siar drama

Para pelakon yang menghiasi drama bersiri dalam Kempen Penjenamaan Astro Megadrama 2009. -foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN
Para pelakon yang menghiasi drama bersiri dalam Kempen Penjenamaan Astro Megadrama 2009. -foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN
Para pelakon yang menghiasi drama bersiri dalam Kempen Penjenamaan Astro Megadrama 2009. -foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN

BAGI menyemarakkan lagi saluran-saluran bahasa Melayu di Astro, Kempen Penjenamaan Astro Megadrama yang dilancarkan pada awal tahun ini diperkukuhkan lagi dengan penambahan jumlah jam bagi tayangan drama-drama Melayu tempatan di saluran-saluran pilihannya pada tahun 2009.

Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah, dalam merealisasikan impian ini, Kempen Penjenamaan Astro Megadrama yang dilancarkan pada bulan Januari 2008 kini diperkukuhkan lagi dengan meningkatkan jumlah jam siaran untuk drama-drama Melayu tempatan dari 256 jam pada tahun 2008 menjadi 477 jam pada tahun 2009.

“Peratusan jumlah jam tahun ini meningkat sekali ganda berbanding tahun lalu.

“Dengan bertambahnya jumlah jam tersebut, oleh itu slot untuk telefilem dan drama bersiri juga bertambah.

“Jika kita lihat kepada jumlah drama bersiri, ia menunjukkan 30 drama bersiri manakala 80 telefilem yang akan ditayangkan untuk tahun hadapan di saluran-saluran bahasa Melayu di Astro iaitu Ria, Prima dan Oasis.

“Astro juga telah berjaya menerbitkan slot drama kanak-kanak melalui saluran Ceria seperti Hikayat Putera Shazlan, Kapten Boleh, dan Geng Bas Sekolah,” kata beliau ketika majlis pratonton Astro Megadrama 2009 di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, Pengurus Saluran Astro Ceria, Azlin Reza Azmi dan Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani.

Menurut Zainir, saluran Oasis akan menyiarkan drama bersiri dan telefilem yang istimewa sahaja menerusi slot Persada Oasis dan Pesona Oasis. Ini bermakna, saluran Ria dan Prima lebih banyak mengambil tempat dalam penyiaran tersebut.

Astro Ria terus menayangkan drama-drama yang sesuai dengan kumpulan sasaran mereka manakala Astro Prima menawarkan drama-drama terbaik melalui slot Primawara dan Teleprima.

Slot Primawara yang disiarkan di saluran ini menerima purata kira-kira 1 juta penonton pada setiap minggu.

Drama-drama yang disiarkan melalui slot ini juga diletakkan dalam senarai lima program paling banyak ditonton di saluran Melayu Astro.

Oleh yang demikian, Zainir tidak menolak kemungkinan Astro akan mengurangkan ulang siar drama bersiri dan telefilem namun beliau juga menegaskan bahawa elemen ulang siar masih dikekalkan.

“Mungkin Astro akan mengurangkan ulangan drama tetapi elemen ulang siar tetap akan ada.

“Ini kerana strategi ulangan memberi manafaat kepada penonton. Astro akan mengulang siar drama dan telefilem tersebut dalam masa seminggu dengan slot berbeza.

“Sebab yang kedua adalah setiap tahun pelanggan baru Astro bertambah lebih 250,000 setiap tahun dan ada antara mereka ini tidak pernah menonton program Astro.

“Semua drama yang dihidangkan oleh Astro adalah ‘fresh’ dan memberi faedah yang besar. Jadi, kita akan tambahkan slot-slot untuk memberi kepuasan kepada semua penonton.

“Selain itu, peningkatan dalam pelaburan untuk tayangan drama-drama tempatan pada tahun 2009 juga dilihat amat relevan dan menyokong kepada peningkatan penguasaan jumlah pelanggan apabila lebih 50 peratus dari pelanggan Astro datangnya dari kumpulan sasaran Melayu,” tambah Zainir.

Zainir juga berpendapat berita menggembirakan ini pastinya disambut baik oleh anak-anak seni tempatan termasuk penerbit, pengarah, penulis skrip dan para pelakon untuk berusaha dengan lebih gigih agar karya-karya mereka dapat diketengahkan.

“Kami menerima karya daripada mana-mana pihak dan tidak pernah ‘gam’ atau ‘band’ sesiapa.

“Namun, karyawan yang sudah wujud akan diberi lebih peluang kerana kita perlu juga mengambil kira kepuasan penonton.

“Kadangkala, Astro perlu juga menolak pelakon, skrip dan sebagainya yang tidak memenuhi kriteria kami,” jelas Zainir.

Sebagai pembuka tirai 2009, empat buah drama hebat akan menemui para pelanggan melalui Kempen Penjenamaan Astro Megadrama yang akan bersiaran di saluran Astro Prima (saluran 105) iaitu 2 Kali Aku Mencintaimu, Delima, Kasut Tumit Tinggi serta Cinta Gila.

Terbaru, Kempen Penjenamaan Astro Megadrama pada tahun 2009 telahpun bermula apabila tv komersial yang memaparkan seorang kanak-kanak bernama Mega ligat bercerita ibarat seorang penglipur lara sejak kecil sehinggalah dewasa.

Penonton gemar Awan Dania dan Mertua vs Menantu

Kebanyakan drama bersiri yang dipertontonkan pada tahun ini di Astro Ria (saluran 104) melonjak naik berbanding tahun lalu terutama drama bersiri Awan Dania yang mencecah kepada 700,000 penonton sejak ditayangkan mulai 20 Oktober lalu, setiap Isnin, 9 malam.

Sementara drama bersiri Gaia berjaya mengumpul 650,000 penonton, Renjis (550,000), Jangan Main Belakang (500,000) dan KL Menjerit (490,000).

Dalam pada itu, Astro Prima tidak ketinggalan meraih lebih 700,000 penonton menerusi drama bersiri Mertua vs Menantu yang dilakonkan oleh Erra Fazira dan Aqasha.

Sementara drama bersiri Di bawah Ketiak Isteri mengumpul kira-kira 610,000 penonton, Inai Malam Pengantin (420,000), Rabunnya Cinta (410,000) dan Tentang Bulan (400,000).

Drama bersiri terbaru di Astro Prima (saluran 105) seperti berikut

2 Kali Aku Mencintaimu (13 episod)

Setiap Isnin, 10 malam (mulai 15 Disember 2008)

Tony Eusoff , Fatin Nuratika, Rashidah Jaafar, Khaidhira Abu Zahar, Ebi AF dan ramai lagi.

Drama yang mengisahkan dilema kehidupan di antara seorang abang, adik dan juga seorang wanita yang menjadi rebutan di antara mereka berdua. Pengorbanan sang adik ternyata besar hinggakan merestui perkahwinan abangnya dan wanita idamannya.

Namun demikian jodoh pertemuan di tangan Tuhan, abangnya ditakdirkan meninggal dunia dalam satu kemalangan. Tipu daya dan muslihat ibunya dalam usaha mengembangkan empayar perniagaan, akhirnya sang adik dikahwinkan dengan wanita yang pernah dipanggilnya kakak ipar.

Delima (60 episod)

Setiap Isnin hingga Khamis, 9.30 malam (mulai 29 Disember 2008)

Ezany Nizarif, Dhira Abu Zahar, Liza Abdullah, Noniswara, Khairil Anwar dan Diana Mastura.

Drama ini mengisahkan Delima, seorang gadis buta yang berusaha untuk terus hidup sambil terus mengharungi pelbagai cabaran hidup. Dalam mencapai kerjaya impiannya, dia bersusah-payah cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran kerjanya.

Bukan itu sahaja, dia juga berusaha untuk mencari cintanya yang sejati termasuklah mencari ibu bapanya.

Kasut Tumit Tinggi (13 episod)

Setiap Khamis, 10 malam (mulai 22 Januari 2009)

Nanu Baharudin, Norish Karman, Amy Mastura dan Juliana Evans.

Drama romantik komedi ini mengisahkan kehidupan wanita empat sekawan dalam mengharungi kehidupan di kota. Mereka banyak persamaan dari sudut personaliti namun amat berbeza dari sudut kerjaya dan keluarga. Namun masing-masing mempunyai satu misi yang sama iaitu mencari cinta.

Cinta Gila (30 episod)

Setiap Selasa, 10 malam (mulai 3 Februari 2009)

Aaron Aziz dan Rita Rudaini

Drama romantik komedi ini mengisahkan Ariana dan Malek yang membenci di antara satu sama lain kerana bapa Ariana, Adam telah meninggalkan ibunya untuk mengahwini ibu Malek, Zakiah.

Zakiah dan Adam terpaksa menyatukan anak mereka dengan memaksa mereka untuk membuka sebuah syarikat bersama-sama dengan memberi modal yang besar dengan syarat mereka harus menjadi rakan kongsi.

Artikel Lain