suria

Album kedua tidak dipasarkan Sharifah Zarina anggap tiada rezeki

AGAK lama juga penyanyi yang pernah melonjak namanya menerusi lagu Langit Ke-7 ini mendiamkan diri dari bidang seni. Kali terakhir bertemu dengan Sharifah Zarina tahun lalu, dia ketika itu sedang di dalam proses menghasilkan album keduanya.

Apapun, dalam diam penyanyi berusia 27 tahun ini sedang bahagia dengan kelahiran cahayamata keduanya, Ariana Deena yang kini baru saja menjengah usia empat bulan.

Kata Zarina ketika berpeluang berbual dengannya baru-baru ini, dia masih lagi berada di dalam industri hiburan, cuma dirinya tidak seaktif dulu hampir setahun lalu kerana ingin memberikan tumpuan kepada kandungannya.

"Sebelum ini, masih banyak 'show' yang saya terima walaupun nama saya agak 'sepi' dulu. Tetapi setelah kandungan saya berusia 4 bulan, saya terus berehat dari bidang ini seketika sehingga saya melahirkan Ariana.

"Kali ini, saya sudah bersedia untuk kembali aktif seperti dulu. Rindu sebenarnya untuk kembali memeriahkan bidang ini. Insyaallah, minggu ini saya akan muncul di dalam program Muzik-Muzik untuk pencalonan lagu irama Malaysia berjudul Sejengkal Bayang.

"Kiranya, ini adalah kemunculan pertama saya di kaca televisyen setelah melahirkan 'baby' baru saya," ujar Zarina dalam nada ceria.

Dalam riak gembira, penyanyi berasal dari Kuching, Sarawak ini tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa apabila diajukan pertanyaan tentang album keduanya yang dulu dikatakan sudah pun siap dihasilkan dan hanya menanti untuk proses edaran saja.

Kata Zarina, dia sedar ramai peminatnya juga sedang menantikan bila album terbarunya itu akan dipasarkan. Namun kerana sebab-sebab tertentu, tutur penyanyi ini, dia terpaksa akur dengan hakikat bahawa albumnya itu terpaksa 'dilepaskan' begitu saja.

"Apa yang boleh saya katakan, ada beberapa masalah yang membuatkan album itu tidak dapat diedarkan. Lagipun, kontrak saya dengan syarikat rakaman, Interglobal Music sudah pun tamat baru-baru ini.

"Sejujurnya, saya memang kecewa album tersebut tidak dipasarkan apatah lagi banyak cabaran yang saya lalui untuk menghasilkan album itu sebenarnya. Cuma lagu Harapan Berbunga Realiti yang sempat dikeudarakan di radio-radio.

"Memandangkan kini saya sudah pun menamatkan kontrak dengan Interglobal, jadi album tersebut nampaknya berakhir di situ saja.

"Apapun, saya masih boleh menyanyikan lagu-lagu daripada album tersebut, cuma tidak boleh dirakamkan semula kerana perlu mengikut polisi tertentu. Saya cuba berfikiran positif dan menganggap album itu bukan rezeki saya," kata Zarina.

Tidak lemah semangat dengan apa yang berlaku, tegas Zarina, selepas ini, dia berhasrat untuk menghasilkan sebuah single hasil inisiatif sendiri.

"Kali ini, saya tak nak 'main-main' lagi. Saya ingin hasilkan sebuah single terlebih dahulu dan buat masa ini saya sedang mencari komposer yang mampu mencipta lagu sebaik Langit Ke-7 dulu yang sehingga sekarang lagu tersebut masih ramai yang ingat.

"Antara komposer yang saya harap sangat dapat bekerjasama ialah Edry KRU. Teringin juga untuk nyanyikan lagu-lagu rancak dan Edry seperti yang kita sedia maklum cukup terkenal dengan lagu-lagu berentak 'fast' ini.

"Buat masa ini, itu saja perancangan yang saya ingin laksanakan dulu. Saya belum terfikir lagi untuk terbitkan album penuh, biarlah saya lihat dulu bagaimana sambutan terhadap single pertama saya nanti.

"Dan saya sudah bersedia untuk meletakkan usaha sendiri 100 peratus terhadap pembikinan single itu nanti," tutur Zarina yang menyambut Hari Raya Aidilfitri selama dua minggu di kampungnya di Kuching, Sarawak.

Artikel Lain