suria

Felcra Hasrat Bekal Makanan Halal Ke Jepun

ALOR SETAR: Felcra Berhad (Felcra) berhasrat meneroka skop perniagaan baharu melalui aktiviti memasar dan membekalkan produk makanan halal ke Jepun, sebagai persiapan negara berkenaan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.

Pengerusinya, Datuk Bung Mokhtar Radin berkata beliau dihubungi sebuah syarikat besar dari negara Matahari Terbit itu yang mahu bekerjasama bagi mendapatkan produk makanan halal yang mampu ditawarkan Felcra seperti ikan sardin, tuna dan ayam.

"Kuantiti makanan diperlukan banyak, jadi kita akan lihat bagaimana untuk memenuhi permintaan mereka," katanya selepas Majlis Sambutan 50 Tahun Felcra Peringkat Wilayah Utara di sini, Khamis.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Zulkarnain Md Eusope dan Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Utara Wan Mokhtar Wan Muda.

Bung Mokhtar berkata Felcra sebelum ini, sudah pun membawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ke kilang memproses sardin dan tuna di Filipina bagi mendapatkan sijil halal, justeru tiada masalah bagi agensi itu untuk membekalkan makanan halal tersebut.

Sementara itu, Bung Mokhtar berkata melalui bidang makanan halal dan hartanah, Felcra dijangka mampu memperoleh keuntungan RM100 juta setiap tahun bermula 2018.

"Ini kerana, sebelum ini Felcra bergelut untuk memperoleh keuntungan berikutan kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit," katanya. 

Beliau berkata sejak Felcra diperbadankan pada 1997, lebih RM5.9 bilion dividen diagihkan kepada 110,420 peserta di seluruh negara. -- Bernama

Felcra, Bung Mokhtar Radin, Jepun

Artikel Lain