PELAKON kelahiran Australia, Julian McMahon yang meninggal dunia akibat kanser pada usia 56 tahun dilaporkan memiliki nilai kekayaan kira-kira RM67.5 juta (USD16 juta).
Difahamkan sebahagian besar harta yang ditinggalkan datang daripada kerjaya lakonannya di Hollywood selama lebih tiga dekad selain daripada pelaburan hartanah di Amerika Syarikat dan Australia.
Menurut laporan Reuters, McMahon mendapat bayaran tinggi menerusi siri popular Nip/Tuck di mana pada tahun 2007 dia menerima bayaran sekitar RM528,000 untuk setiap episod
McMahon dilaporkan meninggalkan harta lebih RM67 juta.
Di luar bidang seni, McMahon bijak merancang kewangan dengan pelaburan hartanah. Pada tahun 1997, beliau membeli sebuah kediaman di kawasan Hollywood Hills berhampiran papan tanda ikonik Hollywood pada harga sekitar RM3 juta.
Kediaman itu dijual semula pada tahun 2015 pada nilai RM9.2 juta sekali gus memberikan keuntungan bersih sekitar RM6.2 juta. Beliau juga dipercayai memiliki aset kediaman lain di Australia.
Berita kematian McMahon disahkan oleh isterinya, Kelly McMahon yang menyifatkan suaminya seorang yang penyayang dan sentiasa mahu menggembirakan individu dikenalinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Sudah seminggu meninggal dunia, pengurus kongsi berita sedih kehilangan Lee Seo Yi
ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon watak ‘Chucky’ meninggal dunia
“Saya ingin berkongsi bahawa suami tercinta saya, Julian McMahon telah meninggal dunia minggu ini (pada Rabu) selepas berjuang melawan kanser.
“Julian sangat menyayangi kerjaya, keluarga dan rakan-rakan serta peminat. Hasrat terbesarnya adalah memberi kebahagiaan kepada semua orang,” katanya.
Untuk info, pelakon kelahiran Australia itu merupakan anak kepada bekas Perdana Menteri Billy McMahon dan memulakan kerjaya sebagai model sebelum menceburi bidang lakonan pada lewat tahun 80-an.
McMahon kemudiannya berpindah ke Hollywood untuk memberi fokus terhadap kerjaya lakonan dan muncul dalam siri Another World pada 1993 sebelum mendapat tawaran dalam drama Profiler dan Charmed.
Peminat mula mengenali McMahon menerusi siri pertamanya dalam Nip/Tuck yang disiarkan selama enam musim dan mendapat pencalonan dalam Anugerah Golden Globe untuk peranannya sebagai Dr Christian Troy.
Selain itu, McMahon turut membintangi filem-filem popular termasuk Fantastic Four, Bait 3D dan The Surfer.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube