suria

AirAsia X Terbangkan 5.84 Juta Penumpang Pada 2017

Gambar hiasan daripada Reuters

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd (AAX) menerbangkan 5.84 juta penumpang dalam tahun kewangannya yang berakhir 31 Dis, 2017, peningkatan 25 peratus daripada 4.69 juta dalam tahun kewangan 2016.

Dalam perangkaan operasi awal yang dikeluarkan pada Jumaat, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu berkata kapasiti meningkat 21 peratus kepada 7.15 juta berbanding 5.94 juta tahun sebelumnya.

Bagi asas tahunan, AAX berkata keseluruhan prestasi operasi bertambah baik dalam suku keempat 2017 dengan peningkatan 12 peratus bilangan penumpang, bersamaan dengan 1.55 juta penumpang.

Sementara itu, kerusi tersedia bagi setiap kilometer syarikat tersebut meningkat sebanyak lapan peratus dalam suku keempat 2017 kepada 9.15 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Semasa suku tersebut, AirAsia X Malaysia meningkatkan kekerapan penerbangannya ke lima laluan, iaitu, Xi'an, Sapporo, Incheon, Busan dan Taipei, berikutan permintaan musim kemuncak akhir tahun,” kata AAX.

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata ia juga menambahkan Jeju ke dalam senarai laluannya pada Disember, manakala jumlah pesawatnya kekal sebanyak 22 pesawat A330s pada akhir Disember.

Syarikat sekutunya, AirAsia X Thailand, mencatatkan peningkatan apabila ia pulih daripada kesan jangka pendek ke atas sektor pelancongannya susulan kematian Raja Bhumibol Adulyadej dan tindakan keras kerajaan Thai ke atas pengendali pelancongan ‘zero-dollar' dari China.

“Pada suku tersebut, AirAsia X Thailand menerbangkan sejumlah 445,137 penumpang, meningkat sebanyak 27 peratus berbanding suku yang sama pada 2016,” kata AAX sambil menambah jumlah pesawat syarikat itu kekal enam buah.

Sementara itu, operasi AirAsia X Indonesia agak terjejas pada suku keempat 2017 disebabkan kejadian letusan Gunung Berapi Agung di Bali, yang bermula pada akhir September hingga ke Disember.

Syarikat itu berkata, AirAsia X Indonesia menerbangkan sejumlah 113,792 penumpang dalam suku tersebut manakala faktor muatan penumpangnya berjumlah 69 peratus.

Jumlah pesawat AirAsia X Indonesia kekal dua pesawat A330s,  menjadikan jumlah keseluruhan pesawat Kumpulan AirAsia X sebanyak 30 unit pada akhir Disember 2017. - Bernama

AirAsia X

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain