suria

Shayna terus ukir nama di New York

SETELAH mengadakan dua showcase di Kuala Lumpur akhir 2007 dan awal tahun lalu, tidak banyak perkembangan baru yang diketahui tentang penyanyi kacukan Melayu-Inggeris, Shayna Zaid ini.

Sesekali, anak kelahiran Malaysia ini hanya mengutus perkhabaran menerusi e-mel tentang projek terbarunya di New York.

Namun, selepas seketika, Shayna yang setakat ini sudah menghasilkan dua buah album berkonsepkan R&B/Soul di sana iaitu Beyond Bordersdan Half A World Away kembali 'mendiamkan diri'.

Akui begitu sibuk dengan penghasilan lagu-lagu terbaru setelah pulang dari Kuala Lumpur pada Mac lalu, Shayna ketika dihubungi baru-baru ini begitu teruja menceritakan tentang perkembangan karier seninya di sana yang kini semakin memuncak.

"Selain sibuk mencipta lagu dan mengadakan persembahan, saya kini juga sedang dalam proses rakaman untuk album terbaru. Setelah menghasilkan single It's You yang mana penyanyi Daniel Bedingfield merupakan penyanyi latar lagu tersebut, saya mula rasakan muzik yang saya bawa ini telah melalui hala tuju yang berbeza.

"Saya mula belajar banyak perkara baru terutamanya tentang muzik akustik. Ketika penghasilan album saya yang terdahulu, kami tidak tahu bagaimana untuk mencipta muzik kami tanpa menggunakan program digital.

"Memandangkan sekarang saya sudah mempunyai studio sendiri di Times Square, New York, saya lebih bebas untuk merakamkan lagu secara live instruments yang mana ia sebenarnya lebih menarik," kata Shayna bersemangat menceritakan tentang muziknya itu.

Gadis berusia 24 tahun ini sebenarnya telah pun mencipta nama di New York setelah melahirkan album sulungnya Beyond Borderskira-kira tiga tahun lalu.

Shayna yang pernah muncul sebagai pengacara rancangan Speak Up bersama kakaknya, Sarah, yang pernah ditayangkan di TV3 kira-kira lapan tahun lalu pernah menjalankan rangka promosi album keduanya, Half A World Away selama tiga bulan di Kuala Lumpur tahun lepas dan merupakan kunjungan pertamanya ke tanah air setelah berhijrah ke Amerika bersama keluarga tujuh tahun lalu.

Mengimbas pembabitan anak kedua daripada lima beradik ini di dalam bidang seni, ia sebenarnya telah lama bermula, sejak dia berada di Malaysia lagi. Daripada pementasan teater hingga ke nyanyian, Shayna sudah mula berjinak-jinak dalam beberapa cabang seni sejak berumur enam tahun lagi.

Dia juga pernah terbabit dengan pementasan di Actor's Studio dan menjadi model untuk iklan-iklan komersial sebelum mula menyanyi ketika berumur 14 tahun di sekitar Kuala Lumpur bersama Faradhiya dan Phat family seperti Too Phat dan Ruffedge.

Shayna terus bergiat aktif dalam bidang nyanyian di samping meneruskan pengajiannya di Kolej Muzik Berklee setelah menetap di Boston, Amerika. Di kolej tesebutlah, Shayna mengenali tunangnya kini, Jay Deasel, orang yang bertanggungjawab mengenengahkan namanya dalam industri muzik dan menjadi tunggak utama penghasilan dua albumnya setakat ini.

Bercerita lanjut tentang aktiviti seninya ketika ini, kata Shayna, dia dan Jay sedang sibuk merancang pelbagai projek untuk memantapkan lagi karier nyanyiannya selain menerima banyak undangan membuat persembahan di sekitar Amerika.

"Kami sedang dalam usaha untuk memperluaskan lagi usaha sama dengan pelbagai pihak. Sejak awal tahun lalu, kami melihat ada usaha-usaha kami itu membuahkan hasil meskipun ia bukanlah satu kejayaan yang besar.

"Tapi, itu merupakan langkah positif untuk saya terus mara ke hadapan. Setakat ini, sebanyak tujuh buah lagu saya telah dimainkan di dalam siri televisyen The Young and The Restless yang cukup popular di sini.

"Begitu juga sebuah lagu saya yang dimuatkan pada kredit pembukaan filem Flight Of The Living Dead yang sedang ditayangkan di pawagam-pawagam di Malaysia. Saya juga akan mula mengadakan siri persembahan di kolej-kolej pada bulan ini, jadi saya akan sibuk menjelajah dari bandar ke bandar di sini.

"Apapun, pada masa yang sama, saya perlu juga menyiapkan penghasilan album terbaru saya," kata Shayna yang menambah ingin cuba mencari peluang untuk berkunjung ke Malaysia lagi jika berkesempatan.

Menurut penyanyi genit ini lagi, setakat ini dia bersyukur dengan perjalanan seninya di sana yang mula menampakkan halatujunya kini.

Walaupun nama Shayna di sana mungkin tidak segah penyanyi-penyanyi antarabangsa yang lain, itu tidak menjadi satu masalah buatnya memandangkan niatnya menceburi bidang ini adalah kerana minat yang mendalam terhadap dunia seni.

Akui masih banyak perkara yang ingin cuba dikecapinya, kata Shayna, dia sentiasa memahatkan dalam diri agar tidak lekas berpuas hati dengan apa yang diraihnya setakat ini.

"Bagi saya, berpeluang berkongsi muzik yang saya suka bersama masyarakat adalah satu perkara yang sudah cukup menggembirakan saya. Pasaran di Amerika amat sengit dan banyak yang sudah saya pelajari untuk menjadi seorang yang lebih artistik.

"Saya melihat senario yang saya alami ini sebagai satu proses perkembangan. Setakat ini saya dapat melihat perkembangan yang positif saban hari dan saya bersyukur muzik yang saya ketengahkan ini sudah mula mendapat respon daripada industri di sini," tuturnya.

Ditanya tentang sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Shayna, dia tetap meraikannya bersama ahli keluarga yang juga menetap di sana.

"Sejak tujuh tahun lalu, kami sekeluarga tetap beraya bersama-sama di sini. Memang rindu suasana Hari Raya di Malaysia, tetapi di sini tetap meriah apabila kami semua dapat berkumpul bersama.

"Setiap kali raya, juadah rendang, serunding dan ketupat memang saya tidak akan lepaskan. Ibu saya memang akan menyediakan rendang yang cukup enak setiap tahun!" kata Shayna yang tidak ketinggalan mengucapkan salam Aidilfitri buat saudara-mara, kenalan dan peminat-peminatnya di Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bollywood tiada yang percuma

Artikel Lain