suria

Johnny Depp Tidak Berminat Menang Oskar

Johnny Depp tidak pernah berminat untuk memenangi trofi Pelakon Terbaik Anugerah Oskar.
AKTOR terkenal Hollywood, Johnny Depp tidak berminat untuk memenangi trofi Oskar biarpun namanya beberapa kali dicalonkan menerusi anugerah berprestij itu.

Entertainment Weekly  melaporkan Johnny, 52, tidak pernah berniat untuk bersaing dengan sesiapa apatah lagi menerusi anugerah tersebut.

"Idea trofi dan kemenangan adalah anda bersaing dengan beberapa individu lain dan saya tidak berminat untuk berbuat demikian.

"Saya selesa dengan apa yang saya lakukan tanpa berharap sebarang kemenangan atau pengiktirafan. Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi tidak mengapa," katanya.

Johnny berkata demikian sebagai mengulas namanya disebut-sebut sebagai calon kegemaran bagi memenangi kategori Aktor Terbaik menerusi lakonannya dalam filem Black Mass pada Anugerah Oskar tahun hadapan.

Dalam pada itu, Johnny juga tidak gemar apabila ada pihak melabelkan filem terbaharunya itu adalah sebuah karya 'comeback' daripadanya.

"Saya kembali dari mana? Kematian? Saya tidak pernah ke mana-mana dan sentiasa memberikan persembahan paling terbaik kepada setiap filem lakonan saya dan Black Mass tidak terkecuali," jelasnya.
Johnny Depp

Artikel Lain