suria

Norrye enggan mainmain lagi

TIDAK pernah terlintas diminda penyanyi kelahiran Kuala Perlis, Perlis ini yang mempunyai vokal unik dan serak-serak basah seunik namanya iaitu Norrye Yusof untuk bergelar seorang penyanyi.

Norrye pada asalnya menceburi bidang tarian di Taman Budaya Negeri Perlis.

Seawal kemunculan Norrye dalam industri seni ini kira-kira empat tahun lalu, sehingga kini dia masih belum dikenali ramai.

Tetap tidak menunjukkan apa-apa hasil dalam industri seni ini, gadis berusia 23 tahun ini belum berputus asa untuk memperjuangkan muzik rock yang diminatinya.

Kini, dia semakin mengenali erti kehidupan sebagai seorang artis dan bagaimana cara untuk berjaya.

Mungkin tidak ramai yang tahu keperitan yang dilalui oleh anak gadis ini, tetapi kata Norrye biarlah semuanya hanya diketahui oleh orang terdekat sahaja.

Dia mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak mahu menghebahkan kepada umum lebih-lebih lagi kini bukanlah masa untuk berbuat begitu.

"Saya tak nak menceritakan keperitan ini sehinggalah saya berjaya nanti. Saya tak mahu minta belas kasihan orang dengan cara yang mudah tanpa menunjukkan apa-apa kejayaan," jelas Norrye.

Tanpa mengenal erti penat dan lelah bersama komposer yang mengadun lagu-lagunya iaitu Akhir, Norrye berhasrat untuk memasarkan albumnya ke negara Indonesia.

"Kali ini saya tak nak main-main lagi. Saya cakap kat bos, saya mahu bersungguh-sungguh buktikan yang saya boleh berjaya. Mungkin sebab sebelum ni, kami buat kerja dalam keadaan tergesa-gesa.

"Lagipun, syarikat rakaman Akhir Studio yang dimiliki oleh bos saya merupakan syarikat baru. Bos saya pun kurang berpengalaman dalam selok-belok pemasaran ini. Dia merupakan bekas jurutera. Jadi, saya akui kami telah tersilap langkah.

"Jadi, saya katakan pada bos yang kami perlu membuat lagu dengan perlahan-lahan tetapi mempunyai kualiti," beritahu Norrye.

Albumnya berjudul Puteri Indra Kayangan telah lama berada di pasaran sejak dilancarkan pada 24 Ogos 2005 di Actors Studio, Bangsar.

Lagu-lagu dalam album tersebut seperti Aku Adalah Aku, Kita Mesti Cuba dan Sepasang Mata semuanya dicipta oleh Akhir, isteri dan rakannya.

Lagu-lagu yang dicipta melambangkan seorang wanita yang ingin mencapai potensi dirinya, inginkan kebebasan untuk mencapai cita-citanya dan tidak takut untuk menunjukkan dirinya yang sebenar.

Memandangkan ini adalah tema album ini, Akhir Studio yang mengeluarkan album ini mendedikasikan ia kepada Women’s Aid Organisation, satu badan NGO yang berusaha untuk membantu wanita-wanita yang didera atau mengalami gangguan seksual. Adalah diharapkan kerjasama ini akan dapat memperkenalkan lagi usaha-usaha murni persatuan ini. Untuk setiap album yang dijual, RM 1 akan diberi kepada pertubuhan ini.

Menjawab persoalan mengapa dia lebih menumpukan kepada pasaran Indonesia, jawab peminat Anita Sarawak dan Ella ini, "Saya nak ke luar negara sebab saya perlu mencari orang yang mahu sokong saya. Bukan tiada yang menyokong saya di Malaysia, tetapi jika kita lihat sekarang ini, susah sangat nak survive dalam industri kita. Jadi kenapa tidak saya mencuba di Indonesia kerana sebelum ini saya pernah mempromosikan album dan ditemubual oleh stesen radio di sana."

Sepanjang dirinya sepi daripada kesibukan show, Norrye memenuhi masanya dengan mengikuti kelas vokal kelolaan Cikgu Maria dan kelas tarian. Norrye juga meluangkan waktu untuk membaca.

Hilang semangat apabila dicemuh

Bukan mudah untuk sesetengah orang menerima kritikan lebih-lebih lagi kritikan yang berbaur cemuhan dan hinaan.

Selepas albumnya yang kini sudah dua tahun 'terperuk' di pasaran, ramai pihak terlebih dahulu mempersoalkan sama ada albumnya boleh dijual atau tidak.

Menurut Norrye, dia berasa kecewa apabila belum apa-apa lagi, albumnya teruk dikritik tanpa sebarang sokongan.

"Kalau semua orang dah cakap macam tu, saya nak buat apa lagi. Dulu, saya pernah rasa hampir putus asa dan tidak bersemangat untuk meneruskan karier ini lagi.

"Tetapi disebabkan ingin meneruskan hasrat ibu saya, Noridah Mansor, 44 yang mahu saya mewarisi bakat nyanyiannya, saya kuatkan semangat juga. Walaupun sekarang hanya saya dan bos sahaja yang buat kerja, kami akan sedaya-upaya untuk meneruskan cita-cita saya ini," tutur Norrye yang bakal tampil dengan lagu baru berbahasa Inggeris iaitu Hey Sister.

Tambah Norrye, lagu tersebut juga dibuat untuk menembusi pasaran luar negara.

Artikel Lain