suria

Walt Disney Lancar Trailer 'Star Wars Episode VII: The Force Awakens'

Star Wars Episode VII: The Force Awakens hanya akan berada dipawagam pada penghujung tahun hadapan.

PIHAK Walt Disney Studios Motion Pictures dan Lucas Films baru-baru ini melancarkan trailer filem Star Wars Episode VII: The Force Awakens buat pertama kali biarpun karya J.J. Abrams itu hanya akan menemui penonton di pawagam pada penghujung tahun hadapan.

Sebelum ini, pihak penerbit mengumumkan barisan pelakon asal filem berkenaan seperti Harrison Ford (Han Solo), Carrie Fisher (Puteri Leia), Mark Hamill (Luke Skywalker), Anthony Daniels (C-3P0), Peter Mayhew (Chewbacca) dan Kenny Baker (R2D2) kembali untuk membawa watak masing-masing dalam episod terbaharu itu.

Perkhabaran itu adalah berita yang sudah pastinya akan mengembirakan para peminat setia filem ini yang sememangnya mahukan pelakon-pelakon asal kembali dalam episod VII ini.

Laman web rasmi Star Wars turut mengumumkan senarai beberapa pelakon baru seperti John Boyega, Daisy Ridley, Oscar Isaac, Andy Serkis, Domhnall Gleeson dan Max von Sydow.

Filem terbaru ini akan diarahkan oleh JJ Abrams dan dijadual untuk ditayangkan di pawagam mulai 18 Disember 2015.

Ini adalah filem pertama Star Wars selepas Disney mengambil alih kesemua kepentingan francais daripada George Lucas dan berjanji akan menerbitkan episod baru setiap dua tahun mulai 2015.

Ketika filem pertama Star Wars muncul di pawagam pada 1977, hampir kesemua pelakon utamanya berusia dalam lingkungan 20an dan 30an tetapi kini Harrison Ford sudah pun berusia 71 tahun, Mark Hamill, 62, dan Carrie Fisher, 57 dan Peter Mayhew, 69.

Pengambaran bermula Mei lalu dengan plot cerita bermula 30 tahun selepas Return of the Jedi yang diterbitkan pada 1983. Ia adalah filem terakhir Star Wars (iaitu episod VI) sebelum kisah ini kembali ke belakang dalam bentuk prekuel dengan Episod I, II dan III.


Artikel Lain