suria

Antara karier dan cinta buat Hans Isaac

SETELAH lebih 16 tahun bergelumang sebagai anak seni, pengarah dan aktor popular, Hans Isaac merasakan sudah tiba masa untuk dirinya memajukan lagi syarikat produksi miliknya, Tall Order Productions.

Jejaka berusia 37 tahun ini bakal menubuhkan Tall Order Films yang akan memberi tumpuan pada projek penerbitan filem di mana menurut perjanjian bersama rakan kongsinya, Hans sendiri akan mengarahkan dua buah filem setiap tahun menerusi produksi tersebut.

"Selama ini semua penghasilan filem dan drama adalah dibawah pengendalian Tall Order Productions, tetapi kali ini saya wujudkan Tall Order Films untuk uruskan hanya mengenai penerbitan filem.

"Bukan itu saja, saya juga baru tubuhkan jabatan pengurusan acara yang akan mengendalikan majlis-majlis dan acara persembahan. Projek pertamanya adalah 'Harith Iskander Nationwide Tour' yang akan bermula sekitar bulan hadapan di seluruh Malaysia.

"Selepas itu saya akan menerbitkan pula teater muzikal Cuci yang bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB). Perbincangan sedang dibuat dengan pihak IB untuk menetapkan tarikh pementasan tersebut," ujar Hans yang ditemui pada majlis pelancaran drama terbitan Tall Order Productions, Klon Teja, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21 ini, banyak lagi perancangan lain yang sedang bermain di fikirannya ketika ini. Namun begitu, tutur

Hans, dia akan cuba merealisasikan segala impiannya itu tanpa perlu terburu-buru.

"Saya sepatutnya menghasilkan dua buah filem tahun ini iaitu Ikan Laga dan Minah. Tetapi saya 'hold' dulu Ikan Laga mungkin sehingga teater muzikal Cuci dipentaskan kelak.

"Filem Minah pula mungkin kita akan buat dalam bentuk drama bersiri. Tetapi saya tidak pasti lagi bagaimana kerana saya terfikir untuk menggabungkan sebuah skrip lain ke dalam cerita Minah ini.

"Sejujurnya, tahun ini memang cukup sibuk untuk saya. Dalam masa yang sama, saya masih mempunyai banyak perancangan lain untuk kembangkan lagi bisnes yang saya buat ini. Tetapi itu semua memerlukan perancangan rapi.

"Saya menganggap bisnes ini sebagai satu persediaan yang saya boleh buat untuk masa depan. Lagipun, 'life span' sebagai pelakon tidak lama.

"Kalau boleh, sebaik umur saya mencecah 40 tahun, saya hanya ingin fokus kepada bisnes saja. Jika berlakon pun, mungkin hanya untuk produksi saya sendiri kerana saya rasa dalam tempoh 16 tahun sebagai pelakon, saya sudah belajar banyak perkara," jelas Hans bersemangat.

Teringin 'berkeluarga

Soalan tentang siapa cinta barunya memang tidak pernah lekang diajukan oleh pihak media jika bertemu Hans di mana-mana majlis. Apatah lagi, dirinya sebelum ini tidak habis-habis digosip dengan ramai wanita termasuklah selebriti-selebriti jelita tanahair.

Meskipun dalam pertemuan dengan jejaka ini sebelum Hari Raya yang lalu, Hans akui dirinya kini sedang di dalam proses mengenali hati budi seorang wanita yang bukan daripada golongan artis, namun dia lebih selesa untuk tidak mendedahkan siapa sebenarnya wanita yang berjaya menambat hatinya itu.

Diajukan soalan yang sama baru-baru ini, Hans dalam nada ceria mengakui dirinya kini memang teringin untuk mempunyai keluarga sendiri apatah lagi apabila melihat kegembiraan adik-beradiknya yang masing-masing sudah pun mempunyai anak.

"Seronok saya melihat mereka dengan anak masing-masing. Malah, saya sendiri berasa cukup tenang bila berada dengan anak-anak saudara.

"Ibu saya amat memahami, jika saya sedang tertekan dengan kerja, dia pasti akan hantar anak saudara ke pejabat saya," kata Hans.

Tambah jejaka ini lagi, dia tidak pernah meletakkan standard yang tinggi untuk memilih seseorang wanita sebagai teman hidup. Bagi Hans, cukuplah jika wanita itu dapat menerima dirinya seadanya.

"Saya inginkan wanita yang mampu menerima kekurangan diri saya, jujur dan apa yang lebih penting, dia tidak hipokrit," tutur Hans sambil tersenyum.

Artikel Lain