suria

Oh Young Soo terlepas hukuman penjara, dibebaskan daripada tuduhan serangan tidak senonoh

Young Soo bebas daripada tuduhan lakukan gangguan seksual terhadap pelakon wanita.

PELAKON veteran Korea Selatan, Oh Young Soo akhirnya dibebaskan daripada tuduhan serangan tidak senonoh selepas mahkamah rayuan membatalkan sabitan terdahulu terhadapnya.

Keputusan itu dibuat pada Selasa oleh Mahkamah Daerah Suwon, Bahagian Jenayah 6-1 (Rayuan), yang memutuskan untuk mengetepikan hukuman sebelum ini dan membebaskan Young Soo, 81, daripada semua pertuduhan termasuk mencabul pelakon wanita. 

Young Soo sebelum ini didakwa memeluk dan mencium pipi seorang pelakon wanita, dikenali sebagai ‘A’, tanpa kebenaran ketika mereka berada di Daegu bagi pementasan teater pada Ogos 2017. 

Young Soo terlepas daripada hukuman penjara.

Sebulan kemudian, dia sekali lagi didakwa melakukan perbuatan sama terhadap wanita berkenaan di hadapan kediamannya.

Kes tersebut mula mendapat perhatian pada Disember 2021 selepas mangsa membuat laporan polis. 

Walaupun siasatan awal tidak diteruskan untuk pendakwaan, rayuan yang dibuat oleh mangsa menyebabkan Pejabat Pendakwa Raya Daerah Suwon di Seongnam membuka semula kes berkenaan sebelum Young Soo didakwa tanpa tahanan pada November 2022.

Dalam perbicaraan pertama, mahkamah mendapati Young Soo bersalah berdasarkan keterangan mangsa dan menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan serta mengarahkannya menjalani 40 jam program rawatan keganasan seksual.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon ‘Squid Game‘ buat rayuan kurangkan hukuman, Oh Young Soo menyesal lakukan gangguan seksual

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon ‘Squid Game‘ kena penjara 8 bulan, bersalah cabul wanita

Kedua-dua pihak Young Soo dan pendakwa raya kemudian memfailkan rayuan dengan pihak pendakwa menuntut hukuman penjara selama setahun.

Ketika sesi terakhir perbicaraan rayuan, Young Soo meluahkan rasa kesal terhadap situasi yang dihadapinya namun tetap menegaskan dirinya tidak bersalah.

“Pada usia ini, saya malu berdiri di hadapan mahkamah. Jika perbuatan saya dahulu dianggap salah dan satu jenayah saya akan menerimanya.

Young Soo tegaskan dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Tetapi saya masih percaya tiada apa dalam tindakan saya yang boleh dikategorikan sebagai serangan tidak senonoh.

"Kehidupan 80 tahun saya musnah. Ia menyakitkan dan kosong. Saya hanya berharap dapat kembali ke tempat saya yang sebenar,” katanya.

Selepas meneliti segala keterangan yang diberikan, mahkamah rayuan membatalkan sabitan berkenaan dan membebaskan Young Soo daripada semua pertuduhan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain