suria

Takaful Malaysia Catat Untung Bersih RM205.1 Juta

KUALA LUMPUR: Syarikat Takaful Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, dengan peningkatan keuntungan selepas cukai dan zakat (PATZ) sebanyak 18 peratus kepada RM205.1 juta berbanding RM174.5 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Pada tahun itu, pendapatan operasi syarikat meningkat 8 peratus kepada RM1.99 bilion berbanding RM1.84 bilion sebelumnya, manakala sumbangan kasar mencatatkan peningkatan 8 peratus kepada RM1.70 bilion, berbanding RM1.58 bilion pada 2016.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Mohamed Hassan Kamil, berkata keuntungan kumpulan melepasi sasarannya dan buat kali pertama melebihi RM200 juta sejak penubuhannya.

"Kedudukan yang cemerlang ini merupakan kejayaan penting bagi kumpulan memandangkan kami secara konsisten mencatatkan peningkatan keuntungan bersih, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 27 peratus, sejak memulakan Program Transformasi pada 2009.

"Pulangan  bersih ke atas ekuiti  mencatatkan 26.7 peratus berbanding 24.9 peratus yang dilaporkan pada tahun kewangan 2016, iaitu pulangan ekuiti tertinggi (ROE) dalam kalangan  semua Syarikat Berkaitan Kerajaan," katanya.

Mohamed berkata keputusan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh pendapatan yang lebih tinggi daripada perniagaan Takaful Keluarga dan Takaful Am.

Beliau  berkata kumpulan itu mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam perniagaan Takaful, dan sumbangan kasar Takaful Am meningkat 20 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya sebanyak RM591.0 juta, terutama yang diperoleh daripada kelas kebakaran dan motor.

Beliau juga berkata keputusan itu merupakan gambaran jelas  mengenai keupayaan dan kekuatan operasi kumpulan semasa halangan besar yang dihadapi oleh industri insurans, selain bukti terhadap pelaksanaan strategi dan asas kukuh yang dibangunkan selama ini.

Kumpulan itu membuat pelaburan besar dalam peralatan, aplikasi dan teknologi baharu untuk meningkatkan kecekapan operasi dan pengalaman pelanggan menerusi strategi digitalnya, dan terus membangunkan hubungan bancassurance yang kukuh dengan pelbagai rakan bank, menerusi  pengenalan penyelesaian produk baharu untuk meningkatkan kadar pertumbuhan dan kekal di hadapan.

Syarikat itu mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 15 sen sesaham biasa berjumlah RM123.5 juta pada 18 Disember 2017.-- Bernama

Takaful

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain