suria

Nicki Minaj Sudah Bosan Dengan Imej Pelik

Nicki mengakui imejnya sebelum ini agak keterlaluan dan lebih selesa dengan penampilannya sekarang.

PENYANYI rap kontroversi Nicki Minaj mengambil keputusan mengubah imej peliknya sebelum ini kepada gaya yang lebih sofisikated dan anggun ketika menghadiri acara hiburan.

Portal Daily Mail melaporkan Nicki mengakui penampilannya agak keterlaluan dan ia sebenarnya tidak melambangkan dirinya yang sebenar selain berasa penat dengan imej pelik yang sering ditampilkan itu.

"Saya sudah keterlaluan dalam berfesyen dan ia bukannya diri saya dan sudah tiba masanya saya kembali kepada diri sebenar," katanya.

Penampilan Nicki ketika menghadiri Anugerah MTV pada awal April lalu mendapat pujian.

Nicki, 31, tampil anggun pada tayangan perdana filem The Other Woman yang diadakan di Los Angeles baru-baru ini apabila menggayakan gaun labuh berwarna cokelat dan rambutnya disisir kemas berwarna hitam.

Tidak seperti sebelum ini, Nicki tidak mengenakan solekan tebal seperti kebiasaan malah tidak mengenakan rambut palsu yang menjadi 'trademark' penyanyi rap itu.

Bekas juri program American Idol itu sebelum ini turut tampil bergaya pada acara Anugerah MTV dan ramai yang memuji penampilannya berbanding kemunculannya pada tahun sebelumnya.

Gaya Nicki ketika menghadiri tayangan perdana filem The Other Woman baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nicki berkata, dia amat teruja dapat berlakon dalam filem The Other Woman disamping pelakon terkenal seperti Cameron Diaz, Leslie Mann dan Kate Upton biarpun hanya memegang peranan kecil.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan terkini Nicki berkata, album terbaharunya akan memperlihatkan dia kembali kepada muzik asal hip-hop seperti mana zaman kegemilangan genre itu pada tahun 90-an.


Jelas Nicki, dia tidak akan lagi bereksperimen dalam muziknya seperti mana dilakukan dalam dua album terdahulu dan berharap ia akan mendapat sambutan daripada peminat. 

Nicki Minaj, The Other Woman.

Artikel Lain