suria

JJCM belum temui pengganti Maria

SUDAH rezeki personaliti TV3, Maria Tunku Sabri bergelar hos program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) yang kini memasuki musim ke-11.

Seperti kata tuan empunya badan, bukan mudah untuk mempertahankan takhta tersebut.

"Saya juga menganggapnya sebagai satu rahmat daripada Tuhan kerana TV3 memberi kepercayaan kepada saya.Kalau boleh saya nak terus lakukan yang terbaik," ucap Maria penuh komited.

Kali ini, hos yang pernah mengendalikan program Malaysia Hari Ini (MHI) ini bukan sahaja menjalankan tanggungjawab sebagai hos JJCM, malah turut melakukan kerja penerbitan.

"Saya lebih bertungkus-lumus dalam musim baru ini kerana saya perlu melakukan dua kerja iaitu sebagai hos dan produser sekaligus.

"Kalau dulu JJCM menggunakan khidmat tiga orang penerbit, sekarang saya seorang sahaja yang menerbit. Sebalik kerja itu, saya rasa sangat 'messy' kerana semuanya saya perlu fikirkan seperti tempat tertentu ditambah pula dengan membuat skrip sendiri. Sekarang, saya rasa lega sebab semuanya dah selesai.

"Dalam masa yang sama, saya tetap merasa gembira tetapi tidak tergambar gembira yang bagaimana," ujar Maria yang cuba menyiapkan program tersebut dalam masa 30 hari.

JJCM bagi musim baru ini keseluruhannya memfokuskan negara Singapura iaitu sebanyak 8 episod.

Dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura, JJCM membawa penonton meninjau keunikan Kota Singa yang indah dan memperkenalkan restoran-restoran yang menyediakan pelbagai makanan lazat sesuai untuk dikunjungi oleh pelancong serata dunia.

Pengambaran yang bermula sejak 17 Julai lalu merantau ke beberapa tempat sekitar Singapura antaranya Vivocity, Bugis Junction, Arab Street, Orchard Road dan Clarke Quay.

Episod pengenalan JJCM 11, penonton dibawa berjalan-jalan di sekitar lokasi mercu tanda Singapura sambil mengetahui dengan lebih lanjut tentang latar belakang serta sejarahnya.

"Bagi mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke Singapura dan tidak tahu cara untuk ke sana, JJCM akan memaklumkan maklumat tersebut terutamanya bagi mereka yang mahu memandu masuk ke sana.

"Saya juga membuat kajian tentang tempat makan itu kerana program ini berkonsepkan fakta. Kita cuba memberikan fakta yang sebenar.

"Tetapi apabila ada orang yang memberi komen tidak berjumpa dengan tempat makan sebelum ini, ini kerana masalah kedai itu ditutup dan cara pengurusan mereka yang menimbulkan masalah lain pula.

"Kadangkala, ada juga pengunjung yang mengatakan makanan yang dihidangkan dalam JJCM tak sama dengan apa yang mereka makan. Perkara itu semua adalah di luar kawalan kami.

"Jadi, untuk mengelakkan masalah berulang lagi, kami sudah nasihatkan kepada semua restoran atau kedai makan agar menyediakan makanan dalam JJCM yang sama seperti pelanggan lain makan," tambah Maria yang turut merancang untuk membuat satu laman web sebagai rujukan penonton yang inginkan maklumat tentang tempat makan terpilih.

Menurut Maria, pelbagai jenis makanan seperti makanan Itali, makanan India, makanan Cina, makanan tempatan Singapura, makanan lebanon dan makanan sihat turut dipaparkan dalam JJCM 11.

"Kami juga memaparkan tiga tahap tempat makan iaitu restoran mahal, restoran berharga pertengahan dan tempat makan murah seperti gerai dalam JJCM musim baru ini kerana sebelum ini penonton selalu komen JJCM menyiarkan restoran murah atau restoran mahal sahaja," terangnya.

Dua tempat makan yang diperkenalkan dalam episod pertama iaitu MCkenzie Rex, restoran yang popular dengan hidangan nasi ayamnya dan menerima pengunjung beragama Islam.

Restoran Yantra pula menghidangkan makanan India Utara dengan konsep tempat memasak tandoori terbuka dan amat menarik dan selesa untuk menjamu selera seisi keluarga.

Restoran makanan segera di sekitar Singapura juga menyediakan makanan halal dan pengunjung beragama Islam juga bebas untuk menjamu selera di medan-medan selera kerana sekurang-kurangnya satu gerai akan menyediakan pelbagai jenis makanan halal untuk dinikmati pengunjung.

Penonton juga berkesempatan menikmati keseronokan beriadah di pelbagai tempat menarik di Singapura seperti Singapore Flyer, Singapore Zoo dan Sentosa Island.

"Program JJCM sentiasa mendapat maklum balas daripada penonton sama ada untuk mengetahui lanjut mengenai restoran yang diperkenalkan mahupun memberikan komen membina untuk perkembangan yang positif.

"Selaras dengan kempen Uniknya Singapura yang dilancarkan tahun lepas, bertujuan untuk mempromosi negara tersebut kepada pelawat Malaysia, pihak JJCM menerima peluang ini dengan tangan terbuka," tutur Maria yang juag merupakan pengacara program 'Jom Jalan-Jalan!' dan program bual bicara 'Maria'.

Selain itu, dia aktif membuat iklan TV dan bergelar duta makanan kucing Whiskas. Selepas ini, Maria dijangka akan terlibat untuk mempromosikan produk penjagaan badan Keep Slim.

Sebelum ini, JJCM pernah ke Vietnam untuk pengambaran satu episod sahaja. Jika berpeluang mengacara program itu lagi selepas ini, Maria teringin ke Thailand atau Indonesia serta negara Asean lain.

Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Lembaga Pelancongan Singapura, Kueh Sze Yian, berkata kempen Uniknya Singapura menyediakan pelbagai tawaran Istimewa, antaranya bayaran masuk percuma bagi kanak-kanak ke beberapa destinasi yang menarik, tawaran tambang istimewa untuk bas mewah Odyssey dan tambang penerbangan AirAsia, pakej-pakej percutian halal 3 hari 2 malam dan juga baucer minimum percuma di restoran-restoran tertentu yang pernah disiarkan melalui JJCM.

"Rancangkanlah segera percutian anda ke Singapura kerana promosi istimewa ini hanya untuk sementara iaitu dari 1 November hingga 2 Januari 2009," katanya.

Nikmati keunikan Singapura dengan menonton JJCM 11 bermula 19 Oktober ini, setiap hari Ahad, pukul 12 tengahari di TV3!

Artikel Lain