suria

Yatt mula menghitung detik bergelar isteri

JIKA mengikut perancangannya, pelakon, model dan pengacara jelita, Haryati Hamzah atau mesra dengan panggilan Yatt ini dijangka akan menamatkan zaman solonya pada April tahun depan setelah mengikat tali pertunangan dengan kekasih hati, Abdul Mutalib Abdul Shukor sekitar Februari lepas.

Namun, akui tuan empunya diri, dia dan bakal suami masih belum menetapkan tarikh sebenar majlis yang bakal menjadi hari paling bersejarah buat dirinya itu nanti meskipun hati berdetik kuat menantikan saat sah bergelar isteri.

Bagi Yatt, dia mahu memilih masa yang benar-benar sesuai agar majlis perkahwinannya itu nanti bukan saja dapat dihadiri oleh ramai tetamu jemputan, tetapi dapat menjadi sebuah majlis yang cukup indah buat dirinya dan suami kelak.

"Memang kepala ni sekarang asyik teringatkan tentang majlis perkahwinan. Setakat ini, baru sedikit saja persiapan dibuat. Saya masih lagi sedang membuat senarai tetamu.

"Entahlah...tentang tarikh perkahwinan tu, saya rasa tidak mahu dibuat terburu-buru.

"Kami ingin fikirkan dulu tarikh yang sesuai. Konsep majlis pun belum kami tentukan lagi. Saya cuma mahukan majlis itu nanti berlangsung di dalam suasana yang meriah tanpa perlu diadakan secara 'formal'.

"Buat masa ini, kami buat dulu sedikit demi sedikit persiapan. Insyaallah saya akan ke Jakarta dan Bandung, Indonesia untuk membeli-belah barangan hantaran dan sebagainya. Lagipun, ramai rakan cadangkan saya ke sana kerana barang-barang di situ murah dan banyak pilihan.

"Untuk baju kahwin pula, saya tidak risau sangat. Alhamdulillah, ada beberapa pihak yang ingin menaja pakaian perkahwinan kami. Saya cuma belum buat keputusan lagi baju mana yang ingin saya pilih," tutur Yatt yang turut akui dirinya kini sudah bersedia untuk menjadi seorang isteri.

Menurut gadis berusia 28 tahun ini, dia mengambil cuti yang agak panjang sejak Hari Raya lalu dan kesempatan tersebut akan digunakan sebaik mungkin untuk menyediakan sedikit persiapan apa yang termampu, selain merehatkan diri sebelum memulakan penggambaran sebuah drama bersiri.

"Saya 'rehat' sekejap hingga akhir bulan nanti. Penat sangat, malah dua hari sebelum raya lalu, saya masih ada penggambaran drama. Mungkin selepas pulang dari Jakarta nanti, saya akan kembali mulakan penggambaran untuk drama bersiri slot Samarinda.

"Ada juga beberapa projek lain yang saya dapat, tetapi ada yang terpaksa saya tolak kerana jadual yang penuh.

"Syukur masih ramai produser yang percaya akan bakat saya. Selepas muncul dalam drama bersiri Bella tidak lama dulu, saya akui tawaran yang saya dapat mencurah-curah.

"Saya baru selesai penggambaran drama Amanah Karmilla bersama beberapa pelakon seperti Zed Zaidi dan Elly Mazlein.

"Saya bawakan watak wanita penggoda dan karektor saya memang cukup jahat. Ini adalah salah satu watak yang cukup memuaskan hati saya setakat ini," ujar Yatt bersemangat menceritakan tentang aktiviti lakonannya itu.

Bercerita lanjut tentang perkembangan karier seninya, kata anak kelahiran Muar, Johor ini, dia turut ditawarkan untuk menjadi pengacara sebuah program realiti berbentuk sukan yang bakal disiarkan di RTM kemungkinan awal tahun hadapan.

"Ia adalah pencarian pasukan futsal wanita, lebih kurang program Myteam. Cuma program berjudul Futsal Feminin ini adalah untuk wanita sahaja. Kita akan menjelajah ke seluruh negeri dan turut melibatkan beberapa pemain futsal wanita profesional.

"Selebriti wanita juga akan turut diundang untuk memeriahkan lagi program ini. Konsepnya memang menarik, apatah lagi saya sendiri memang gemar bermain futsal. Saya mungkin akan digandingkan dengan seorang lagi pengacara untuk mengendalikan program itu.

"Jadi, saya mungkin akan sibuk dengan program tersebut untuk beberapa bulan sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan saya nanti, Insyaallah," kata Yatt.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain