suria

Sofaz idam buat konsert mini di Indonesia

SELEPAS terlibat dengan pembikinan klip video di Indonesia, kumpulan Sofaz sekali lagi diterbangkan ke negara itu untuk menjayakan persembahan konsert baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, masa yang dihabiskan selama lima hari di sana padat dengan aktiviti yang diatur oleh syarikat pengurusan Warner Music Indonesia seperti melakukan promosi album dan temubual bersama stesen radio tempatan Indonesia.

Mereka dibawa menjengah tiga tempat yang tidak kurang popularnya iaitu Bandung, Bogor dan Jakarta.

Meskipun baru pertama kali diundang menjayakan konsert di sana dengan bantuan syarikat rakaman mereka iaitu Suria Records (SRC) dan kerjasama Warner Music, kumpulan yang dianggotai oleh Amir (vokalis), Zimi (gitar dan vokal kedua), Shah (gitar utama), Fairouz (bass), One (dram) dan Rodie (keyboard) ini menyimpan cita-cita untuk menjejakkan kaki ke sana lagi jika berpeluang.

"Ini merupakan kali pertama kami mengadakan persembahan di Indonesia. Sebelum ini kami pernah melakukan klip video di sana.

"Kalau boleh selepas ini kami ingin membuat konsert mini di sana pula. Selain itu, kami juga berhasrat untuk berkolaborasi dengan mana-mana artis Indonesia yang sebumbung dengan kami (SRC) seperti Rossa, Ungu, Peter Pan, Kris Dayanti, Yuni Shara, dan Iwan Falls," kata Amir mewakili kumpulannya.

Jika melihat kepada pasaran industri hiburan sekarang, bukan mudah artis kita mahu membina tapak di sana lebih-lebih lagi apabila mereka lebih mementingkan artis dari negara sendiri berbanding artis luar.

Kata Amir, nak kata mereka terlalu rapat dengan artis seberang, tidak juga. Mungkin kerana konsep dan lagu yang mereka pilih sesuai dengan orang sana.

"Kami ada juga terfikir untuk bekerjasama dengan artis sana jika mendapat apa-apa tawaran. Tetapi masa masing-masing selalu bercanggah.

"Kalau ada artis yang rapat pun adalah dalam beberapa orang seperti anggota kumpulan Ungu. Contohnya, vokalis Ungu iaitu Pasha ada juga mengajak kami bertandang ke rumahnya dan bersembahyang jemaah bersama-sama," cerita Amir.

Namun, Sofaz boleh dikatakan bertuah kerana berjaya mengatur strategi untuk meluaskan pasaran melalui bantuan SRC. Bayangkan, baru sahaja lima tahun lebih mendiami industri ini, Sofaz sudah dikenali dan mempunyai peminat di sana.

"Alhamdulillah, layanan pihak pengurusan dan wartawan di sana baik-baik belaka. Mereka tak pilih kasih dan kami mendapat layanan sama rata.

"Tentang penerimaan peminat di sana juga baik dan lagu-lagu kami ada diputarkan di corong-corong radio sana. Semasa kami ditemubual oleh juruhebah radio, banyak juga pemanggil yang membuat panggilan untuk berbual dengan kami. Alhamdulillah, kiranya ada juga peminat kami di sana," jawab Amir lagi.

Kekal berkarya sendiri

Jika tiada aral, kumpulan yang popular dengan lagu Janjiku, Salahku, Aku Ingin Tahu dan Kepantasanku ini akan tampil dengan album keempat mereka pada awal tahun depan.

"Insya Allah, kami akan tampil dengan album baru nanti. Setakat ini, kami masih lagi mengumpul material untuk album tersebut.

"Setiap seorang daripada kami akan sumbangkan idea untuk lagu dan lirik lagu. Material dah ada tetapi terserah kepada SRC untuk menerima atau tidak.

"Seperti biasa, kami ingin kekalkan karya-karya yang datang daripada ahli kumpulan kami sendiri. Bagaimanapun, kami juga meminta nasihat daripada komposer berpengalaman seperti Eddie Marzuki, Zulkifli Majid dan Nan Dengkil," beritahu Amir yang bersyukur dengan sambutan jualan album ketiga mereka, Kepantasanku.

Selain itu, radio-radio sentiasa memutarkan lagu-lagu daripada album mereka. Bukan itu sahaja, jualan nada dering juga menjadi permintaan ramai.

Menyebut tentang perkembangan lain Sofaz, mereka turut sibuk dengan program Jom Heboh TV3 dan beberapa aktviti lain termasuk show.

Artikel Sebelum

Norrye enggan mainmain lagi

Artikel Lain