suria

Sudah miliki RM128,000, rakan baik nafi Ammar Zoni terlibat dadah kerana masalah kewangan... Kecewa masih ulang kesalahan sama

Punca Ammar kembali terlibat dengan dadah masih tidak ketahuan.

RAKAN baik kepada pelakon Ammar Zoni iaitu Christopher menyangkal dakwaan kononnya aktor itu kembali terlibat dengan najis dadah kerana mempunyai masalah kewangan.

Menurut Christopher, Ammar sebenarnya sudah memiliki dana yang cukup untuk memulakan hidup baharu sebaik sahaja dibebaskan nanti selepas dia menjual beberapa aset selain akaun Instagram. 

Jelas Christopher, wang hasil jualan itu sepatutnya menjadi modal permulaan buat Ammar kembali menapak dalam dunia seni, bukannya terjerumus semula dalam kancah hitam.

Christopher nafi Ammar ada masalah kewangan.

“Saya sendiri yang tolong urus semua. Instagram dia dah terjual, dua kereta pun dah saya jualkan. 

"Jumlah semua tu lebih dari Rp500 juta (RM128,000). Duit tu pun saya dah serahkan sepenuhnya.

“Tujuan saya jual aset dia supaya Ammar ada duit bila keluar nanti. Duit tu bukan sikit, cukup sangat untuk mulakan semula hidup dan cari rezeki dengan cara yang betul,” katanya.

Christopher juga memberi jaminan bahawa semua transaksi dilakukan secara telus dan wang hasil jualan itu sudah diserahkan terus kepada keluarga Ammar untuk diuruskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes edar dadah dalam penjara, Ammar Zoni berdepan hukuman mati... Empat kali ulang kesalahan sama

ARTIKEL BERKAITAN: Empat kali kena tahan, pelakon lelaki tak pernah serik... Berani edar dadah dalam penjara

Malah Christopher mengakui dirinya kecewa dan berasa seolah-olah segala usaha membantu Ammar selama ini sia-sia.

“Saya dah serahkan semuanya kepada pihak keluarga. Adiknya iaitu Aditya Zoni sendiri yang terima.

“Kalau kata terdesak sebab duit, saya sendiri bingung… sebab semua dah saya sediakan. Tapi kenapa masih buat hal macam ni?,” ujarnya.

Jika disabit bersalah, Ammar boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Sebelum ini, Ammar dilaporkan berdepan hukuman berat selepas didakwa terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu dan ganja sintetik dari dalam Penjara Salemba, Jakarta Pusat, Indonesia.

Ammar didakwa bersama lima individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan tersebut.

Memetik laporan CNN Indonesia, dia boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen undang-undang narkotik negera berkenaan yang membawa hukuman mati, penjara seumur hidup, atau sekurang-kurangnya 20 tahun penjara sekiranya disabitkan kesalahan.

Ini merupakan kali keempat Ammar Zoni terlibat dalam kes berkaitan penyalahgunaan dadah sejak tahun 2017.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain