suria

Sah! Seungri terlibat atur khidmat pelacuran untuk golongan ternama!

Polis mengesahkan Seungri terlibat dalam mengatur aktiviti pelacuran untuk golongan ternama.

SELEPAS pelbagai dakwaan melibatkan bekas anggota kumpulan Big Bang iaitu Seungri, polis kini mengesahkan dia terlibat dalam mengatur aktiviti pelacuran untuk beberapa golongan ternama.

Menurut laporan The Korea Times, perkara itu disahkan selepas soal siasat dilakukan ke atas beberapa individu termasuk wanita yang dibayar untuk melakukan perkhidmatan seksual itu.

"Boleh dikatakan sebahagian daripada tuduhan yang dihadapi Seungri adalah benar," kata seorang pegawai polis dari agensi Metropolitan Seoul.

Menurut pegawai polis berkenaan, siasatan sudahpun dijalankan ke atas beberapa wanita yang mengaku terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu.

Pegawai polis berkenaan bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai individu terlibat dalam perkhidmatan pelacuran berkenaan.

Polis kini giat menjalankan siasatan menyeluruh ke atas semua pertuduhan yang dihadapi Seungri atau nama sebenarnya Lee Seung-Hyun, 29.

Seungri sebelum ini dituduh menawarkan perkhidmatan seksual kepada bakal pelabur dari luar negara di sebuah kelab malam di Gangnam pada tahun 2015 selain terlibat mengatur beberapa aktiviti sama yang pernah dihoskannya di Filipina pada Disember 2017.

Selain tuduhan terlibat dalam aktiviti pelacuran, Seungri turut disiasat selepas dituduh mempunyai kaitan dalam pengedaran dadah di sebuah kelab elit, Burning Sun.

Dia dikatakan bertindak sebagai pegawai ekskutif di mana dia didakwa melabur wang tunai dan berkongsi pita seks menerusi aplikasi sembang mudah alih dengan rakan-rakannya.

Polis berkata, mereka telah menahan seorang pegawai kanan polis yang hanya dikenali sebagai Yoon atas tuduhan menerima suapan berupa tiket untuk menyaksikan konsert K-pop daripada Seungri.

Seungri, pelacuran

Artikel Lain