suria

Rain mohon maaf lepas tegur peminat OKU tak ikut arahan

Peminat OKU tidak memahami arahan Rain.

NAMA penyanyi terkenal Korea Selatan, Rain menjadi bualan hangat netizen selepas satu rakaman video memaparkan tindakannya menegur dan memberi pandangan serong kepada seorang peminat yang menghadiri konsert tular di media sosial.

Insiden itu berlaku semasa konsert Still Raining: Encore di Taipei Arena, Taiwan apabila Rain dilihat menggesa seorang peminat di barisan hadapan untuk menyanyi dan menari bersama penonton lain.

Namun, peminat tersebut hanya merakam persembahan menggunakan telefon bimbit dan tidak memberikan sebarang reaksi, sekali gus mengundang perhatian penyanyi berkenaan.

Rain bertindak memberi arahan kepada peminat OKU.

Tidak lama kemudian, peminat terbabit tampil menjelaskan dirinya merupakan individu kurang pendengaran dan tidak dapat memahami arahan yang diberikan oleh Rain mahupun penterjemah di lokasi kejadian.

Perkara itu dikongsikan menerusi platform Threads di mana dia turut meluahkan rasa sedih dan bimbang jika tindakannya itu disalah tafsir sebagai tidak menghormati artis kegemarannya.

Susulan pendedahan itu, Rain atau nama sebenarnya Jung Ji-hoon segera tampil membuat permohonan maaf secara terbuka, selain mengakui kesilapannya kerana tidak mengetahui keadaan sebenar peminat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan tiket perlahan, Rain cemas lihat banyak kerusi kosong menjelang konsert

ARTIKEL BERKAITAN: Rain kembali ke Malaysia! Konsert ‘Still Raining’ di Genting Highlands 8 Februari

Apa yang lebih menyentuh hati, Rain turut mengucapkan selamat hari lahir kepada peminat itu selepas mengetahui hantaran penjelasan tersebut dibuat pada hari ulang tahun kelahirannya.

Tindakan Rain menerima pelbagai reaksi daripada netizen dengan rata-ratanya memuji sikap bertanggungjawab dan keikhlasan penyanyi itu dalam menangani kontroversi berkenaan.

 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain