suria

50 juri All Together Now Malaysia dipanggil polis untuk siasatan

Kesemua kru dan juri terlibat ATNM akan dipanggil polis.

SUSULAN kontroversi program All Together Now Malaysia (ANTM), polis akan memanggil kru penerbitan termasuk 50 juri selebriti yang terbabit dalam rakaman program hiburan ‘All Together Now Malaysia’ terbitan Astro untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd. Fadzil Ali berkata, pihaknya menerima laporan seorang lelaki yang mendakwa program terbabit melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan.

ARTIKEL BERKAITAN: All Together Now Malaysia dihentikan siaran, Astro perjelas dakwaan langgar SOP - “Ada penghadang lutsinar antara juri”

Oleh itu, kesemua juri program berkenaan akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dalam masa terdekat.

"Siasatan awal mendapati penggambaran program itu dilakukan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 3 Mac hingga 11 April lalu dengan merujuk SOP Sektor Industri Kreatif-Acara Langsung (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan - PKPP) yang sedang berkuat kuasa ketika itu.

"Pihak penerbit program dikehendaki mematuhi SOP PKPP yang membenarkan rakaman berlangsung dengan kehadiran penonton tidak melebihi 50 peratus kapasiti serta mematuhi SOP berkaitan saringan kesihatan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Jumaat.



Ajoy Zainal dan Najwa antara peserta ATNM.

Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan selesai.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Tambah Mohd Fadzil, pihaknya menjalankan siasatan berhubung perkara itu mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No. 3) 2021 kerana tidak mematuhi SOP PKPP dengan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Selain itu, siasatan kes itu turut dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya terus kekal mematuhi SOP PKP ditetapkan pihak berkuasa dalam usaha mencegah dan memutuskan rantaian penularan jangkitan pandemik Covid-19 selain tidak mensensasikan fakta atau isu berkenaan dengan kes ini.

Pada Selasa lalu, mStar melaporkan program All Together Now Malaysia terpaksa dihentikan tayangan buat sementara waktu sehingga siasatan berkaitan pelanggaran SOP selesai.

ATNM merupakan program realiti nyanyian terbaharu terbitan Astro Ria yang menyaksikan seramai 50 selebriti tempatan menjadi juri rancangan tersebut.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain