suria

Awan Daniakisah di langit biru

CANTIK, kacak, bergaya dan glamor! Itu adalah yang sering terlintas di fikiran masing-masing apabila kerjaya sebagai pramugari mahupun pramugara disebut-sebut. Namun begitu, pasti ramai yang tidak tahu akan kisah suka-duka di sebalik karier tersebut.

Oktober ini, Astro Ria membawakan sebuah drama bersiri 13 episod yang pasti akan menggamit perhatian para penonton berjudul Awan Dania, yang dibintangi oleh pelakon-pelakon seperti Scha Yahya, Nasha Aziz, Irma Hasmie, Remi Ishak, Zizan Nin dan Hans Isaac.

"Barisan para pelakon Awan Dania yang mantap ini diharap menjadi salah satu daya penarik para penonton supaya terus setia menonton drama siri terbaru dari Astro Ria ini.

"Kombinasi pelakon baru dan berpengalaman pasti akan memantapkan lagi drama siri ini apabila ditayangkan kelak.

"Kita sering melihat mereka yang bekerja di langit biru sinonim dengan kecantikkan dan dunia glamor tetapi kita tidak tahu di sebalik itu, banyak halangan dan dugaan yang harus ditempuh bagi melancarkan tugas masing-masing.

"Kisah kehidupan Dania boleh dijadikan sebagai tauladan apabila melihat kecekalannya mengharungi pelbagai jenis dugaan terutamanya dalam mendapatkan sesuatu pekerjaan.

"Sikapnya yang tidak pernah berputus asa dan menghargai persahabatan adalah di antara mesej-mesej yang boleh diserap pada setiap minggu," ujar Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan.

Awan Dania berkisarkan perjalanan hidup Dania (Scha Yahya) yang ingin menjadi seorang pramugari, sesuatu yang tidak pernah masuk akal bagi seorang gadis lasak sepertinya.

Dania ialah seorang gadis lasak dan cekal yang membantu bapa dan abangnya bekerja mengendalikan bagasi-bagasi.

Dia sering memikirkan tentang masa hadapannya dan cemburu apabila melihat orang-orang di sekelilingnya terus berjaya dalam kehidupan masing-masing.

Perkara ini berlarutan sehinggalah dia terdetik untuk menjadi seorang pramugari dan menjadi bahan ketawa oleh abang-abangnya. Mereka tidak pernah memberi semangat malah memperkecilkan keinginan Dania yang ingin bekerja di langit biru.

Nasib ternyata menyebelahi Dania apabila dia terpilih dan dikehendaki untuk mendaftarkan diri di akademi latihan.

Perwatakan Dania yang lebih agresif dan lasak telah membezakannya dengan rakan-rakannya yang lain yang ingin menjadi pramugari dengan tujuan yang berbeza.

Di sinilah bermulanya kisah Dania mengharungi suka-duka dalam kerjaya dan persahabatan yang baru dibinanya.

Bukan itu sahaja, jurulatih yang membimbing Dania di akademi latihan juga sering bersikap tegas terutamanya kepada Dania yang tidak menonjolkan sifat-sifat kesopanan dan lemah lembut seorang wanita.

Untuk menyaksikan bagaimana Dania mengharungi tugas tersebut, saksikan drama bersiri ini yang akan menemui para penonton pada setiap hari Isnin, bermula pada 20 Oktober ini, jam 9.00 malam, hanya di Astro Ria (saluran 104).

Artikel Lain