suria

'Queen of Soul' Aretha Franklin meninggal dunia

Aretha Franklin meninggal dunia pada usia 76 tahun.

PENYANYI Aretha Franklin yang terkenal dengan jolokan Queen of Soul meninggal dunia pada Khamis selepas menderita kanser pankreas sejak beberapa bulan lalu.

TMZ melaporkan Aretha, 76, menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Detroit di samping keluarga dan rakan-rakan terdekatnya.

Kesihatan penyanyi itu dilaporkan merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan semalam keadaan mendiang bertambah teruk dan dilaporkan hanya menunggu masa.

Keluarganya dalam satu kenyataan memberitahu pemergian mendiang sukar digambarkan dengan kata-kata dan kehilangan Aretha sangat dirasai.

Kali terakhir Aretha membuat kemunculan di khalayak ketika menghadiri Elton John's AIDS Foundation 25th Anniversary Benefit pada November tahun lalu dan mendiang selepas itu mengumumkan persaraannya dari bidang seni.

Aretha dilahirkan di Memphis pada 1942 dan memulakan karier nyanyiannya di sebuah gereja ketika mengikut keluarganya berpindah ke Detroit.

Pada awal tahun 1960-an, Aretha mendapat kontrak bersama syarikat rakaman Columbia sebelum bersama Atlantic Records pada 1967.

Sejak itu karier nyanyiannya terus berkembang sehingga menjadikan dia antara penyanyi terbaik di Amerika Syarikat.

Antara lagu popular nyanyian mendiang termasuk Respect, (You Make Me Feel Like) A Natural Woman, Chain of Fools dan banyak lagi.

Untuk rekod, 100 buah lagu Aretha berjaya menembusi carta Billboard 100 yang mana 17 daripadanya berjaya menduduki tangga 10 terbaik.

Aretha juga menerima 18 Anugerah Grammy termasuk trofi Pencapaian Sepanjang Hayat yang diberikan kepadanya pada 1994.

Majalah Rolling Stone turut menamakan Aretha sebagai 100 Penyanyi Sepanjang Zaman.

Kredibiliti dan suaranya yang lunak turut memberi inspirasi kepada banyak penyanyi selepas zamannya seperti Whitney Houston, Mariah Carey dan Alicia Keys untuk menceburkan diri dalam bidang nyanyian.

Aretha Franklin

Artikel Sebelum

Artikel Lain