suria

‘The Shape of Water’ Jadi Pilihan, Menang Filem Terbaik Anugerah Akademi Ke-90

Barisan pelakon dan krew produksi filem The Shape of Water berada di atas pentas bagi menerima trofi Filem Terbaik pada Anugerah Oskar ke-90 yang berlangsung pada malam Ahad (waktu tempatan).

LOS ANGELES: Biarpun berhadapan dengan tindakan undang-undang kerana didakwa memplagiat sebuah naskhah teater sewaktu proses pengundian berlangsung, ia sedikit pun tidak menggoyahkan keyakinan pengundi terhadap keunikan filem The Shape of Water apabila memilih karya itu sebagai Filem Terbaik pada Anugerah Akademi ke-90 atau Oskar yang berlangsung di Teater Dolby, di sini malam Ahad (waktu tempatan).

Dengan kemenangan filem yang mendapat pencalonan terbanyak pada majlis penganugerahan filem tertinggi di Hollywood itu menerusi 13 kategori, ia berjaya menewaskan lapan karya hebat lain termasuk Call Me By Your Name, Dunkirk, Get Out, Lady Bird dan Three Billboards Outside Ebbing, Missouri yang turut dipertandingkan dalam kategori tertinggi Oskar itu.

Sehubungan itu, kemenangan The Shape of Water dilihat menepati ramalan ramai pihak termasuk karyawan seni dan pengkritik filem Hollywood sejak musim anugerah edisi kali ini bermula sekitar akhir tahun lalu.

Bukan itu sahaja, pengarah The Shape of Water berkelahiran Mexico, Guillermo del Toro turut mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi kategori Pengarah Terbaik dengan menewaskan pencabar terdekatnya, Christopher Nolan yang dicalonkan menerusi filem Dunkirk.

Guillermo del Toro turut menerima trofi Pengarah Terbaik.

Filem The Shape of Water yang mengisahkan tentang percintaan luar biasa antara seorang wanita bisu dan seekor makhluk air itu turut memenangi dua kategori lain iaitu Skor Muzik Asal Terbaik menerusi hasil kerja oleh Alexander Desplat dan Rekaan Produksi Terbaik.

Walaupun mendapat lapan pencalonan dan disebut-sebut sebagai filem yang akan memberi saingan sengit pada majlis Oskar kali ini, Dunkirk tidak pulang dengan kosong apabila memenangi kategori Suntingan Filem Terbaik, Suntingan Bunyi Terbaik dan Adunan Bunyi Terbaik.

Sementara itu, dalam kategori lakonan pula, tiada sebarang kejutan apabila keputusannya masih berpihak kepada pelakon yang sama memenanginya pada majlis-majlis anugerah filem sebelum ini.

Kategori Pelakon Lelaki Terbaik menyaksikan kemaraan Gary Oldman memenangi Oskar pertamanya menerusi persembahan lakonan yang cukup hebat sebagai bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill dalam filem Darkest Hour.

Dari kiri; Pelakon Sam Rockwell, Frances McDormand, Allison Janney dan Gary Oldman bergambar bersama trofi Oskar bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Selepas 21 tahun dan tiga pencalonan sepanjang tempoh itu, aktres berpengalaman, Frances McDormand akhirnya berpeluang memenangi Oskar keduanya menerusi filem Three Billboard Outside Ebbing, Missouri dengan menewaskan empat calon lain iaitu Sally Hawkins yang dicalonkan untuk The Shape of Water, Margot Robbie (I, Tonya), Saoirse Ronan (Lady Bird) dan Meryl Streep (The Post).

Aktres berusia 50 tahun itu pernah memenangi Oskar pertamanya untuk kategori yang sama menerusi filem Fargo pada tahun 1997.

Bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik pula, masing-masing dimenangi oleh Sam Rockwell (Three Billboard Outside Ebbing, Missouri) dan Allison Janney (I, Tonya) yang mana kedua-duanya merupakan calon utama yang memang disebut-sebut sebagai pemenang sejak pencalonan Oskar diumumkan Januari lalu.

Sementara itu, Jordan Peele yang kali pertama mengarahkan filem cerekanya, Get Out diiktiraf dengan kemenangan untuk Lakon Layar Asal Terbaik sementara James Ivory pula memenangi kategori Lakon Layar Adaptasi Terbaik bagi filem Call Me By Your Name.

Frances McDormand menang trofi kedua bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.

Ia sekaligus menjadikan Ivory yang juga bekas calon Pengarah Terbaik Oskar sebanyak tiga kali itu sebagai pemenang paling tua dalam sejarah 90 tahun penganjuran Oskar yang mula dianjurkan pada tahun 1928 itu.

Sementara itu, pengarah sinematografi terkenal, Roger A. Deakins juga mencipta sejarah peribadi apabila memenangi Oskar pertamanya menerusi filem Blade Runner 2049 selepas tewas sebanyak 13 kali sejak beliau mula dicalonkan untuk filem The Shawshank Redemption pada tahun 1994.

Acara penganugerahan filem paling ramai ditonton di dunia itu menyaksikan hos televisyen terkenal, Jimmy Kimmel kembali menggalas tanggungjawab sebagai pengacara selepas kejayaannya mengemudikan majlis itu tahun lalu.

Bukan itu sahaja, majlis itu turut diserikan dengan persembahan selingan lima calon kategori Lagu Tema Asal Terbaik termasuk Mary J. Blige, Miguel, Gael Garcia Bernal, Common, Keala Settle dan Sufjan Stevens.

Nama-nama besar Hollywood seperti Sandra Bullock, Chadwick Boseman, Viola Davis, Gal Gadot, Mahershala Ali, Salma Hayek, Nicole Kidman, Emma Stone Foster, Jennifer Lawrence, Jane Fonda dan Hellen Mirren turut diundang sebagai penyampai anugerah.

SENARAI PENUH PEMENANG ANUGERAH AKADEMI KE-90

Filem Terbaik: The Shape of Water

Pengarah Terbaik: Guillermo del Toro – The Shape of Water

Pelakon Lelaki Terbaik: Garyl Oldman – Darkest Hour

Pelakon Wanita Terbaik: Frances McDormand – Three Billboards Outside Ebbing, Missouri

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Sam Rockwell – Three Billboards Outside Ebbing, Missouri

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Allison Janney – I, Tonya

Lakon Layar Asal Terbaik: Jordan Peele – Get Out

Lakon Layar Adaptasi Terbaik: James Ivory – Call Me By Your Name

Filem Animasi Terbaik: Coco

Filem Bahasa Asing Terbaik: A Fantastic Woman (Chile)

Sinematografi Terbaik: Roger A. Deakins – Blade Runner 2049

Rekaan Kostum Terbaik: Phantom Thread

Rekaan Produksi Terbaik: The Shape of Water

Solekan dan Penggayaan Rambut Terbaik: Darkest Hour

Adunan Bunyi Terbaik: Dunkirk

Suntingan Filem Terbaik: Dunkirk

Suntingan Bunyi Terbaik: Dunkirk

Efek Visual Terbaik: Blade Runner 2049

Lagu Asal Terbaik: Remember Me (Coco)

Skor Muzik Asal Terbaik: Alexander Desplat – The Shape of Water

Filem Animasi Pendek Terbaik: Dear Basketball

Filem Pendek Terbaik: The Silent Child

Filem Dokumentari Terbaik: Icarus

Filem Dokumentari Pendek Terbaik: Heaven Is A Traffic Jam On The 405

Artikel Lain