suria

Kamera EW X-A5 Bantu Fujifilm Kuasai Pasaran

PETALING JAYA: Fujifilm (M) Sdn Bhd berhasrat untuk meningkatkan bahagian pasarannya melalui pelancaran kamera X-A5 terbaharu, peranti digital terkecil dan tanpa cermin paling ringan dalam senarai X-series.

Pengarah  Urusan Yoshitaka Nakamura, berkata Fujifilm mahu meningkatkan jualan pada tahun ini sebanyak 25 peratus dengan kamera baharu itu.

"Kami yakin dapat menjual lebih daripada 10,000 unit kamera tersebut di Malaysia, yang boleh didapati mulai minggu hadapan.

"Ia disasarkan kepada generasi peminat fotografi hari ini yang mahu foto berkualiti daripada kamera mereka bagi tujuan pengabadian di rangkaian sosial" katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran X-A5 di sini, Rabu.

Menurut Nakamura, Fujifilm mahu mengambil kesempatan di atas permintaan untuk kamera tanpa cermin yang telah meningkat sebanyak 24 peratus pada 2017.

X-A5, susulan daripada model X-A3, menggabungkan sensor 24.2 megapiksel terkini dengan teknologi penghasilan warna tersendiri yang menjadi ciri utama X-series.

"Kamera ini menawarkan pelbagai ciri-ciri terbaharu termasuk gabungan kanta zum, dan dilengkapi dengan keupayaan perakam video 4k, skrin sesentuh dan versi Bluetooth terkini.

"Beratnya hanya 496 gram, menjadikannya sebagai kamera paling ringan termasuk kit kanta zum, monitor paparan hablur cecair yang lebih besar, dan boleh berpusing 180 darjah," katanya.

Katanya, kamera itu mempunyai ciri-ciri 17 variasi penapis termaju dan 11 mod rangsangan Fujifilm yang unik, terbina dalam casis retro dan kontemporari yang dijamin akan menarik perhatian khayalak sebaik sahaja digunakan.

Kamera tersebut boleh didapati dalam warna perak, coklat dan merah jambu pada harga runcit sebanyak RM3, 288 termasuk kanta zum Fujinon XC15 - 45 mm F3.5-5.6 OIS PZ. -- Bernama 


Fujifilm, Nakamura

Artikel Sebelum

Nova 2 Huawei Hanya RM799

Artikel Berikut

Artikel Lain