suria

Sari Yanti: Kahwin di usia muda bukan penghalang karier seni

Sari Yanti akan tetap berlakon selepas bergelar isteri.
Sari Yanti akan tetap berlakon selepas bergelar isteri.
Sari Yanti akan tetap berlakon selepas bergelar isteri.

JIKA dilihat pada susuk tubuhnya pasti ramai yang tidak menyangka si kecil molek, Sari Yanti ini sudah berusia 24 tahun dan bakal menamatkan zaman anak daranya kurang tiga minggu lagi.

Lebih-lebih lagi dengan wataknya sebagai Kaisara, seorang remaja yang sibuk dengan dunia remajanya dalam drama bersiri, Kisah Kaisara yang pernah ditayangkan di TV3 sedikit masa dahulu.

Namun bagi anak jati Negeri Sembilan ini perkahwinan bukan menjadi penghalang kepada karier seninya.

"Banyak orang cakap, tengah popular kenapa nak kahwin? Tak takut populariti jatuh ke, dan macam-macam lagi. Tetapi pada saya, perkara yang baik kenapa harus dilengah-lengahkan.

"Lagipun saya sudah bersedia sepenuhnya. Mungkin orang berkata begitu sebab saya sering bawa watak remaja, jadi orang ingat saya muda.

"Walhal, tahun ini umur saya sudah 24 tahun dan tahun depan sudah 25 tahun. Rasanya pada umur ini tidak ada masalah untuk saya berkahwin," ujarnya dalam nada yang cukup lembut.

Sari juga mengakui dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri memberitahu, sungguhpun sudah bergelar isteri kelak dia tetap akan meneruskan kerjayanya sebagai pelakon walaupun banyak pihak mempertikaikan keputusannya itu.

Tambah gadis manis ini lagi, dia pasrah pada takdir andai menentukan dia tidak lagi popular selepas berkahwin dia redha kerana baginya, rezeki tuhan yang menentukan bukannya ditangan mana-mana pihak.

Sedia bergelar isteri

Bakal mengakhiri zaman anak daranya pada 16 Januari depan, Sari bakal menjadi isteri kepada jejaka pujaan hati, Mohd Eddy Casmady yang dikenalinya sejak dua tahun setengah yang lalu.

"Saya akan buat kerja seperti biasa, kalau selepas ini rezeki saya tidak seperti hari ini, saya hanya menganggap waktu itu mungkin rezeki orang lain pula," ujarnya yang sentiasa berfikiran positif.

Pelakon yang meraih populariti menerusi drama bersiri Kisah Kaisara ini menegaskan, keputusannya itu telah difikir semasak-masaknya dan persediaan telahpun dilakukan sejak awal tahun ini.

"Kahwin bukan perkara yang mudah. Saya telah melakukan persediaan dari awal tahun ini lagi dengan membeli barang-barang dan keperluan yang lain secara perlahan-lahan.

Majlis kahwin yang sederhana

"Perkahwinan saya hanya sederhana, tidaklah sebesar mana, cuma saya ingin sebuah perkahwinan sederhana tetapi meriah dan ringkas.

"Tidaklah berbelanja besar, sebab itu di pihak saya, pernikahan dan persandingan hanya dilakukan dirumah saya saja di Kuala Pilah, Negeri Sembilan," katanya yang ditemui selepas pelancaran Astro Megadrama di The Gardens baru-baru ini.

Mengungkap detik perkenalan antaranya dan bakal suaminya Eddy, semuanya terjadi kira-kira dua tahun setengah yang lalu.

Bagaimanapun akui Sari, mereka berdua terlebih dahulu berkenalan sebagai sahabat sebelum hubungan beralih kepada percintaan.

"Saya kenal Eddy sebab dia merupakan kenalan keluarga saya dan kami berkenalan agak lama, bercinta baru dua tahun lebih saja.

"Tetapi bila sudah sampai waktu, kedua-dua belah keluarga juga sudah merestui hubungan kami, rasanya eloklah kami berkahwin," tuturnya jujur.

Menurut Sari, bakal suaminya berkerja sebagai pengurus acara dan mempunyai perniagaan sendiri.

Antara sebab yang mendorong dia mengambil keputusan untuk mempercepatkan tarikh perkahwinannya adalah kerana kekasihnya itu seorang yang cukup memahami dirinya, justeru sebab itulah Sari tidak teragak-agak untuk menerima lamaran Eddy.

Enggan dedah nilai wang hantaran

Sungguhpun begitu, Sari enggan mengulas secara terperinci tentang majlis perkahwinannya itu, cuma menurutnya, majlis resepsi kedua-dua belah pihak akan menggunakan warna-warna lembut, sesuai dengan jiwa dan cita rasanya.

"Konsep, warna, semua itu mana boleh cerita, nanti tiada kejutanlah untuk orang yang hadir. Saya ingin lakukan kejutan, jadi tunggu!," ujarnya dalam tawa manja.

Sari telahpun mengedarkan kad jemputan perkahwinannya kepada saudara-mara terdekat, sahabat handai dan pihak media sendiri sejak awal bulan ini.

Dia menganggarkan seramai 2,000 tetamu bakal menghadiri majlis perkahwinannya kelak.

Diajukan persoalan mengenai berapa dulang hantaran yang diterimanya, Sari berkata dia bakal memberi sembilan dulang hantaran buat suami tercinta manakala pihak lelaki akan membalasnya dengan tujuh dulang hantaran.

Namun, dia menyembunyikan angka wang hantaran yang bakal diterima kerana menganggap perkara itu bersifat terlalu peribadi.

Bagi majlis akad nikah Sari akan menyarungkan sepasang baju kurung moden berwarna putih gading rekaan Linda Rahim.

"Saya pun tak boleh nak cerita lanjut sebab belum pergi fitting baju lagi. Insya-Allah dalam minggu depan saya akan pergi ke butik untuk fitting baju akad nikah dan resepsi sekali," ujar Sari yang berlakon dalam drama bersiri Sofea Zahra yang ditayangkan di saluran Astro Prima sejak Oktober lalu.

Belum terfikir soal anak

Umpama soalan wajib bagi artis yang bakal berumahtangga soal anak pasti diutarakan kepada mereka dan Sari tidak terkecuali diajukan soalan tersebut.

Bagi Sari, dia menyerahkan soal anak kepada takdir, andai Tuhan ingin memberikan anak awal dia terima, lambat pun dia tetap menerimanya dengan hati yang terbuka.

"Cuma buat masa ini saya belum terfikir lagi, sebab sibuk dengan persiapan perkahwinan sebab majlis kami tidak lama lagi," tuturnya yang berehat dari dunia lakonan seketika kerana memberi tumpuan kepada persiapan majlis perkahwinannya.

Sari dan pasangannya akan bernikah pada malam 16 Januari 2009 di kediaman keluarga Sari yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Manakala, pada keesokan harinya, iaitu 17 Januari di lokasi yang sama akan diadakan pula majlis persandingan mereka berdua.

Selepas itu, pada 24 Januari, sebuah majlis resepsi ringkas di sebelah pihak lelaki akan diadakan pula di perkarangan Masjid Besar, Subang Jaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain