suria

“Wei Sofyank, Will Smith sudah repost video kamu!” - Hasil ‘editing’ anak Malaysia dapat perhatian antarabangsa

Video yang disunting Sofian mendapat perhatian pelakon antarabangsa, Will Smith.

KREATIVITI personaliti media sosial, Mohamad Sofian Abdullah atau Sofyank menarik perhatian pelakon antarabangsa, Will Smith apabila video yang disunting olehnya dimuat naik semula (repost) oleh aktor berkenaan di laman Instagram.

Tindakan Will memuat naik semula video yang disunting oleh Sofian itu di akaun Instagram miliknya menerima pelbagai reaksi pengikut.

Rata-rata pengikut meluahkan rasa teruja dan turut berbangga apabila hasil seni anak Malaysia disedari oleh pelakon berasal dari Amerika Syarikat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “It's crazy, ia benar-benar berlaku” - Selepas jumpa anak tempatan ini, Zach King terus nak datang Malaysia buat magik

"Personaliti Youtube kegemaran saya akhirnya disedari oleh seorang pelakon Hollywood.

"Tahniah anak Malaysia... bangga dengan pencapaian Sofyank dan dia seorang pakar editing yang hebat.

"Wei Sofyank, Will Smith dah repost video kamu. Hebatlah! Power betul... bangga dengan awak," komen netizen di akaun Instagram Will.

Sofian bertemu Will di acara tayangan istimewa filem Gemini Man di Budapest, baru-baru ini.

Sofian sebelum itu memuat naik video tersebut di Instagram miliknya dan meminta pengikut memetik (tag) akaun pelakon tersebut.

"Jom spam @willsmith dan @lukaskaiser sampai Will dapat tengok video ni.

"Tak ada dalam mimpi untuk kerjasama dengan bintang terhebat dunia, bila ada peluang ini saya pasti buat yang terbaik.

"Terima kasih Will atas kebaikan anda untuk buat video ini dan terima kasih Lukas Kaiser kerana bersetuju dengan idea saya," tulisnya.

Sofian menerima jemputan untuk bertemu pakar manipulasi video terkenal antarabangsa, Zach King di Indonesia.

Video berdurasi satu minit yang disunting oleh Sofian itu merupakan sebahagian promosi untuk filem Gemini Man.

Jejaka berasal dari Kelantan itu berpeluang bertemu dengan Will Smith ketika tayangan khas filem tersebut yang diadakan di Budapest, Hungary, baru-baru ini.

Filem Gemini Man lakonan Will Smith akan ditayangkan di pawagam Malaysia bermula Khamis ini.

Sofian yang berusia 23 tahun dikenali kerana hasil manipulasi suntingan videonya di Instagram dan sebelum ini pernah bertemu dengan idolanya yang juga personaliti media sosial antarabangsa iaitu Zach King di Jakarta, Indonesia.

Sofyank, Will Smith

Artikel Berkaitan

Artikel Lain