suria

Guna nama ibu tubuh syarikat sendiri, tipu jumlah pendapatan tahunan... Cha Eun Woo didakwa elak bayar cukai RM55 juta

Eun Woo didakwa cuba mengelak daripada membayar cukai pendapatan.

PENYANYI dan pelakon Korea Selatan, Cha Eun Woo, didakwa terlibat dalam pengelakan cukai bernilai 20 bilion won (RM55 juta) dengan menubuhkan sebuah syarikat di atas nama ibunya.

Menurut laporan Edaily pada Khamis, Eun Woo, 29, disiasat oleh Pejabat Wilayah Seoul, Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri (NTS) tahun lalu atas dakwaan tersebut. 

Eun Woo dikatakan menandatangani kontrak subkontraktor dengan syarikat yang ditubuhkan ibunya, Choi, dan membahagikan hasil pendapatan antara dirinya sendiri, agensi pengurusan Fantagio dan syarikat tersebut.

Eun Woo telah membuat rayuan kepada NTS.

Hasil siasatan NTS mendapati syarikat itu tidak menyediakan sebarang perkhidmatan, sebaliknya hanya ‘syarikat kertas’ untuk menyalurkan pendapatan Eun Woo agar dikenakan cukai korporat yang lebih rendah iaitu 20 peratus berbanding kadar cukai pendapatan individu 45 peratus.

Eun Woo juga dikatakan telah membuat rayuan kepada NTS dan kini menunggu keputusan semakan pra-cukai untuk menentang keputusan NTS.

Bagi pihak agensinya, Fantagio dikenakan bayaran cukai tambahan sebanyak 8.2 bilion won (RM22.6 juta) pada Ogos tahun lalu kerana didapati memproses invois palsu yang dikeluarkan syarikat berkenaan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Cha Eun Woo jadi mangsa basuh pinggan paling banyak dalam kem tentera

ARTIKEL BERKAITAN: Cha Eun Woo catat masa larian bawah satu jam, wajah kacak pula jadi bualan

Fantagio turut memohon semakan pra-cukai, namun hasilnya kekal tidak berubah.

Selepas memanggil Choi dan Eun Woo untuk memberi keterangan, NTS mendapati manfaat daripada syarikat tersebut akhirnya kembali kepada selebriti berkenaan, dan dia gagal membayar cukai pendapatan seperti yang disebut. 

NTS dilaporkan menangguhkan penghantaran notis rasmi sehingga Eun Woo menyelesaikan prosedur pendaftaran tentera.

Agensi Eun Woo menegaskan isu cukai dihadapi Eun Woo belum dimuktamadkan.

Fantagio tidak menafikan dakwaan itu, sebaliknya menegaskan isu berkenaan masih belum muktamad.

“Tiada keputusan akhir atau bil cukai yang dikeluarkan setakat ini. Kami akan jelaskan kedudukan kami mengenai tafsiran dan pelaksanaan undang-undang mengikut prosedur sah.

“Eun Woo akan terus menunaikan tanggungjawab cukai dan kewajipan undang-undang lain sebagai warganegara bertanggungjawab,” kata agensi tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain