PELAKON Korea Selatan, Jo Byeong Gyu dilaporkan tewas dalam tuntutan saman bernilai kira-kira 4 bilion won (RM12 juta) yang difailkan terhadap seorang individu yang menuduhnya pernah membuli ketika zaman persekolahan.
Menurut laporan Herald Biz, Mahkamah Daerah Pusat Seoul menolak tuntutan ganti rugi yang difailkan oleh Byeong Gyu, 29, dan bekas syarikat pengurusannya, HB Entertainment terhadap individu dikenali sebagai A.
Isu ini bermula pada 2021 apabila A memuat naik hantaran di media sosial mendakwa Byeong Gyu membulinya semasa mereka bersekolah di New Zealand.

Byeong Gyu terpalit kontroversi kes buli sejak tahun 2018.
Dakwaan itu merupakan kali keempat nama pelakon drama The Uncanny Counter itu dikaitkan dengan kes buli sejak 2018.
Daripada tiga tuduhan sebelum ini, dua individu dilapor memadam hantaran itu secara sukarela manakala seorang lagi mengaku menyebarkan maklumat palsu.
Menariknya, individu A yang kini tinggal di New Zealand tidak pernah membalas saman berkenaan dan tidak mengemukakan sebarang hujah balas di mahkamah.
Oleh itu, perbicaraan diteruskan melalui 'public notification service' iaitu proses di mana dokumen mahkamah dipaparkan secara terbuka.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak penuhi kriteria sebagai pekerja, kes buli terhadap New Jeans disifatkan sebagai isu peribadi
ARTIKEL BERKAITAN: Ahn Se Ha dituduh membuli di sekolah, agensi bakal ambil tindakan terhadap pemfitnah
Namun selepas meneliti semua bukti yang dikemukakan oleh pihak Byeong Gyu, mahkamah tetap menolak saman tersebut dengan menyatakan bahawa sukar untuk membuktikan dakwaan A sebagai palsu.
Mahkamah juga tidak bersetuju dengan alasan Byeong Gyu bahawa tindakan A memadam hantaran tersebut bermakna tuduhan itu tidak benar.
Byeong Gyu turut menyerahkan kenyataan lebih 20 saksi yang menafikan dakwaan buli itu, namun mahkamah mendapati kesemua saksi berkenaan mempunyai hubungan peribadi dengan pelakon tersebut di Korea dan tidak dapat mengesahkan apa yang berlaku di New Zealand.

Kes saman Byeong Gyu akan dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Seoul.
Berita mengenai kekalahan Byeong Gyu itu mencetuskan kritikan meluas dalam kalangan netizen yang rata-rata mempersoalkan jumlah tuntutan saman yang dianggap terlalu tinggi.
Bagaimanapun keputusan tersebut belum muktamad kerana Byeong Gyu dilaporkan telah memfailkan rayuan.
Kes berkenaan kini akan dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Seoul pada tarikh yang akan ditetapkan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


